Friday, August 31, 2018

Malaysiaku

Salam ulang tahun kemerdekaan yang ke-61.

Saya dilahirkan pada tahun ke-15 kemerdekaan tanah air tercinta. Masih lagi sempat mendengar kisah-kisah keperitan dalam perjuangan memerdekakan negara yang diceritakan oleh guru-guru saya yang sempat berada pada zaman itu. Terasa dekat dan penuh semangat juga menyambut kemerdekaan. Cinta pada negara pun membara-bara.

Hari ini, ulang tahun kemerdekaan dirai seperti selalu cuma yang berbeza apabila ia di bawah kerajaan baharu. Kerajaan yang dipilih pada Mei lalu, menggantikan BN yang sudah 60 tahun berkuasa. 

Apa pun situasi, Malaysia tetap di hati. Bukan kerana kerajaan atau pemerintah tetapi kerana semangat seorang rakyat yang mahukan kedamaian di negara tercinta.

Doa saya untuk kesejahteraan Malaysia sepanjang masa.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, August 28, 2018

Tahniah

Jika minggu lepas saya menerima adik ipar baru, minggu ini pula saya dianugerahkan anak saudara baru.

Alhamdulillah. Bahagia sungguh rasa di hati atas nikmat Ilahi.

Tahniah ustaz Mohd Rifqi dan isteri Siti Zainab yang menyambut kehadiran cahaya mata kelima, seorang putera yang bakal mewarnai dunia.

Selamat berpantang Nab. Semoga cepat sihat dan kami dah tak sabar nak jumpa baby boy yang comel teruk tu!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, August 27, 2018

Indah

Syukur Alhamdulillah atas segala nikmat dan kurnia-Mu, Rabbi.

Tidak terhitung.

Alhamdulillah.

Semoga segala kurnia yang Engkau anugerahkan kepadaku ini dapat kukongsi bersama insan lain juga. Semoga segala kurnia ini memberi kekuatan dan menjadi perangsang untuk aku meneruskan hidup dalam kepatuhan kepada-Mu. Semoga segala ujian yang Engkau hadirkan dalam hidupku ini dapat kutempuh dan kuterima sebagai anugerah juga.

Tuhan, aku hanya hamba. Dosa-dosaku menggunung. Pun tetap aku yakini setiap janji keampunan dari-Mu.

Tuhan, aku dambakan rahmat dan cinta-Mu. 


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, August 25, 2018

Baru

Tidak tahu mahu gambarkan bagaimana, apabila adik bongsu kami disunting orang. Asasnya, tentulah hati berbunga bahagia kerana adik comel ini akan meniti hidup berumah tangga di sisi suami tercinta.

Segala persiapan dirancang dan disediakan demi memastikan semuanya berlangsung sempurna. Emak dalam kelam kabut dan resah risaunya, tetap kuat dan tabah memastikan rumah tersusun dan terhias indah, hidangan ditempah sebaiknya dan jemputan dipanggil seadanya.

Kami teruja sebenarnya. Apatah lagi ini yang penghabisan. Selepas ini tidak akan ada majlis walimah lagi dan emak boleh berehat dan bernafas lega. Lapan orang anak emak masing-masing sudah punya keluarga. Emak tidak risau apa-apa lagi.

Pun apabila tiba harinya, ada juga sayu di hati. Adik yang kami tatang ini sudah berpindah ke tangan orang. Sudah menggalas tanggungjawab sebagai isteri. Kami mengirim doa setiap masa agar rumah tangga adik kesayangan kami ini dilindungi dan diberkati. 

Selamat menempuh alam baru dik. Tenang-tenanglah, hadapilah setiap cabaran dengan jiwa waja dan berbahagialah dengan setiap anugerah yang diterima.

Kami tidak akan berhenti berdoa.

Wednesday, August 22, 2018

Haji vs Haji

Baru sebentar tadi saya selesai membaca coretan pengalaman seorang jemaah haji pada tahun lepas. Sungguh ia amat berbeza daripada apa yang saya lalui pada lapan tahun dahulu.

Memanglah setiap pengalaman insan yang yang melaksanakan ibadah haji tidak sama - bergantung suasana, musim dan usia. Syukurlah saya sebanyak-banyaknya kepada Allah yang maha mulia kerana mengizinkan saya menunaikan haji pada usia yang masih kuat dan sihat, juga pada musim yang tidak terlalu panas. 

Di Arafah, angin yang menghembus di luar khemah nyaman sungguh. Saya lebih suka berada di luar khemah kerana ia lebih sejuk. Kepadatan dalam khemah juga biasa-biasa sahaja, dan ruang untuk berbaring sentiasa ada.

Membaca coretan saudara saya itu, cuaca di Arafah pada tahun lepas panas menyengat, dan kepadatan khemah sangat luar biasa. Dia dan suami memilih untuk mencari ruang di luar khemah walaupun dalam kepanasan. Dia terpaksa menggunakan kipas bateri dan menyapu badan dengan ketulan ais untuk mengelak panas terlampau.

Di Muzdalifah katanya, ada jemaah yang pengsan dan meracau-racau kerana cuaca panas walaupun malam. Suhu mencecah 46 darjah dan padat pula dengan manusia yang ramai.

Saya dahulu, tiba di muzdalifah sekitar jam 10 malam dan dapat berbaring dengan selesa walaupun tidak lena kerana kepala saya sakit sedikit. Angin malam dingin dan tidak terlalu sejuk, sedang-sedang elok sahaja. Keramaian manusia memang tidak dapat dielakkan tetapi tidaklah sehingga kami kelemasan. Alhamdulillah. 

Di Mina, khemah kami berpendingin hawa dan sejuknya mencengkam. Ulang alik ke jamrah juga tidak sedikit pun memenatkan kerana jarak 7 km pergi balik itu tidak langsung terasa. Berjalan beriringan dengan suami sebenarnya sangat indah dan membahagiakan. Terasa selamat dan dilindungi. Saudara saya itu bercerita, dia dan suaminya pulang ke Mekah kerana tidak begitu selesa di khemah yang padat. Mereka berulang dari Mekah-Mina sejauh 10 km selama beberapa hari. Allahu!

Begitu aturan Tuhan. Setiap yang diberi adalah ujian dan setiap ujian yang berjaya dilalui tanpa keluh kesah tentulah ada ganjarannya. Ujian pula berbeza-beza, dan Allah jua maha mengetahui hikmahnya.

Apa yang boleh diambil pengajaran ialah, apa pun ujian, terimalaj sebagai suatu kesempatan untuk mengumpul pahala. Semoga ibadah haji kita diterima Allah. Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Aidil Adha

Salam Aidil Adha 1439H.

Tahun ini menjadi Aidil Adha yang agak sibuk. Suami saya mengambil bahagian dalam korban jadi saya perlu menyelesaikan agihan daging itu kepada jiran dan saudara mara. Kebetulan keuzuran saya yang berpanjangan (istihadhah) menyebabkan saya tidak pergi bersolat raya. Dapatlah saya berada di rumah dan menyediakan apa yang perlu.

Esok pula, hari langsung pernikahan adik bongsu saya, Noor Zahidah. Walaupun makanan ditempah, masih juga kami mahu menyediakan beberapa hidangan tambahan jadi saya akan berada di rumah ma bermula selepas Asar hingga malam ini. 

Semoga majlis yang dirancang berlangsung meriah dan diberkati, dan semoga adinda saya ini beroleh bahagia sampai syurga.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, August 15, 2018

Kem Kecemerlangan

Setiap tahun pun tidak pernah gagal sekolah kami menganjurkan Kem Kecemerlangan Akademik untuk pelajar-pelajar Tingkatan lima yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi.

Objektif kem sebegini tentunya untuk memberi input tentang format soalan, kaedah menjawab dan teknik pemarkahan. Penceramah yang dijemput terdiri daripada guru-guru yang kaya pengalaman dalam pemeriksaan kertas SPM. Perkongsian mereka amat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar kami yang sangat cetek pengetahuan dalam kaedah menjawab.

Kem berlangsung dari 12 Ogos sehingga 14 Ogos dan bertempat di IPG Kampus Kota Bharu. Senarai AJK dan guru bertugas diedarkan lebih awal untuk membolehkan kami merancang sebaiknya bagaimana untuk ke sana nanti.

Nama saya tertera pada dua tempat. Pertama sebagai penyedia sijil untuk penceramah dan guru dan yang kedua sebagai guru bertugas pada 13 Ogos dari jam dua petang sehingga sembilan malam. Saya akur menerima tanpa sedikit pun bangkangan.

Pada saya, apa sahaja tugasan yang diberi, saya akan pastikan untuk memenuhinya dengan sebaik yang boleh. Apa pun alasan, saya ketepikan dahulu kerana tugas ini adalah demi anak-anak yang saya kasihi. Cuma saya sedikit ralat kerana kem sebegini diadakan pada hari persekolahan, tidak seperti tahun-tahun sudah yang berlangsung pada hujung minggu. Ruginya ialah apabila sesi PdP saya bersama pelajar-pelajar saya terbuang begitu sahaja, sedangkan saya sangat mahukan ruang waktu bersama mereka pada saat-saat hampir peperiksaan ini.

Tidak mengapalah. Mungkin untuk tahun hadapan kem ini akan kembali berjalan pada hujung minggu. Harap begitulah.

Pada Isnin 13 Ogos itu, saya menumpang kak Rohana dan kami bertolak sekitar jam 12.45 tengah hari kerana slot Matematik Tambahan akan bermula pada jam 2.30 petang. Segalanya berlangsung baik sehinggalah kami menyedari yang kunci bilik rehat untuk guru bertugas telah dibawa pulang oleh guru yang bertugas sebelum kami, menyebabkan kami tidak dapat masuk berehat selepas tamat slot kami pada jam 5 petang. 

Saya sedikit kesal, maklumlah dengan badan yang panas dan kepenatan alangkah nikmatnya jika boleh mandi dan berehat sementara menunggu acara malam nanti. Tetapi tidak mengapalah, kak Rohana mengajak saya keluar meronda-ronda dan menuju ke rumah adiknya di PCB. Walaupun keberatan, saya tiada pilihan.

Di rumah adik kak Rohana pun saya tidak mandi dan tidak berbaring. Bayangkan saya berpakaian yang sama sejak dari pagi tadi, dan penat pun usah cerita. Jam 8.15 malam baru kami keluar menuju kembali ke IPG untuk meneruskan tugas di sana. Mujur anak-anak pelajar itu sangat berdikari. Tanpa guru pun mereka tidak banyak karenah. Cikgu Marina, Cikgu Rasida dan Cikgu Rohani yang bertugas sesi malam sudah tiba lebih awal. Kunci bilik yang terbawa pulang juga sudah diserah kepada cikgu Rasida. Saya dan kak Rohana terus menuju ke dewan seminar untuk bersama anak-anak mengikuti slot Matematik pula.

Suami saya tiba untuk menjemput saya pulang pada jam 10.35 malam. Sebaik sampai di rumah, saya terus mandi dan tidur. Penat sungguh, dan esok kena kerja juga!


Tuesday, August 14, 2018

Tok Guru



"Anak-anak, sila buka muka surat 112. Hari ini kita akan belajar macam mana mencari median daripada ogif. Semua dah bersedia ke?"

"Sudah!"

Begitu saya memulakan pengajaran untuk tajuk Statistik di Tingkatan 4 Ibnu Khaldun semalam. Masa yang cuma tiga puluh minit itu sudah hilang hampir lima minit kerana anak-anak saya itu suka benar masuk lambat selepas rehat. Leteran saya mengambil tempat set induksi. Kata saya, jika mahu rehat yang lama, pergilah ke sekolah di Finland sana. Rehatnya 75 minit.

"Ya cikgu?"

"Eh, Finland tu kat mana cikgu?"

" Awak Google lah sendiri!"

Mereka menyelak halaman yang saya nyatakan. Buku kerja itu memang sudah sedia ada contoh dan beberapa soalan latihan yang sudah pun diberi ruang untuk melukis graf. Senang kerja saya. Jika meminta mereka membawa kertas graf sendiri, tentunya hampir separuh kelas akan kena denda.

"Hari ini cikgu nak mengajar stail tok guru mengajar kitab. Cikgu nak duduk je kat kerusi ni dan awak kena dengar baik-baik. Boleh?"

"Boleh cikgu!"

Untung anak-anak kelas ini sangat baik dan mendengar kata. Mereka cuma lima belas orang, dan setia berada di tempat duduk masing-masing sambil bersedia untuk menerima pengajaran saya.

Saya meneruskan dengan membacakan contoh dan mereka merujuk buku kerja. Tajuk ini mudah, tentulah saya tiada masalah untuk cuma bercakap tanpa menulis. Selesai membentangkan contoh, saya meminta mereka menjawab soalan pula. Membina jadual kekerapan, melukis ogif dan mencari median. Dalam masa yang bersisa tidak sampai dua puluh minit itu, mereka tekun menyiapkan tugasan dan dapat menjawab dengan baik dua soalan yang ada. Bukanlah saya tidak menulis langsung, saya tunjukkan juga bentuk ogif yang patut mereka peroleh di papan putih. Mereka juga tidaklah statik di tempat masing-masing. Mereka datang ke meja saya untuk bertanya dan menunjukkan graf yang mereka lukis.

Rasa seperti saya berjaya. Kenapa? Kerana pengajaran saya seperti ini adalah berbentuk kuno, bukan abad 21 tetapi mereka sangat faham dan boleh menyelesaikan masalah dengan baik. Bukankah ini kejayaan namanya?

Lalu saya terfikir, kenapalah pengajaran abad 21 ditekankan sebegitu rupa, pada hal mengajar cara saya ini cukup memberi impak yang maksimum jika mereka memberi fokus tanpa jemu. Pada saya, jika mereka mahu, gunalah kaedah pengajaran mana pun tentu mereka akan faham. Yang menjadi masalah ialah apabila mereka tidak mahu!

Sekadar pandangan picisan daripada seorang cikgu Matematik yang kuno.



Thursday, August 09, 2018

Ilmu

Sedikit geram saya tadi. Kisahnya apabila seorang ustazah mengulang tanya apa pentingnya belajar Matematik yang susah-susah pada hal dalam kehidupan seharian tidak digunakan pun. Kalkulator juga yang ditekan apabila mengira.

Pada kali pertama dia bertanya, saya enggan kisah. Tapi bila dia mengulang, tentunya dia mahukan peneguhan. Isu ini timbul apabila sukatan pelajaran di sekolah rendah dan menengah yang terbaru ini ditinggikan arasnya. Anak-anak mula kalut tidak faham konsep dan tidak tahu menyelesaikan.

Benarlah, saya juga hairan kenapa sukatan terkini ini disusahkan begitu sekali. Hilang sudah keseronokan anak-anak kecil menjalani hidup apabila disumbat dengan pelajaran berat sebegini. Tidak dipeduli, nanti ketinggalan. Mahu ditekan nanti terganggu mental pula.

Berbalik kepada soalan ustazah itu tadi, jujurnya saya sudah jemu dengan pemikiran sebegini. Mereka membeza-bezakan ilmu Tuhan hanya kerana mereka tidak mampu menguasainya. Sangat jelek. Dan persoalan sebegitu wujud begitu subur dalam minda orang kita. Melayu. Islam.

Sebab itulah segala kehebatan sains dan teknologi pada masa kini terhasil dari tangan orang bukan Islam. Orang kafir. Terciptanya GPS, yang memudahkan perjalanan adalah daripada orang kafir. Kereta, kapal terbang, media sosial, internet, sistem perbankan atas talian dan segalanya, cuba sebut mana yang dihasilkan oleh orang Islam?

Tiada.

Kerana ilmu bagi orang Islam ialah yang berkaitan dengan pengajian pondok, sekolah tahfiz dan yang seumpamanya. Yang nanti boleh melahirkan imam dan ulama. Dan tentunya mengheret ibu bapa mereka ke syurga. Sejukkan perut ibu?

Saya bukan melekehkan mana-mana institusi pengajian. Belajarlah ilmu apa sahaja yang anda mahu, atas minat dan kecenderungan sendiri, tetapi tolong jangan memandang ilmu yang tidak seperti ilmu agama itu sesuatu yang kesamping. Tidak utama. Sedangkan setiap perkara dalam hidup perlu ada keseimbangan.

Kepada ustazah itu, saya menjawab begini.

Dik, memanglah dalam kehidupan seharian tiada trigonometri, tiada kalkulus. Itu hanya penting jika mahu menjadi jurutera, angkasawan atau pencipta mesin-mesin baru. Tetapi percayalah, belajar Matematik ini amat mementingkan logik, kesabaran dan kemahiran berfikir. Seseorang yang bijak Matematik sebenarnya hebat dalam mencari penyelesaian masalah, dan logik dalam menaakul keputusan. Dengan kebolehan itu, mereka lebih mudah mempelajari ilmu-ilmu lain kerana minda mereka terasuh dengan berkesan. Umumnya, seorang pelajar yang bijak Matematik akan bijak mata pelajaran lain tetapi pelajar yang bijak mata pelajaran lain tidak semestinya bijak matematik. 

Cukuplah jawapan itu untuk dia.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Setia

Saya mula mengenali Ustaz Hasrizal Abdul Jamil melalui tulisannya dalam Majalah i sekitar 2005 - 2007. Membaca tulisannya, seperti ada satu magnet yang membuat saya melekat dan mahu terus membaca. Pada kebanyakan masa, saya tidak puas dan mahu lebih lagi. Begitu Majalah i berada di tangan saya, kolumn beliaulah yang pertama saya layani.

Dari majalah, saya beralih ke blog beliau - Saifulislam.Com. Seringkali tulisannya menjadi rujukan saya dalam banyak perkara. Setiap idea dan buah fikirnya seperti sesuatu yang bernas dan menepati situasi. Dan apabila beliau menulis buku, saya tidak pernah ragu membeli. Bermula dengan Aku Terima Nikahnya, dan berterusan sehinggalah yang terbaharu naskhah Setia Dengan Kebenaran menjadi koleksi yang sangat saya sayangi.

Sebenarnya saya secara tidak langsung menjadikan ustaz Hasrizal sebagai tempat rujukan apabila ada kekeliruan. Seperti pada PRU14 yang baru lalu, saya sebenarnya keliru untuk memilih. Semuanya tidak jelas dan saya seperti mahu berkecuali. Tetapi memikirkan negara Malaysia yang saya cintai sepenuh hati ini, saya perlu dan wajib mencari maklumat. Tentulah tulisan beliau yang pertama saya cari. Saya belek kembali artikel-artikel dalam blog beliau sejak bertahun dan cuba mencerna sebaik mungkin di samping membaca juga tulisan-tulisan generasi baru di Facebook. Akhirnya saya pasti dengan pilihan saya tanpa sebarang keraguan lagi.

Begitu pengaruh Ustaz dalam hidup saya.

Setia Dengan Kebenaran masih baru saya tatap, belum pun separuh membacanya. Pun saya tidak sabar-sabar untuk menyelesaikannya malam nanti. Mencari waktu untuk membaca kelihatan sedikit sukar mutakhir ini. Apabila di rumah, saya perlu bersendirian baru seronok untuk membaca. Tetapi seringkali waktu sendirian saya terisi dengan tugas-tugas suri rumah yang tidak pernah mahu habis. Selesai semuanya, saya akan penat dan tertidur. Jika suami ada di sisi, tidak manis pula saya menghadap buku dan membiarkan dia keseorangan tanpa teman bicara. Apatah lagi suami saya seorang yang suka bercerita.

Malam ini in shaa Allah waktu itu ada. Sementelah esok Jumaat, saya tidak perlu menggosok pakaian kerja jadi ruang itu boleh saya gunakan untuk membaca. Kemungkinan besar juga ada majlis tahlil yang akan suami saya hadiri jadi saya tidak perlu memasak. Masa untuk membaca pun bertambah.

Harapnya begitulah. Harapnya saya boleh menghabiskan buku ini malam nanti. In shaa Allah.

Monday, August 06, 2018

Corat Coret

Sepulang dari bercuti Sabtu itu, jiwa saya kering. Melihat rumah yang kacau bilau, kain baju yang memenuhi bakul - yang kotor belum berbasuh, yang kering belum berlipat, yang mahu dipakai belum bergosok - saya biarkan sahaja. Betapa kemalasan sudah mula menguasai.

Ternampak barisan buku-buku baru yang belum berbaca di meja saya, terliur juga mahu menelaah. Tetapi setiap kali mahu menjamah, akan datanglah suara-suara mengingatkan kerja-kerja yang belum sudah itu. Lalu saya tega tidak melakukan apa-apa.

Mengapa ya, hati selalu mengharap pada perkara yang tidak mungkin?

Maafkanlah. Tetapi begitulah.

Hari ini sudah Isnin. Kisah semalam sudah berlalu. Bangkitlah wahai diri, mencari warna-warna indah. Abaikan setiap aura negatif dalam diri. 

Sebenarnya jadual saya hari ini padat. Bermula 9.40 sehingga 10.40 saya ke kelas 5 Ibnu Haitam. Jam 11.10 sehingga 11.40 ke kelas 4 Ibnu Khaldun pula. Dan sepatutnya jam 12.10 sehingga 2.10 petang saya perlu mengajar 5 Ibnu Rushd dan 5 Ibnu Sina. Untungnya kedua-dua kelas itu berbengkel Biologi hari ini dan masa saya menjadi percuma.

Jika difikirkan kerja, ada berbondong-bondong. Sijil penceramah, RPH, tapak analisis PT3, dan melengkapkan borang ECER. Tetapi jiwa masih kering. Ditemani suara merdu M Nasir mengalunkan Suatu Masa pada laptop ini, saya menulis hantaran ini. Bilik ini sepi sebenarnya dan saya suka bersepi-sepi. Sebentar lagi bila ada rakan guru yang datang untuk berbual-bual, sepi akan hilang dari saya. Biar saya manfaatkan sepi ini seketika.

Rindu pula pada emak dan adik-adik. Terasa lama benar tidak bermesra-mesraan. Semoga Allah sedang menjaga mereka dengan sebaik jagaan. Saya mahu sahaja ke rumah emak tetapi kesempatan tiada. Jika hujung minggu diisi dengan bercuti, ruang itu akan hilang. Sebab itu saya malas benar bercuti ke mana-mana kerana bahagia saya ada di sisi keluarga.

Cukuplah dahulu. Jumpa lagi nanti.

Friday, August 03, 2018

Jumaat Ini

Saya sedang sendirian di bilik 314 Hotel Titiwangsa, Brinchang. Suami saya ke masjid bersolat Jumaat.

Jika semalam ada tekanan dalam jiwa saya kerana kerja-kerja yang memenatkan, maka hari ini adalah saat kerehatan yang amat indah. Suhu di sini nyaman tidak terkata, lena saya semalam benar-benar puas. Hotel ini pula menyediakan pakej bilik beserta sarapan dan makan malam. Tentu saya rasa seronok dan bahagia. Walaupun steamboat bukanlah kegemaran saya, tetapi sesekali apa salahnya. Untuk malam nanti saya sudah meminta menu nasi menggantikan steamboat. Wah!

Sungguhlah, apabila tidak perlu memikirkan apa-apa untuk sehari dua ini, saya jadi tenang. Tidak perlu sibuk memasak, tidak perlu sibuk mengemas, hanya makan dan berehat. Indah!

Esok kami akan pulang. Cukuplah dua hari merajakan diri di sini. Ada usia nanti kami datang lagi.

Alhamdulillah. Syukur ya Allah atas kurniaan sebegini.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, August 02, 2018

Stress

Hari ini saya bercuti rehat. Urusan keluarga, kata saya apabila ditanya rakan. Benarlah, saya bercuti kerana urusan keluarga. Suami saya mahu kami berehat di suatu tempat peranginan untuk menghilangkan tekanan. Stress. 

Stresskah saya?

Jujurnya, untuk menyiapkan diri ke tempat tersebutlah yang menstresskan saya. Apa tidaknya, suami saya meminta rakannya untuk tidur di rumah kami selama kami bercuti. Tentunya saya kena siapkan tempat tidurnya, kemaskan rumah agar tidak nampak serabut sangat dan sediakan sedikit kudapan untuknya. Belum lagi ditambah dengan acara menggosok baju dan mengemas beg. Sarapan pagi ini pula saya kena sediakan sebab suami tidak mahu keluar membeli. Segan mungkin kerana hari bekerja tetapi membeli sarapan. (Pelik?)

Badan saya sangat penat semalam menyebabkan saya tiada mood langsung untuk bersiap. Lalu saya tunda ke pagi ini, dan semuanya perlu pantas. Rasa stress sungguh!

Suami mahu turun pada jam 9 dan sekarang saya baru selesai sarapan dan mengemas dapur seadanya. Beg belum diisi. Badan sudah letih.

Lalu apa sebenarnya erti bercuti ini? Mungkin esok saya akan gembira. Harap-haraplah..



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.