Sunday, September 30, 2018

Asyura

Muharram yang tiba menghadirkan hari asyura dan di Kelantan ini, ia seperti tidak lengkap jika tidak menyediakan bubur asyura sebagai santapan bermusim setahun sekali. 

Dr. Radzi Jidin pula bermurah hati menyumbang RM1500 untuk setiap sekolah di Parlimen Ketereh ini untuk jamuan bubur asyura itu. Sekolah kami pun termasuklah.

Nama saya diletakkan di bawah AJK penyediaan bahan yang diketuai kak Sham. Lalu hari ini saya keluar mencari barangannya di Pasar Teman bersama-sama kak Sham dan kak Za. Sungguh ini pengalaman pertama saya membeli bahan-bahan asyura dan sungguh saya terkejut amat. Terkejut dengan kosnya yang begitu tinggi, menghampiri RM 700 untuk satu kawah asyura. Kami mencari bahan untuk empat kawah maka kosnya bolehlah dikira sendiri. Belum lagi dicampur dengan tenaga dan masa untuk penyediaannya yang lama dan memenatkan. 

Sedangkan bubur asyura itu cuma untuk dimakan begitu-begitu sahaja. Maksud saya, bukanlah ia mampu menggantikan nasi kerana ia tidak mengenyangkan. Pada saya, ia cuma sejenis kuih untuk dimakan sedikit-sedikit. Dan saya sendiri sebenarnya tidak menggemari langsung bubur asyura Kelantan ini kerana rasanya pelik pada lidah saya.

Campuran bahan yang pelbagai itu beserta rempahnya yang agak menyengat tidak mampu memikat selera saya. Saya tidak langsung terliur untuk menjamahnya, sejak dahulu sampai kini. Lebih enak lagi rasa lepat ubi atau tepung bungkus yang lemak manis itu. Penyediaan pun jauh lebih mudah. Jadi pada saya, acara memasak bubur asyura ini tidaklah begitu praktikal. 

Tetapi begitulah. Sisi positifnya tetap ada jika kita mahu memikirkannya. Acara sebegini mampu merapatkan silaturrahim dan menyemai semangat kerjasama dan tolong menolong. Malah mungkin lebih jauh dari itu, ia memberi rasa kemesraan dan kasih sayang.

Lusa acara itu akan berlangsung di sekolah kami dan murid-murid Tingkatan 3 sedang bergelut dengan PT3. Pengetua pula sedang berkonvensyen di UKM Bangi. Tinggallah kami yang akan menguruskannya sendiri-sendiri.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, September 29, 2018

Teruja

Kadang-kadang, sesuatu yang bukan hobi kita, dalam keadaan tertentu memberikan juga rasa teruja untuk melakukannya. Contohnya hari ini. Saya begitu teruja memasak ikan siakap kukus halia, sebab sudah lama saya mengidamkannya. Pada hal memasak ialah kerja yang paling saya malas!

Suami saya dari malam semalam lagi ada jemputan jadi acara memasak di rumah tentulah mengikut selera sendiri. Semalam saya masak gulai kepala ikan tenggiri yang sedap amat. Hari ini saya masak ikan siakap halia pula yang lazatnya tidak terkata!

Teringat saya ikan siakap stim yang saya beli waktu bulan puasa lalu. Secubit sahaja saya jamah terus tidak lalu kerana ia manis. Kali ini saya memasak mengikut selera sendiri dan tiada sebiji gula pun yang saya guna. Hanya garam, sos ikan, bawang, serai, tomato, cili, asam limau nipis dan daun sup.Barulah menjadi! Tidak perlu lauk lain lagi kerana rasanya sudah cukup menyelerakan. 

Semalam pun sama. Gulai kepala ikan saya langsung tidak dimasukkan gula.  Saya pantang betul lauk pauk yang manis. Sangat membantutkan selera. Kalau masak kicap pun saya guna kicap lemak, bukan kicap manis. Hairan saya kalau lauk pauk dimasak manis sangat. Tak tertelan!

Dek keterujaan yang teramat sangat tadi, tidaklah sempat saya memotretkan masakan saya itu. Tidak mengapalah, ia abadi dalam hati.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, September 26, 2018

Bahagia


Alhamdulillah, adinda Husna sudah selamat melahirkan anak keempatnya pada awal pagi tadi. Akhirnya terkabul jua hajat mereka suami isteri untuk menimang seorang puteri setelah dikurnia tiga orang putera.

Semoga kehadiran puteri comel ini menambah kebahagiaan kita semua. Amin.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, September 25, 2018

HUSM

Di sini hari ini. Untuk kesekian kali. Dan akan berkali-kali lagi.

Imbasan hari ini kelihatan berbeza. Ada objek lain pula bergantungan dan katanya kemungkinan saya ada adenomyosis.

Apa apa sahajalah. Saya tidak risau lagi. Saya akan sentiasa menerima setiap ketetapan dan meneruskan ikhtiar untuk sihat dalam sakit yang sebegini. Saya tahu Allah itu maha baik. Ujian ini tanda kasih-Nya. Alhamdulillah. Saya syukur sungguh-sungguh.

Doktor mengambil sampel dinding rahim saya untuk biopsi. Saya menahan rasa membiarkan doktor menjolok dan mengimbas, dalam sakit dan malu. Tabahlah duhai hati!

Sekarang saya menanti di farmasi. Kali ini doktor memberi saya empat jenis ubat. Provera untuk menghentikan pendarahan, ferum untuk menambah darah, tranexamic acid untuk diambil jika berlaku pendarahan yang luar biasa dan amlodipine untuk darah tinggi atas permintaan saya. 

Semoga Allah memberi saya kekuatan untuk terus tabah dan redha.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Pergi

Hari ini dia pergi meninggalkan kami selepas lapan tahun lima bulan menemani kami penuh setia. Sayu juga hati saya melihat ia menyusur keluar dari halaman rumah kami pada jam 6.45 petang semalam. Banyak kenangan antara kami yang tercipta, dan tentunya kenangan-kenangan itu akan tersimpan kemas di lubuk hati saya. Ia kereta yang paling lama kami pakai, tentulah terasa benar kehilangannya.

Selamat jalan Camry. Selamat berbakti kepada pemilik barumu. Jika nanti kami mendapat penggantimu, tetap tidak sama dengan kasih kami kepadamu.






Sunday, September 23, 2018

Sisters

Our paths may change as life goes along, but the bond between us remains ever strong.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, September 22, 2018

Lagi Lagi Poligami

Pemahaman tentang poligami dalam kalangan masyarakat Islam sungguh masih terlalu jauh daripada kesempurnaan. Entah kerana apa, mereka yang menolak poligami begitu sekali enggan menerima hakikat yang keharusan poligami ini ada hikmah-hikmahnya. Dan mereka yang menyokong poligami pula sampai lupa ada lompang-lompang yang perlu diteliti sebelum poligami dilaksanakan.

Gunakanlah akal anugerah Allah untuk membuat penilaian. Menolak buru-buru tidak baik. Menyokong bulat-bulat juga tidak indah. Biar kita terlihat bijak dalam mencari rasional apatah lagi dalam persekitaran masyarakat yang semakin sakit akhlak dan moral ini.

Berbahas tentang ini tidak pernah akan ada pemenangnya kerana setiap pihak punya hujah dan setiap hujah ada pula evidennya.

Lihat berapa banyak lelaki bodoh yang mahu berpoligami berbanding lelaki cerdik? Di sini kita sudah boleh nampak kecondongan poligami ini pada arah mana. Lelaki-lelaki yang memiliki akal yang rasional akan sentiasa berfikir panjang dan mengambilkira segala faktor sebelum menerima poligami. Sebaliknya lelaki-lelaki yang berajakan nafsu dan membanggakan ego akan cenderung untuk berpoligami sebagai lambang kelelakian. Pada hal ilmu di dada sekuman cuma dan terabailah segala tanggungjawab kerana kebodohan.

Nampakkan pandangan saya di situ?

Betapa saya menghormati seorang lelaki ini yang punya segala alasan untuk bernikah lagi tetapi masih menjawab, "saya perlu menimbangkan banyak perkara" apabila ditawarkan berpoligami. Pada hal isteri mengizinkan. Malah kekayaan juga dia punya. Peluang sentiasa ada, asal mahu. Dia tetap belum mahu.

Jika lelaki lain, tentu sekali peluang sebeginilah yang dicari-cari. Kemampuan tolak tepi. Apatah lagi wanita masa kini kebanyakannya mampu berdikari. Nafkah zahir bukan keutamaan lagi. Cuma nafkah batin yang perlu diisi. Inilah sampah!

Wahai wanita, sampah memang ada di mana-mana. Janganlah terpedaya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Balik Kampung

Khamis itu saya pulang dari sekolah ke rumah ma, menumpang kereta ustazah Siti.

Saya balik kampung.

Bukan selalu saya punya peluang begini. Peluang untuk berasa bebas berada di rumah ma tanpa memikirkan untuk pulang ke rumah sendiri. Seronoknya!

Ma puasa sunat 10 Muharram jadi saya menemaninya berbuka. Lauk ma ringkas sahaja - udang goreng dan ikan goreng. 

Malam itu saya ditemani Sufi, tidur di bilik pengantin. Baik betul Sufi mahu tidur dengan ummi Ti. Tidak banyak ragamnya, cuma sejuk pendingin hawa agak mencengkam saat pagi menjelang. Terjaga saya apabila dia bertanya, ummi ti ada selimut lain tak? Saya terus mematikan air-cond dan dia kembali menyambung tidur.

Jumaat tiba, saya membelanja anak-anak buah yang tersayang ini KFC yang mereka gemari. Seterusnya saya melayan tidur sahaja. Entah mengapa jadi mengantuk sangat. Cuaca pun redup dan hujan sedikit sedikit. Sedang elok untuk melayan tidur. 

Begitulah. Adik Aziah dan Husna turut memeriahi hari saya. Husna sudah pun bercuti menanti hari bersalinnya tidak lama lagi. Semoga semuanya baik-baik sahaja.

Jam enam petang suami saya datang mengambil saya pulang. Selesailah percutian saya di kampung kali ini.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, September 20, 2018

Kecewa Seorang Guru

Menjadi seorang guru, tanggungjawab yang terpikul sangatlah berat. Apatah lagi apabila mengajar mata pelajaran SPM, yang merupakan sijil paling mahal di negara ini. Semangat untuk memberi yang terbaik sentiasa berkobar-kobar dalam jiwa tulus saya dengan harapan agar anak-anak didik yang saya sayang akan berjaya menggapai impian dan cita-cita masa hadapannya.

Setiap kali peperiksaan hampir tiba, saya cuba memberi lebih daripada biasa dan pada masa yang sama saya mahu mereka juga melebihkan usaha. Itu yang seharusnya.

Hari ini saya selesai menanda kertas peperiksaan percubaan SPM mereka. Daripada 20 orang pelajar kelas terbaik ini, hanya 11 orang yang lulus.

Alangkah kecewanya saya!

Begitu perasaan yang ada. Tidak tahu mengapa, saya rasa seperti saya yang bersalah kerana tidak memberi mereka yang sehabis baik. Tetapi hakikatnya, semua soalan yang ditanya itu sudah berkali-kali kami bincang cuma ditukar rupa sahaja. Masihkah saya yang bersalah?

Entahlah bagaimana lagi yang harus saya lakukan. Risau dan bimbang jika SPM mereka nanti menghadirkan keputusan yang ngeri. Kepada Allah sahaja tempat saya memohon dan berserah.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, September 18, 2018

Balada

1990.

Saya suka benar mengimbas tahun ini. Tahun yang tenang dan damai kerana saya baru selesai SPM. Jika kawan-kawan saya mengisi masa mereka dengan belajar menjahit, belajar memandu, belajar trengkas (sekarang dah tak ada kot!) dan macam-macamlah, saya cuma di rumah menemani ma yang sedang alahan mengandung anak kelapan.

Saya seronok sebenarnya. Memasak, membasuh, mengemas, mengasuh, dan semua kerja-kerja surirumah menjadi rutin saya. Televisyen dan radio pula teman paling setia apabila berehat. Selepas makan tengah hari saya layan radio sampai petang. Malam pula saya jaga televisyen sampai tamat siaran.

Menulis surat dan membaca majalah menjadi hobi terindah. Setiap hari saya menanti surat dari kawan-kawan dan setiap bulan saya meminta adik saya belikan majalah.

Dalam memenuhi waktu itu, saya menjadi mesra dengan lagu-lagu yang berkumandang di radio. Kini apabila teringat, saya mencarinya di Youtube. Antara lagu yang susah untuk saya temui ialah Balada Cintaku nyanyian ND Lala. Lagu ini indah benar liriknya. Katanya, kisah kekecewaan ND Lala apabila kekasihnya Salwa Abdul Rahman menikah dengan pemain bola sepak Kuala Lumpur, Subadron Aziz. Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Zur Ain ini kerap benar diputar di radio masa itu sehingga saya mampu menghafalnya. Saya pernah mencarinya di internet lama dahulu tetapi baru bertemu beberapa bulan lalu. 

Di pesta ini menyaksikan
balada cintamu
ada petanda di wajah wajah yang keriangan

Hatimu senandungkan lagu syahdu

Apakah engkau cuba
menyembunyikan kisahmu
Mengharap air mata agar tidak menyirami

Balada kepalsuan

Berdua dikau 
merenjis air mataku
Yang lara di mahligai keindahan 

Cinta terbuang
di mana kau semadikan
Kau jadikan hantaran persandingan

Di pesta ini 
segalanya menjadi nyata
tiada lagi aku
walau pernah di hatimu

Balada cinta ini kian berakhir 

Di pesta ini 
berat rasa ku melangkah pergi
sentuhan duka lara
memujuk memapah diri

Tinggallah yang dulu kekasih hati

Balada cintamu
mendodoikan rindu

Balada cintaku
terbiar layu

Kini berpesta
lagu luka
yang kunyanyi
hanyalah untukmu
di tembok rindu

Semua ketenangan itu tamat pada 18 Jun 1990 apabila saya dipanggil ke Matrikulasi UKM Kulim. Kehidupan baru pun bermulalah. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, September 17, 2018

KB Mall



Lama dah rasanya saya tak pergi KB Mall. Inilah satu-satunya shopping mall yang suami saya sudi singgah bersama saya selain G Orange. Yang lain - Giant, Aeon, Tesco, Mydin dan semualah, suami saya memang tak berminat. Kenapa? Saya pun tak tahu! Puas diajak, puas dipujuk, dia buat dek je!

Semalam lepas zohor kira-kira jam dua suku petang, kami keluar ke KB Mall. Tujuannya hendak membeli pakaian suami saya. Dia mahu kemeja, t-shirt, jeans, seluar panjang dan kasut. Saya hanya peneman setia.

Alhamdulillah semua yang diingini wujud di situ. Selalunya suami saya susah dalam memilih. Cerewetlah juga, tetapi kali ini baik-baik sahaja. Kebetulan KB Mall ada special offer. Untuk pembelian RM80 ke atas dapat baucer tunai RM5. Wah! Bagus begini. Kami dapatlah mengumpul RM20 dalam bentuk baucer. Itu pun saya silap perhitungan. Jika pembayaran kami yang terakhir itu saya asingkan kepada dua kali pembayaran, tentu akan dapat RM10 lagi!

Kami berhabis hampir RM500 untuk kesemua barangan suami saya itu. Untuk saya, sifar.

Itu sahaja. Sekian.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, September 15, 2018

Mercedes

Petang Khamis itu, suami mengajak saya ke kedai kereta import terpakai Mayazia untuk melihat kereta Mercedes idamannya.

Jiwa lelaki sungguhlah tidak mampu saya selami. Toyota Camry 2.0G hitam yang kami naiki sejak 2010 itu masih elok dan cantik. Baki pinjaman pun cuma tinggal 3 bulan sahaja lagi. Pada saya, cukuplah dengan yang itu. Sehabis membayar nanti, kami akan punya lebih banyak tunai di tangan dan boleh digunakan untuk pelbagai lagi perkara lain dalam hidup yang sudah tidak lama ini.

Tetapi suami saya punya impian yang berbeza. Kita mampu, katanya. Dia mahu merasa juga memiliki kereta mewah jenama Mercedes. Setiap hari dia melayari Mudah.my untuk melihat dan membanding model-model yang diminati beserta harganya sekali.

Awalnya dia mahu Mercedes Benz E250 warna hitam. Sana sini mencari, tetapi tiada yang seperti dia inginkan. Tiba-tiba terpandang pula Mercedes CLA180 AMG warna putih yang diiklan di Mudah.my, dan terus dia jatuh hati. Pengiklannya adalah Mayazia. 

Harga tertera RM178K sedangkan harga jualan Camry kami tidaklah sebanyak mana. Sehingga hari ini pun masih berteka-teki harganya memandangkan pembeli bukan mudah diperoleh. Jika dijual di kedai, paling tinggi pun RM45K. Jika dijual sendiri ke tangan orang, mungkin sekitar RM50K. Itu sahaja nilainya.

Saya pula, tiada hak untuk menghalang dia meneruskan impiannya. Jam 4.20 petang Khamis itu saya mengiringinya melihat kereta idamannya itu.

Memang cantik. Malah sangat canggih. Saya yang pada mulanya agak tidak bersungguh, berubah rasa saat melihat kereta itu. Tetapi itulah, harga yang tinggi dan bukan suatu keperluan utama untuk kami menukar kereta meletakkan saya kembali ke landasan asal saya. Pun apalah daya, suami tetap mahu dan keputusannya, dia bersetuju membeli kereta itu.

Saya sebagai pengurus kewangan mula mencongak bayarannya. Saya dengan nekad dan penuh yakin meminta dia membuat pinjaman RM100K sahaja untuk tempoh tujuh tahun. Tidak boleh lebih daripada itu. Dalam hitungan saya, bayaran bulanan akan menjadi RM1407 dan di dalam kemampuan kami. 

Dia mulanya hairan, kenapa mahu begitu? Kenapa tidak meminjam lebih banyak dan tempoh lebih lama? 

Oh tidak! Saya adalah manusia yang tidak suka berhutang. Jika ikutkan hati saya sudah tentu saya tidak mahu menukar kereta tetapi demi meraikan seorang suami, saya akur. Jadi untuk mencepatkan hutang itu langsai kenalah ikut cara yang saya syorkan itu.

Alhamdulillah dia setuju.

Seterusnya, kami menanti pembeli Camry kami tiba dan Isnin ini kami akan ke Mayazia lagi untuk meneruskan perbincangan.

Semoga Allah redha.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Berkurung

Hari ini hari kedua saya tidak menjejak tanah. Tidak melihat sinar matahari. Berkurung sahaja di rumah.

Begitu jika cuti hujung minggu tanpa apa-apa rancangan. Saya lebih senang menghabiskan masa sendiri-sendiri begini. Tenang dan aman. Tenteram sekali.

Apa yang saya buat?

Usai solat Subuh dan menghabiskan bacaan Al-Kahfi, saya menanti suami pulang dari masjid untuk sarapan bersama-sama. Tidak perlu saya memasak kerana pulangnya nanti bersama nasi berlauk gulai ayam kampung yang saya pesan tadi. Lazat sekali sarapan begitu. Saya cuma membancuh air sahaja. Untuk dia tentunya teh o ais, dan untuk saya secawan kopi segera yang saya beli dari seorang pakcik di sekolah semalam. Sedap juga kopi itu.

Seterusnya, saya berehat sahaja diselang selu dengan tugas rumah tangga yang ringan-ringan. Melipat kain, mengemas dapur, saya gilirkan dengan melayari internet, bermain "Swiped Fruit" dan mendengar alunan lagu-lagu kegemaran saya. Suami saya ke sana ke mari tanpa perlu saya kisahkan. Dia sibuk menguruskan lembu yang baru dibeli Selasa lalu, juga mencari pembeli Toyota Camry yang mahu dijual itu. Saya tidak campur urusan begitu. 

Jam 11.30 pagi, saya sediakan roti bakar untuk mengalas perut sementara menanti makan tengah hari selepas solat Jumaat nanti. Dan hidangan saya hari ini ialah kari ikan pari campur bendi dan kepak ayam goreng. 

Selepas makan tengah hari dan solat zohor, saya lena sehingga jam lima! Kata suami saya, hujan ribut kuat tadi tetapi saya langsung tidak sedar. Lena benar saya tidur! Mujur suami saya tidak kisah dan langsung membiarkan saya tidur tanpa gangguan.

Jam enam petang, saya menonton "Cinta Tiada Ganti" tetapi dek saya sudah tahu inti ceritanya, saya tidak begitu berminat sangat. Lakonan Aedy Ashraff tidak langsung menyentuh hati sebagai mana Jericho Rosales. Entah kenapa begitu, jiwa saya masih menyukai kisah Sanay Wala Nang Wakas kerana lebih hidup dan menyentuh. Cinta Tiada Ganti tidak memberi saya rasa itu walaupun ia diadaptasi sepenuhnya dari Sanay Wala Nang Wakas.

Sudahnya, saya ke dapur menyediakan mi berkuah ringkas. Hanya tumisan bawang putih dan halia, isi ayam dan sotong, sayur sawi dan bawang besar, lada dan telur, saya curahkan ke atas mi kuning celur. Cukup dua pinggan untuk kami nikmati sebagai makan petang dan malam sekali.

Maghrib tiba, suami saya ke masjid dan saya kembali menyendiri. Inilah masa untuk saya menghadap yang Esa sepuas hati tanpa gangguan, mencari tenang dan tenteram.

Jam sembilan suami saya pulang dan kami cuma menikmati kopi o panas dan biskut sebagai makan malam.

Begitu catatan Jumaat 14 September 2018. Walau tidak ke mana-mana, saya tidak sunyi.

Dan hari ini, 15 September 2018, saya masih meneruskan kisah sendiri-sendiri yang amat saya gemari.

Alhamdulillah. 


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, September 09, 2018

Alumni

Sejak kemunculan media sosial di alam nyata ini, segala macam alumni tumbuh bak cendawan selepas hujan. Positifnya, bertautlah kembali ukhuwwah yang lama terputus. Bertemulah kembali rakan taulan sahabat teman dalam reunion yang dianjurkan setiap tahun.

Saya sendiri, sejak 2008 sudah ada reunion MRSMKT yang saya kasihi tetapi sehingga kini masih belum pernah saya hadiri. Sombongkah saya? Rasanya tidak. Keinginan sememangnya membuak-buak mahu bertemu sahabat lama, tetapi banyak kekangan dan faktor lain yang mesti saya ambil kira. 

Malam tadi, saya menghadiri majlis makan malam alumni sekolah suami saya. Cuak juga, tiba-tiba sahaja dia maklumkan yang bayaran sudah dibuat untuk saya. Tiada pilihan lagi selain akur walaupun malas sungguh rasanya!

Majlis katanya bermula jam 8.30 tetapi biasalah, banyak asbab yang menyebabkan jam 9.30 baru bermula. Lama pula menonton persembahan dikir barat, perut sudah lapar benar. Jam 10.00 baru jamuan bermula.

Saya memaku diri di meja sahaja. Siapalah yang saya kenal, mereka bukan teman rapat atau teman sekerja saya. Mujur ada seorang dua yang pernah saya temui sewaktu rombongan atau lawatan SMK Kadok.

Jam 11 baru kami pulang. 


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, September 08, 2018

Hujung Minggu

Sekadar catatan untuk sebuah ingatan.

Khamis, 6 September 2018 jam 0935 malam ma akan menaiki penerbangan Air Asia menuju ke Kuala Lumpur. Tiket saya tempah bersekali dengan kerusi roda supaya ma selesa ditolak oleh petugas Air Asia nanti. 

Jam 7.45 malam, kami bergerak ke lapangan terbang. Jalan lengang sahaja. Tiba di sana sekitar jam 8.25 malam dan sebaik selesai daftar masuk, saya dan ma minum-minum dahulu di Dunkin' Donut. Suami saya masih mencari parkir. Lama juga, sebab ramai orang sedang menanti kepulangan sanak saudara dari Tanah Suci.

Jam 9.20 malam barulah petugas Air Asia datang mengambil ma. Kami pun pulang dan singgah makan malam di Restoran De Harmoni.

Jumaat pagi, sarapan dibeli seperti biasa. Nasi berlauk ayam kampung cukup mengenyangkan. Kami tidak ke mana-mana hari ini kerana suami saya mahu menanda folio Geografi PT3 nya. Sementara itu, sempat dia meminta saya memasukkan gambar lembu untuk dijual dalam aplikasi mudah.my. Baru beberapa minit iklan tersiar, sudah ada yang menelefon mahu membeli.

Makan tengah hari saya masak ringkas sahaja. Singgang tulang, ikan kekek goreng, ulam timun dan budu durian. Kenyang sudah. Alhamdulillah. 

Petang tiba, saya sediakan jemput bilis dan air teh. Pembeli lembu datang dan bersetuju mengambil lembu itu pagi esok dengan harga RM4100. Selesailah masalah menjual lembu. Kini masalah menjual kereta pula yang timbul.

Malam, suami saya bertahlil di rumah abang Wahab. Saya tidak perlu memasak sebab nasi tadi masih ada.

Sekian.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, September 02, 2018

Introvert

Ramai pula yang saya lihat mengakui diri mereka introvert. Pada hal, yang saya nampak mereka tidak mempunyai banyak pun ciri introvert. Kenapa masing-masing mahu jadi introvert? Nampak genius agaknya. 

Introvert atau ekstrovert, malah ambivert juga bukan sesuatu yang boleh dipilih. Ia personaliti yang hadir sejak lahir, dan sebati dalam jiwa. Seorang introvert tidak mungkin berubah menjadi ekstrovert begitu juga sebaliknya. Ciri-ciri itu akan kekal dalam diri mereka sampai mati. 

Sama ada introvert atau ekstrovert, mereka tetap mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Introvert dan ekstrovert sebenarnya saling melengkapi dalam mewarnai dunia walaupun mengikut kajian, golongan ekstrovert lebih ramai iaitu anggaran dua pertiga berbanding hanya satu pertiga introvert dalam dunia ini.

Jadi berbanggalah anda dengan diri anda walau apa pun personaliti anda. Jadilah diri sendiri kerana itu adalah kelebihan anda.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, September 01, 2018

Suami

Tadi terbaca di fb kisah pasangan yang baru kenal satu hari, terus ambil keputusan untuk nikah. Tahniah dik. Alhamdulillah. Allah permudahkan jodoh kalian pada waktu terbaik.

Saya antara yang sangat percaya tentang pergantungan kepada Allah semata-mata. Bukan menidakkan ikhtiar, tetapi paling utama ialah ketetapan dari-Nya. Dalam apa jua perkara, tulisan takdir Allah dan kekuatan doa tidak boleh dipinggirkan. Itulah pegangan yang perlu ada dalam diri setiap Muslim.

Dahulu, sewaktu usia saya menginjak 24 tahun, saya mula resah memikirkan masa hadapan. Ramai teman saya sudah mula bertunang dan ada juga yang berkahwin walaupun belum tamat pengajian. Saya? Sungguh saya akui, saya tidak pandai bercinta. Saya malah lari dari memiliki cinta seorang lelaki. Saya tiada teman istimewa.

Pun, jauh di sudut hati, saya mengharap kehadiran lelaki yang ikhlas memilih saya sebagai isteri. Yang sedia menerima setiap kelebihan apa lagi kekurangan. Yang setia, yang menghargai dan yang melindungi. Saya tidak perlukan harta, kerana saya boleh mencarinya sendiri. Saya tidak perlukan rupa, kerana saya lebih meyakini hati.

Setiap hari, sejak usia saya 24 tahun itu, saya ungkapkan hajat saya dalam doa kepada Tuhan. Hadirkanlah ya Allah, seorang suami yang sedemikian untukku.

Setiap hari, dengan penuh perasaan dan pengharapan, itulah ucap saya kepada Tuhan. Dengan penuh keyakinan.

Alhamdulillah, permohonan saya terjawab dengan penuh keindahan pada usia saya menyentuh 26 tahun. Hadir dia, sebagai anugerah dari Tuhan untuk saya dan saya amat mensyukuri dan menghargainya.

Alhamdulillah. 

Sudah 21 tahun kami menempuh segalanya bersama. Pahit manis berbaur dan itulah kebahagiaan. Semoga usia perkahwinan ini akan terus bertambah dari tahun ke tahun, dan membawa kami sehingga ke syurga. 

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.