Saturday, September 15, 2018

Berkurung

Hari ini hari kedua saya tidak menjejak tanah. Tidak melihat sinar matahari. Berkurung sahaja di rumah.

Begitu jika cuti hujung minggu tanpa apa-apa rancangan. Saya lebih senang menghabiskan masa sendiri-sendiri begini. Tenang dan aman. Tenteram sekali.

Apa yang saya buat?

Usai solat Subuh dan menghabiskan bacaan Al-Kahfi, saya menanti suami pulang dari masjid untuk sarapan bersama-sama. Tidak perlu saya memasak kerana pulangnya nanti bersama nasi berlauk gulai ayam kampung yang saya pesan tadi. Lazat sekali sarapan begitu. Saya cuma membancuh air sahaja. Untuk dia tentunya teh o ais, dan untuk saya secawan kopi segera yang saya beli dari seorang pakcik di sekolah semalam. Sedap juga kopi itu.

Seterusnya, saya berehat sahaja diselang selu dengan tugas rumah tangga yang ringan-ringan. Melipat kain, mengemas dapur, saya gilirkan dengan melayari internet, bermain "Swiped Fruit" dan mendengar alunan lagu-lagu kegemaran saya. Suami saya ke sana ke mari tanpa perlu saya kisahkan. Dia sibuk menguruskan lembu yang baru dibeli Selasa lalu, juga mencari pembeli Toyota Camry yang mahu dijual itu. Saya tidak campur urusan begitu. 

Jam 11.30 pagi, saya sediakan roti bakar untuk mengalas perut sementara menanti makan tengah hari selepas solat Jumaat nanti. Dan hidangan saya hari ini ialah kari ikan pari campur bendi dan kepak ayam goreng. 

Selepas makan tengah hari dan solat zohor, saya lena sehingga jam lima! Kata suami saya, hujan ribut kuat tadi tetapi saya langsung tidak sedar. Lena benar saya tidur! Mujur suami saya tidak kisah dan langsung membiarkan saya tidur tanpa gangguan.

Jam enam petang, saya menonton "Cinta Tiada Ganti" tetapi dek saya sudah tahu inti ceritanya, saya tidak begitu berminat sangat. Lakonan Aedy Ashraff tidak langsung menyentuh hati sebagai mana Jericho Rosales. Entah kenapa begitu, jiwa saya masih menyukai kisah Sanay Wala Nang Wakas kerana lebih hidup dan menyentuh. Cinta Tiada Ganti tidak memberi saya rasa itu walaupun ia diadaptasi sepenuhnya dari Sanay Wala Nang Wakas.

Sudahnya, saya ke dapur menyediakan mi berkuah ringkas. Hanya tumisan bawang putih dan halia, isi ayam dan sotong, sayur sawi dan bawang besar, lada dan telur, saya curahkan ke atas mi kuning celur. Cukup dua pinggan untuk kami nikmati sebagai makan petang dan malam sekali.

Maghrib tiba, suami saya ke masjid dan saya kembali menyendiri. Inilah masa untuk saya menghadap yang Esa sepuas hati tanpa gangguan, mencari tenang dan tenteram.

Jam sembilan suami saya pulang dan kami cuma menikmati kopi o panas dan biskut sebagai makan malam.

Begitu catatan Jumaat 14 September 2018. Walau tidak ke mana-mana, saya tidak sunyi.

Dan hari ini, 15 September 2018, saya masih meneruskan kisah sendiri-sendiri yang amat saya gemari.

Alhamdulillah. 


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment