Saturday, September 15, 2018

Mercedes

Petang Khamis itu, suami mengajak saya ke kedai kereta import terpakai Mayazia untuk melihat kereta Mercedes idamannya.

Jiwa lelaki sungguhlah tidak mampu saya selami. Toyota Camry 2.0G hitam yang kami naiki sejak 2010 itu masih elok dan cantik. Baki pinjaman pun cuma tinggal 3 bulan sahaja lagi. Pada saya, cukuplah dengan yang itu. Sehabis membayar nanti, kami akan punya lebih banyak tunai di tangan dan boleh digunakan untuk pelbagai lagi perkara lain dalam hidup yang sudah tidak lama ini.

Tetapi suami saya punya impian yang berbeza. Kita mampu, katanya. Dia mahu merasa juga memiliki kereta mewah jenama Mercedes. Setiap hari dia melayari Mudah.my untuk melihat dan membanding model-model yang diminati beserta harganya sekali.

Awalnya dia mahu Mercedes Benz E250 warna hitam. Sana sini mencari, tetapi tiada yang seperti dia inginkan. Tiba-tiba terpandang pula Mercedes CLA180 AMG warna putih yang diiklan di Mudah.my, dan terus dia jatuh hati. Pengiklannya adalah Mayazia. 

Harga tertera RM178K sedangkan harga jualan Camry kami tidaklah sebanyak mana. Sehingga hari ini pun masih berteka-teki harganya memandangkan pembeli bukan mudah diperoleh. Jika dijual di kedai, paling tinggi pun RM45K. Jika dijual sendiri ke tangan orang, mungkin sekitar RM50K. Itu sahaja nilainya.

Saya pula, tiada hak untuk menghalang dia meneruskan impiannya. Jam 4.20 petang Khamis itu saya mengiringinya melihat kereta idamannya itu.

Memang cantik. Malah sangat canggih. Saya yang pada mulanya agak tidak bersungguh, berubah rasa saat melihat kereta itu. Tetapi itulah, harga yang tinggi dan bukan suatu keperluan utama untuk kami menukar kereta meletakkan saya kembali ke landasan asal saya. Pun apalah daya, suami tetap mahu dan keputusannya, dia bersetuju membeli kereta itu.

Saya sebagai pengurus kewangan mula mencongak bayarannya. Saya dengan nekad dan penuh yakin meminta dia membuat pinjaman RM100K sahaja untuk tempoh tujuh tahun. Tidak boleh lebih daripada itu. Dalam hitungan saya, bayaran bulanan akan menjadi RM1407 dan di dalam kemampuan kami. 

Dia mulanya hairan, kenapa mahu begitu? Kenapa tidak meminjam lebih banyak dan tempoh lebih lama? 

Oh tidak! Saya adalah manusia yang tidak suka berhutang. Jika ikutkan hati saya sudah tentu saya tidak mahu menukar kereta tetapi demi meraikan seorang suami, saya akur. Jadi untuk mencepatkan hutang itu langsai kenalah ikut cara yang saya syorkan itu.

Alhamdulillah dia setuju.

Seterusnya, kami menanti pembeli Camry kami tiba dan Isnin ini kami akan ke Mayazia lagi untuk meneruskan perbincangan.

Semoga Allah redha.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment