Muharram yang tiba menghadirkan hari asyura dan di Kelantan ini, ia seperti tidak lengkap jika tidak menyediakan bubur asyura sebagai santapan bermusim setahun sekali.
Dr. Radzi Jidin pula bermurah hati menyumbang RM1500 untuk setiap sekolah di Parlimen Ketereh ini untuk jamuan bubur asyura itu. Sekolah kami pun termasuklah.
Nama saya diletakkan di bawah AJK penyediaan bahan yang diketuai kak Sham. Lalu hari ini saya keluar mencari barangannya di Pasar Teman bersama-sama kak Sham dan kak Za. Sungguh ini pengalaman pertama saya membeli bahan-bahan asyura dan sungguh saya terkejut amat. Terkejut dengan kosnya yang begitu tinggi, menghampiri RM 700 untuk satu kawah asyura. Kami mencari bahan untuk empat kawah maka kosnya bolehlah dikira sendiri. Belum lagi dicampur dengan tenaga dan masa untuk penyediaannya yang lama dan memenatkan.
Sedangkan bubur asyura itu cuma untuk dimakan begitu-begitu sahaja. Maksud saya, bukanlah ia mampu menggantikan nasi kerana ia tidak mengenyangkan. Pada saya, ia cuma sejenis kuih untuk dimakan sedikit-sedikit. Dan saya sendiri sebenarnya tidak menggemari langsung bubur asyura Kelantan ini kerana rasanya pelik pada lidah saya.
Campuran bahan yang pelbagai itu beserta rempahnya yang agak menyengat tidak mampu memikat selera saya. Saya tidak langsung terliur untuk menjamahnya, sejak dahulu sampai kini. Lebih enak lagi rasa lepat ubi atau tepung bungkus yang lemak manis itu. Penyediaan pun jauh lebih mudah. Jadi pada saya, acara memasak bubur asyura ini tidaklah begitu praktikal.
Tetapi begitulah. Sisi positifnya tetap ada jika kita mahu memikirkannya. Acara sebegini mampu merapatkan silaturrahim dan menyemai semangat kerjasama dan tolong menolong. Malah mungkin lebih jauh dari itu, ia memberi rasa kemesraan dan kasih sayang.
Lusa acara itu akan berlangsung di sekolah kami dan murid-murid Tingkatan 3 sedang bergelut dengan PT3. Pengetua pula sedang berkonvensyen di UKM Bangi. Tinggallah kami yang akan menguruskannya sendiri-sendiri.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment