Saturday, September 29, 2018

Teruja

Kadang-kadang, sesuatu yang bukan hobi kita, dalam keadaan tertentu memberikan juga rasa teruja untuk melakukannya. Contohnya hari ini. Saya begitu teruja memasak ikan siakap kukus halia, sebab sudah lama saya mengidamkannya. Pada hal memasak ialah kerja yang paling saya malas!

Suami saya dari malam semalam lagi ada jemputan jadi acara memasak di rumah tentulah mengikut selera sendiri. Semalam saya masak gulai kepala ikan tenggiri yang sedap amat. Hari ini saya masak ikan siakap halia pula yang lazatnya tidak terkata!

Teringat saya ikan siakap stim yang saya beli waktu bulan puasa lalu. Secubit sahaja saya jamah terus tidak lalu kerana ia manis. Kali ini saya memasak mengikut selera sendiri dan tiada sebiji gula pun yang saya guna. Hanya garam, sos ikan, bawang, serai, tomato, cili, asam limau nipis dan daun sup.Barulah menjadi! Tidak perlu lauk lain lagi kerana rasanya sudah cukup menyelerakan. 

Semalam pun sama. Gulai kepala ikan saya langsung tidak dimasukkan gula.  Saya pantang betul lauk pauk yang manis. Sangat membantutkan selera. Kalau masak kicap pun saya guna kicap lemak, bukan kicap manis. Hairan saya kalau lauk pauk dimasak manis sangat. Tak tertelan!

Dek keterujaan yang teramat sangat tadi, tidaklah sempat saya memotretkan masakan saya itu. Tidak mengapalah, ia abadi dalam hati.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment