Tadi terbaca di fb kisah pasangan yang baru kenal satu hari, terus ambil keputusan untuk nikah. Tahniah dik. Alhamdulillah. Allah permudahkan jodoh kalian pada waktu terbaik.
Saya antara yang sangat percaya tentang pergantungan kepada Allah semata-mata. Bukan menidakkan ikhtiar, tetapi paling utama ialah ketetapan dari-Nya. Dalam apa jua perkara, tulisan takdir Allah dan kekuatan doa tidak boleh dipinggirkan. Itulah pegangan yang perlu ada dalam diri setiap Muslim.
Dahulu, sewaktu usia saya menginjak 24 tahun, saya mula resah memikirkan masa hadapan. Ramai teman saya sudah mula bertunang dan ada juga yang berkahwin walaupun belum tamat pengajian. Saya? Sungguh saya akui, saya tidak pandai bercinta. Saya malah lari dari memiliki cinta seorang lelaki. Saya tiada teman istimewa.
Pun, jauh di sudut hati, saya mengharap kehadiran lelaki yang ikhlas memilih saya sebagai isteri. Yang sedia menerima setiap kelebihan apa lagi kekurangan. Yang setia, yang menghargai dan yang melindungi. Saya tidak perlukan harta, kerana saya boleh mencarinya sendiri. Saya tidak perlukan rupa, kerana saya lebih meyakini hati.
Setiap hari, sejak usia saya 24 tahun itu, saya ungkapkan hajat saya dalam doa kepada Tuhan. Hadirkanlah ya Allah, seorang suami yang sedemikian untukku.
Setiap hari, dengan penuh perasaan dan pengharapan, itulah ucap saya kepada Tuhan. Dengan penuh keyakinan.
Alhamdulillah, permohonan saya terjawab dengan penuh keindahan pada usia saya menyentuh 26 tahun. Hadir dia, sebagai anugerah dari Tuhan untuk saya dan saya amat mensyukuri dan menghargainya.
Alhamdulillah.
Sudah 21 tahun kami menempuh segalanya bersama. Pahit manis berbaur dan itulah kebahagiaan. Semoga usia perkahwinan ini akan terus bertambah dari tahun ke tahun, dan membawa kami sehingga ke syurga.
Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
I am crying reading this. Semoga kekal ke jannah kak ti dan abe di.
ReplyDelete