Tuesday, December 11, 2018

Mihun Sup Tulang


Rasanya, semua pun tahu saya ini tiada kepakaran langsung dalam memasak. Malah, ia bukanlah aktiviti yang saya gemari. Pada saya, memasak sangat memenatkan serta renyah pula.

Tetapi tahukah anda jika demi ahli keluarga tersayang saya rela apa sahaja? Apabila merancang untuk mengajak ahli baru keluarga kami, adinda Hafiz dan seluruh ahli keluarga yang ada datang ke rumah, saya yang tidak gemar memasak ini tiba-tiba bersemangat pula.

Menu yang disediakan adalah pilihan adik manis saya, Zahidah. Katanya mahu makan mihun sup tulang. Dan saya, tentunya akan mencuba melakukan yang sehabis baik. Sebenarnya menu ini sangat mudah dan ringkas, cuma bimbang kalau rasanya tidak mencapai piawai.

Hari Isnin 10 Disember saya pilih untuk majlis kecil ini. Ahad 9 Disember saya dan suami keluar untuk acara membeli-belah. Semua bahan selesai dibeli kecuali tulang dan daging sahaja yang suami saya beli pada pagi Selasa untuk memastikan kesegaran rasanya.

Jam 8.50 pagi Selasa itu suami saya sudah pulang membawa dua kilo tulang dan sekilo daging. Tanpa lengah saya terus mencuci dan merebus semuanya supaya empuk sempurna. Seterusnya saya masukkan segala rempah yang perlu untuk menjadikannya sup yang enak.

Untuk makan tengah hari, saya ambil sedikit kuah itu dan masukkan ayam kampung untuk menjadikannya sup ayam kampung pula. Kata suami, sedap!

Diringkaskan cerita, pada jam lima petang hidangan saya pun siaplah. Mihun dan mi yang telah dicelur disediakan bersama sup tulang yang ditabur pula hirisan daun sup, daun bawang, bawang goreng, sambal kicap dan asam limau kasturi. Harap-harap menepatilah selera semua tetamu saya.

Sebagai pencuci mulut, saya sediakan potongan buah epal dan pir juga karipap goreng. Air minuman hanyalah teh o suam.

Alhamdulillah, hidangan saya kali ini sedang elok kuantitinya dan tiada pembaziran berlaku. Seronok sebenarnya jika berkumpul ramai-ramai begini. In Shaa Allah jika ada ruang lain kali kita berkumpul lagi. Terima kasih semua kerana sudi hadir memeriahi majlis yang tidak seberapa ini.


No comments:

Post a Comment