Saturday, September 22, 2018

Lagi Lagi Poligami

Pemahaman tentang poligami dalam kalangan masyarakat Islam sungguh masih terlalu jauh daripada kesempurnaan. Entah kerana apa, mereka yang menolak poligami begitu sekali enggan menerima hakikat yang keharusan poligami ini ada hikmah-hikmahnya. Dan mereka yang menyokong poligami pula sampai lupa ada lompang-lompang yang perlu diteliti sebelum poligami dilaksanakan.

Gunakanlah akal anugerah Allah untuk membuat penilaian. Menolak buru-buru tidak baik. Menyokong bulat-bulat juga tidak indah. Biar kita terlihat bijak dalam mencari rasional apatah lagi dalam persekitaran masyarakat yang semakin sakit akhlak dan moral ini.

Berbahas tentang ini tidak pernah akan ada pemenangnya kerana setiap pihak punya hujah dan setiap hujah ada pula evidennya.

Lihat berapa banyak lelaki bodoh yang mahu berpoligami berbanding lelaki cerdik? Di sini kita sudah boleh nampak kecondongan poligami ini pada arah mana. Lelaki-lelaki yang memiliki akal yang rasional akan sentiasa berfikir panjang dan mengambilkira segala faktor sebelum menerima poligami. Sebaliknya lelaki-lelaki yang berajakan nafsu dan membanggakan ego akan cenderung untuk berpoligami sebagai lambang kelelakian. Pada hal ilmu di dada sekuman cuma dan terabailah segala tanggungjawab kerana kebodohan.

Nampakkan pandangan saya di situ?

Betapa saya menghormati seorang lelaki ini yang punya segala alasan untuk bernikah lagi tetapi masih menjawab, "saya perlu menimbangkan banyak perkara" apabila ditawarkan berpoligami. Pada hal isteri mengizinkan. Malah kekayaan juga dia punya. Peluang sentiasa ada, asal mahu. Dia tetap belum mahu.

Jika lelaki lain, tentu sekali peluang sebeginilah yang dicari-cari. Kemampuan tolak tepi. Apatah lagi wanita masa kini kebanyakannya mampu berdikari. Nafkah zahir bukan keutamaan lagi. Cuma nafkah batin yang perlu diisi. Inilah sampah!

Wahai wanita, sampah memang ada di mana-mana. Janganlah terpedaya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment