Sejak kemunculan media sosial di alam nyata ini, segala macam alumni tumbuh bak cendawan selepas hujan. Positifnya, bertautlah kembali ukhuwwah yang lama terputus. Bertemulah kembali rakan taulan sahabat teman dalam reunion yang dianjurkan setiap tahun.
Saya sendiri, sejak 2008 sudah ada reunion MRSMKT yang saya kasihi tetapi sehingga kini masih belum pernah saya hadiri. Sombongkah saya? Rasanya tidak. Keinginan sememangnya membuak-buak mahu bertemu sahabat lama, tetapi banyak kekangan dan faktor lain yang mesti saya ambil kira.
Malam tadi, saya menghadiri majlis makan malam alumni sekolah suami saya. Cuak juga, tiba-tiba sahaja dia maklumkan yang bayaran sudah dibuat untuk saya. Tiada pilihan lagi selain akur walaupun malas sungguh rasanya!
Majlis katanya bermula jam 8.30 tetapi biasalah, banyak asbab yang menyebabkan jam 9.30 baru bermula. Lama pula menonton persembahan dikir barat, perut sudah lapar benar. Jam 10.00 baru jamuan bermula.
Saya memaku diri di meja sahaja. Siapalah yang saya kenal, mereka bukan teman rapat atau teman sekerja saya. Mujur ada seorang dua yang pernah saya temui sewaktu rombongan atau lawatan SMK Kadok.
Jam 11 baru kami pulang.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment