Tersentak saya menerima berita kematian Ustaz Mustaffa Daharun, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan pagi tadi, yang disampaikan oleh rakan saya dalam kumpulan WhatsApp.
Ustaz Mustaffa yang saya kenali sejak 1985 mengajar saya sewaktu tingkatan dua dan tingkatan tiga di MRSM Kuala Terengganu. Saya amat menggemari mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam dan ustaz mengajar dengan baik sekali. Wajahnya sentiasa tersenyum manis dan tidak pernah marah-marah.
Ustaz juga seorang warden yang sangat baik dan bertanggungjawab. Saya amat menghormati Ustaz kerana ketenangannya dan kesabarannya dalam mendidik. Berkat didikan ustazlah saya dianugerahkan gred A1 dalam mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam SRP 1987.
Pada 1990, saya belajar pula di Matrikulasi MARA Kulim, dan sekali lagi saya bertemu Ustaz. Ustaz mengajar saya selama dua semester dan saya sangat menyukai caranya. Banyak benar ilmu yang dikongsi, antara yang saya ingat hingga sekarang ialah cara mengenal mushaf Uthmani juga tentang hadis sahih, hasan dan dhaif. Ralatnya, semasa di Matrikulasi kami tidak diuji untuk mata pelajaran Pendidikan Islam, hanya kuliah sahaja. Jika ada ujian rasanya saya mampu meraih gred cemerlang kerana saya suka benar dengan kuliah Ustaz.
Dan hari ini, Ustaz yang saya kasihi ini telah pulang ke sisi Tuhan, dengan aman dan tenang sekali. Ustaz sebenarnya baru sahaja pulang dari umrah pada minggu lalu. Sungguh Ustaz pergi dalam keadaan yang amat indah.
Tuhan, jagakanlah dia. Tempatkanlah dia dalam kalangan insan soleh yang Engkau kasihi.
Selamat bersemadi Ustaz. Jasamu hanya Allah jua yang mampu membalasnya.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment