1990.
Saya suka benar mengimbas tahun ini. Tahun yang tenang dan damai kerana saya baru selesai SPM. Jika kawan-kawan saya mengisi masa mereka dengan belajar menjahit, belajar memandu, belajar trengkas (sekarang dah tak ada kot!) dan macam-macamlah, saya cuma di rumah menemani ma yang sedang alahan mengandung anak kelapan.
Saya seronok sebenarnya. Memasak, membasuh, mengemas, mengasuh, dan semua kerja-kerja surirumah menjadi rutin saya. Televisyen dan radio pula teman paling setia apabila berehat. Selepas makan tengah hari saya layan radio sampai petang. Malam pula saya jaga televisyen sampai tamat siaran.
Menulis surat dan membaca majalah menjadi hobi terindah. Setiap hari saya menanti surat dari kawan-kawan dan setiap bulan saya meminta adik saya belikan majalah.
Dalam memenuhi waktu itu, saya menjadi mesra dengan lagu-lagu yang berkumandang di radio. Kini apabila teringat, saya mencarinya di Youtube. Antara lagu yang susah untuk saya temui ialah Balada Cintaku nyanyian ND Lala. Lagu ini indah benar liriknya. Katanya, kisah kekecewaan ND Lala apabila kekasihnya Salwa Abdul Rahman menikah dengan pemain bola sepak Kuala Lumpur, Subadron Aziz. Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik oleh Zur Ain ini kerap benar diputar di radio masa itu sehingga saya mampu menghafalnya. Saya pernah mencarinya di internet lama dahulu tetapi baru bertemu beberapa bulan lalu.
Di pesta ini menyaksikan
balada cintamu
ada petanda di wajah wajah yang keriangan
Hatimu senandungkan lagu syahdu
Apakah engkau cuba
menyembunyikan kisahmu
Mengharap air mata agar tidak menyirami
Balada kepalsuan
Berdua dikau
merenjis air mataku
Yang lara di mahligai keindahan
Cinta terbuang
di mana kau semadikan
Kau jadikan hantaran persandingan
Di pesta ini
segalanya menjadi nyata
tiada lagi aku
walau pernah di hatimu
Balada cinta ini kian berakhir
Di pesta ini
berat rasa ku melangkah pergi
sentuhan duka lara
memujuk memapah diri
Tinggallah yang dulu kekasih hati
Balada cintamu
mendodoikan rindu
Balada cintaku
terbiar layu
Kini berpesta
lagu luka
yang kunyanyi
hanyalah untukmu
di tembok rindu
Kini berpesta
lagu luka
yang kunyanyi
hanyalah untukmu
di tembok rindu
Semua ketenangan itu tamat pada 18 Jun 1990 apabila saya dipanggil ke Matrikulasi UKM Kulim. Kehidupan baru pun bermulalah.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment