Anda pun sedia maklum, saya adalah produk sekolah asrama penuh iaitu MRSM Kuala Terengganu daripada 8 Januari 1985 sehingga 15 November 1989. Daripada tingkatan satu sehingga tamat tingkatan lima.
Jika mahukan ulasan, tentunya saya akan mengatakan asrama penuh ialah tempat terbaik untuk saya belajar. Sehingga kini pun, saya masih tidak dapat membayangkan bagaimana saya boleh belajar jika berada di rumah. Adik-adik saya masih kecil, bilik kena berkongsi ramai-ramai dan emak sentiasa meminta saya menolongnya itu ini. Sedangkan di asrama, saya ada bilik dan meja sendiri. Saya tidak perlu menjaga adik atau membasuh pinggan. Waktu belajar saya sangat teratur.
Bukanlah saya mahu lari dari tanggungjawab sebagai anak, tetapi gambaran situasinya begitulah. Apakah saya mampu mencapai keputusan SPM 9 agregat dengan enam daripada sembilan mata pelajaran yang saya duduki tertera gred A jika saya belajar di rumah? Pada tahun saya SPM itu, pelajar terbaik di sekolah di kampung saya cuma mendapat 17 agregat. Jika saya di situ, rasanya lebih kurang begitulah keputusan SPM saya.
Pun bukanlah semestinya belajar di rumah itu tidak kondusif. Lihat sahaja adik saya Noor Aziah yang muda cuma dua tahun daripada saya, yang mencapai keputusan cemerlang dalam SRP (7A1, 1A2) dan SPM (7 agregat) walaupun belajar di rumah dalam suasana seperti saya nyatakan tadi. Mentalnya kuat dan semangatnya tinggi. Adik-adik saya yang lain pun cemerlang juga cuma situasi sudah bertambah baik apabila ayah membesarkan rumah dan menambah bilik serta tiada lagi adik-adik yang kecil untuk dijaga.
Saya terfikir tentang ini apabila ada yang merungut mengapa tempat di asrama penuh pada tahun ini diberi kepada anak-anak miskin (B40). Mereka menganggap tidak adil bagi anak-anak golongan pertengahan yang cemerlang tetapi tidak dipilih ke asrama penuh. Pada hal tujuan asal penubuhan asrama penuh pada sekitar tahun 1960an dulu ialah untuk memberi ruang kepada anak-anak miskin yang cemerlang kerana keluarga mereka tinggal di rumah sempit, serta kurang kemampuan untuk menyediakan kemudahan belajar yang sempurna di samping nutrisi makanan juga tidak pada tahap terbaik.
Lalu mengapa mesti golongan pertengahan masih mahu meminta-minta?
Anak-anak zaman kini sebenarnya rami yang lebih selesa belajar di rumah. Pengalaman saya di SMK Kampong Chengal menyaksikan berapa ramai murid yang berjaya ke asrama penuh tetapi pulang semula ke sekolah harian kerana tidak selesa di sana. Murid-murid ini datang dari keluarga yang mampu memberikan keselesaan jadi berada di asrama sangatlah tidak seronok. Berbeza dengan saya dahulu, sangat terasa selesa dengan persekitaran asrama kerana di rumah tiada privasi. Jadi bukankah murid-murid sebegini tidak perlu diberi tawaran ke asrama penuh?
Sebenarnya, apa yang lebih penting ialah keazaman dan kerajinan anak-anak kita, bukan sekolah, bukan guru. Sekolah harian biasa pun mampu melahirkan pelajar cemerlang selagi mereka berjuang sepenuh jiwa. Jangan letakkan sekolah sebagai matlamat, tetapi kejayaan di dunia dan akhirat.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment