Thursday, April 12, 2018

Sedih

Apabila saya berkongsi dengan rakan-rakan saya tentang betapa mudahnya membeli belah di Lazada, betapa senangnya memiliki perbankan internet, betapa cepatnya menempah tiket di aplikasi mobile, dan betapa pantasnya mencari maklumat di Google, saya menjangka mereka akan teruja dan mahu melakukan dan memiliki kebolehan yang sama. Ternyata saya silap. Respon yang saya terima kiranya amat menyedihkan.

Ti kan bijak internet. Tolong cari barang ini di Lazada. Tolong transfer duit untuk anak saya. Tolong tempah tiket Air Asia untuk saya. Tolong bayar bil saya. Tolong cari maklumat ini di Google. Dan pelbagai lagi termasuk meminta saya tolong bayarkan cukai yang tertunggak melalui Cimbclicks yang jumlahnya boleh tahan menakutkan. Semuanya kerana saya ada kelebihan itu pada hal benda mudah begini bukan saya sahaja yang boleh lakukan!

Bukan saya bijak internet, tetapi kerana saya mengambil peluang atas kecanggihan teknologi. Bukan mereka tidak pandai, tetapi sikap mahu bergantung dan malas belajar dan takut mencuba sangat tebal dalam jiwa.

Kadang-kadang saya rasa hairan. Mereka ini bukan tidak lulus SPM, mereka guru lulusan universiti. Mengapa begitu sekali mereka enggan mengikuti perkembangan teknologi? Jika bab mekap dan fesyen, cepat pula. Entahlah.

Bukanlah saya enggan menolong. Bukan juga saya riak dan takbur. Saya cuma mahukan perubahan sikap dalam kalangan sahabat saya yang berpendidikan tinggi ini supaya suka berdikari, mahu sentiasa maju seiring perkembangan semasa dan tidak menjadikan usia sebagai faktor penghalang untuk terus melangkah. Sungguh kemajuan teknologi masa kini perlu benar dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana tugas kita sebagai penjawat awam yang mendokong inspirasi negara sangat penting dan tidak boleh terus ketinggalan. Ya, dalam semua perkara.

Mungkin mentaliti masyarakat kita sangat perlu diperbetulkan. Jika hari ini tular tentang kejadian di AEON Tebrau yang menunjukkan betapa tamaknya masyarakat kita dengan barang percuma, rasanya kemalasan untuk berfikir juga perlu dipandang berat. Pincang sungguh jika perkara mudah sebegini pun sering diabaikan kerana tiadanya kesedaran juga pendidikan.

Sedih.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment