Sunday, April 08, 2018

Entah Mengapa

Hujung minggu seharusnya damai. Hujung minggu seharusnya menjadi waktu tenang dan tenteram. Bukankah hujung minggu itu waktu yang sangat saya nanti-nantikan?

Lalu mengapa emosi saya terganggu pada hujung minggu ini?

Resah. Sayu. Hiba. Semuanya bersatu pada hari kelmarin. Senyum yang saya ukir sungguh amat palsu. Ia dibuat-buat untuk melindungi perasaan yang ada di dalam hati. Air mata sentiasa saya seka agar tidak laju menuruni kelopak. Bimbang disedari orang, dan sukar pula untuk saya mencari jawapan.

Saya sendiri keliru perasaan apakah yang mengganggu. Saya seperti mahu bersendirian tanpa diganggu siapa-siapa walaupun suami sendiri, tetapi mana mungkin. Saya seperti mengalami kemurungan, dan tiada siapa yang boleh membantu.

Apabila suami mengajak saya keluar membeli belah, sepatutnya saya gembira kerana itu kegemaran saya. Sebaliknya saya rasa berat untuk melangkah. Pun tetap saya memenuhi ajakannya walaupun dalam keterpaksaan. Saya tidak mahu dia tahu perasaan saya ini.

Di KB Mall, kami ke kedai telefon untuk membeli Samsung Galaxy J7 Pro berharga RM1015.00 untuk menggantikan Samsung Galaxy Note 3 Neo suami saya yang sudah terlalu banyak ragamnya. Selalunya saya seronok di tempat begini, tetapi kali ini saya seperti memaksa diri. Kami ke Celcom Bluecube pula untuk urusan kad SIM, tetapi penantian yang lama di sini amat tidak berbaloi kerana sistemnya mengalami gangguan dan kad SIM suami saya tidak dapat ditukar baru. Hati saya yang sedia tidak keruan, menjadi lebih kesasar kerana marah dan geram. Kami ke kedai Celcom di seberang jalan pula untuk urusan sama, tetapi kehabisan kad SIM katanya. 

Kami pulang. Saya masih mencari-cari apa tidak kena dengan diri sendiri apabila mudah benar tersentuh. Saya masih mencuba untuk mengembalikan kenormalan diri, dalam sukar yang payah!

Tiba di rumah, jam sudah ke angka 6.10 petang. Usai solat Asar, saya menyediakan roti bakar untuk suami saya mengalas perut sebelum makan malam nanti. Saya sendiri tidak menjamah pun, tiada selera langsung walaupun perut lapar. 

Selalunya meneroka telefon baru adalah nikmat yang tidak terhingga buat saya, tetapi kali ini ia bagai satu beban. Terasa tiada keinginan, dan mata hanya mahu pejam. Makan malam kami, char kue teow di kedai berdekatan. 

Malam ini ada Gema Gegar Vaganza yang sangat saya gemari dan tidak pernah mahu ketinggalan menontonnya. Tetapi kali ini saya tidak teruja. Saya hanya mahu tidur. Semoga bangkit pagi esok, saya lebih ceria dan bahagia dan perasaan yang entah apa-apa ini akan berlalu pergi.

Selamat malam, dan maafkanlah saya.

No comments:

Post a Comment