Wednesday, April 11, 2018

Curahan Doa

Ujian Tuhan adalah sesuatu yang misteri. Sebagai hamba-Nya, kita wajib redha. Bentuk apa pun ujian itu, ia tetap tanda kasih dan cinta Tuhan kepada makhluk-Nya. Dia maha segala. maka berserahlah kepada-Nya setiap masa.

Adik Husna, Alhamdulillah sedang dalam proses pemulihan selepas selamat menjalani pembedahan pada tengah hari semalam. Kami saudara-saudaranya, tidak akan pernah berhenti berdoa untuk kesembuhan, keselamatan dan kemudahan urusan Husna sekeluarga. Semoga Allah melindungi kalian dalam perlindungan-Nya yang tidak pernah lalai.

Menziarahinya semalam di hospital, ada perasaan lega terselit biar pun masih bersalut risau dan gundah. Harapan yang dipanjatkan pada Tuhan tetap tidak pernah padam, agar Husna kembali pulih dan dapat melahirkan anaknya yang keempat dengan selamat. In shaa Allah, amin.

Husna

Minggu lepas, sepupu kami yang baru berusia dua puluh tahun, Ahmad Reda dirawat di HUSM kerana menghidap leukemia. Reda merupakan anak keenam Allahyarham Bonda Asma', yang telah kembali ke rahmatullah lapan tahun yang lalu sewaktu Reda baru dua belas tahun.

Reda adalah sepupu pertama saya yang lahir selepas saya bergelar isteri. Jika saya ini seperti orang lain yang terus hamil selepas bernikah (bunting pelamin), seusia inilah anak sulung saya. Bonda Asma' dulu pernah bergurau dengan saya sewaktu dia baru disahkan hamil. Katanya, orang lain yang menjadi pengantin, orang lain yang mengandung. Bonda Asma' waktu itu berusia 35 tahun.

Seperti yang pernah dilalui arwah ibunya, Reda kini sedang menjalani rawatan kemoterapi. Tentu berat bebanan bahu yang memikul, berbanding kami yang hanya melihat. Pun, dengan ikatan kasih sayang yang tidak pernah padam walau kini kami jarang bersua, doa tetap setia mengiringi. Semoga Allah memberi Reda kesembuhan dan memudahkan segala urusan rawatannya. Tabahlah. Kami tahu Reda kuat, sekuat arwah umi Reda.

Ahmad Reda bin Sahiful Bahri
Masih menggamit rasa pilu di hati, ialah berita yang saya terima malam tadi. Saiful, anak saudara sulung suami saya yang berusia 45 tahun, disahkan menghidap kanser hati tahap empat. Betapa berita ini seperti batu yang menghempap di kepala, sakit dan menakutkan.

Bermula dua bulan lepas, Saiful muntah darah dan demam. Badannya menjadi kuning. Doktor masih tidak dapat mendiagnos penyakitnya, sehinggalah dia pulang mencari penyelesaian di kampung pada bulan lepas. Pun, tiada tanda-tanda positif penyakitnya berkurang, dia kembali ke Hospital Selayang untuk meneruskan rawatan di sana. Doktor melakukan pembedahan untuk membuang hatinya yang rosak, dan selepas pembedahan itu barulah doktor mengesahkan dia menghidap kanser hati tahap empat.

Tidak terbayang betapa perasaan yang dialami keluarganya. Isteri, anak, ibu, bapa dan adik beradik tentunya sangat sedih dengan apa yang sedang dia alami. Tetapi yakinlah, dugaan sebegini akan ada hikmah yang tidak terhingga.

Saya hanya mampu berdoa. Allah jualah maha menyembuh. Semoga ketabahan mereka berganda-ganda dan redha dengan setiap ketetapan.

Amin.

Saiful

No comments:

Post a Comment