Thursday, December 06, 2018

Tamat

Tahukah anda bagaimana perasaannya apabila tamat menduduki peperiksaan besar?

Saya masih boleh ingat perasaan itu. Rasa yang lega teramat, hilang segala rasa bersalah dan juga rasa tidak tahu mahu baca yang mana satu. Jika sebelum peperiksaan, selalu sahaja rasa bersalah menghantui apabila asyik membuang masa tanpa mengulangkaji dan apabila menunggu di luar dewan, ada sahaja gangguan fikiran tentang bab yang masih belum faham. Selalu begitu dan saya tidak suka rasa itu.

SRP, SPM, Matrikulasi dan Ijazah - empat jenis peperiksaan telah saya lalui dan perasaan lega setiap kali tamat peperiksaan adalah sesuatu yang tidak terucapkan. Terasa ringan benar kepala dan terasa masa yang ada sangat panjang. 

Pada usia kini, saya sudah tidak mahu lagi dibebani rasa gentar saat melangkah ke dewan dan saat membuka kertas soalan. Rasa berat benar perasaan itu dan saya tidak sanggup melaluinya lagi. Mungkin kerana itulah saya sudah tidak mempunyai keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Cukuplah dengan Sarjana Muda ini. Tidak mahu lagi Sarjana atau Doktor Falsafah. Saya mahu rehat daripada memiliki beban rasa sebegitu. 

Adik-adik yang punya jiwa kuat, janganlah seperti saya. Teruskanlah memburu cita-cita sehingga mencapai peringkat tertinggi. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment