Teringat waktu sebelum nikah dulu - waktu anak dara dan waktu belum kerja - pada 1997, saya suka buat kuih. Kuih paling mudah yang selalu saya buat ialah puding kastard jagung. Mudah sangat-sangat. Saya belajar dengan kawan saya masa di UKM sebab dia selalu buat kuih itu menggunakan periuk letrik di asrama.
Mudah sungguh. Bahan-bahannya cuma tepung kastard, jagung tin, santan, gula dan garam. Sukatannya agak-agak sahaja. Selalunya saya pakai cawan. Semuanya satu cawan kecuali garam (secubit) dan santan (sekotak). Semua bahan itu dimasukkan sekali dalam satu bekas, dikacau sampai larut elok dan dimasak dengan api perlahan sehingga pekat dan kuning berkilat. Dah sejuk bolehlah dipotong-potong.
Hari ini, saya tidak ke mana-mana dan tiba-tiba saya teringat puding itu. Selepas berkahwin, saya tidak lagi serajin dahulu untuk memasak kuih. Tambahan pula suami saya jenis yang tidak berapa gemarkan kuih-kuih begini jadi tidak untung langsung jika memasak untuk saya seorang.
Tetapi dek masa yang terluang begini, saya rajinkan diri juga untuk membuat puding itu hari ini. Kebetulan semua bahan ada di dapur, apa lagi, dalam masa tidak sampai setengah jam puding saya selesai. Untuk menyedapkan lagi rasanya, saya buat pula kuah menggunakan susu cair yang dimasak dengan sedikit gula dan sesudu tepung kastard serta sedikit kismis.
Sekarang ia berada di dalam peti sejuk dan sekitar jam 6.00 petang nanti sedang eloklah rasanya untuk dimakan. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan suami saya terhadap kuih ini, tetapi saya sudah bersedia dengan menu kedua jika dia tidak suka. Menu yang tidak pernah dia tolak ialah roti bakar disapu kaya. Senang bukan?
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment