Sunday, December 02, 2018

Lapang

Jam berdering, azan bergema tetapi mata masih enggan dibuka. Sejuk yang mencengkam begini menjadikan tidur itu enak sekali. Pun panggilan Subuh perlu dilaksana. Nanti barulah boleh sambung semula.

Begitu setiap pagi dalam cuti-cuti begini. Usai Subuh masih ada ruang untuk kembali ke katil dan berguling-guling tanpa gangguan sehingga suami pulang dari masjid bersama sarapan. Selalunya jam 7.45 pagi dia akan pulang dan kami sarapan bersama-sama. Selepas sarapan dia akan keluar sehingga jam 9.00 untuk bertemu rakyat jelata dan saya pula bersendirian kembali sambil mengemas apa yang patut, atau terbaring di katil bermain games di laptop atau di telefon. 

Oh tenang sungguh!

Jika ada keperluan, kami akan keluar jam 10.00 untuk berbelanja dan singgah di rumah ma dan rumah mek. Jika tidak, saya terus bersantai tanpa risau di rumah. Jam 11.30 saya akan sediakan sedikit hidangan alas perut sebelum dia keluar solat Zohor. Seterusnya saya memasak untuk makan tengah hari dan menu saya sentiasa yang ringkas-ringkas. Selalunya dalam 45 minit sahaja saya siap memasak. Selepas Zohor kami akan sama-sama makan tengah hari. Badan sudah penat maka agenda berikutnya tentulah menyambung tidur sehingga Asar!

Tidur saya sentiasa aman tanpa gangguan. Selalu juga terbabas hingga 5.30 petang kalau cuaca sejuk dan badan penat. Tetapi pada kebanyakan hari, saya akan terjaga sebaik Asar tiba. Seterusnya saya akan menonton tv atau melayari internet sehingga jam 6.30 petang. Penuh santai, bersama bantal dan selimut yang setia menemani.

6.30 petang saya akan ke dapur untuk menyediakan minum petang yang ringkas sebagai alas perut sebelum suami saya ke masjid. Dan waktu maghrib hingga Isyak saya bersendirian lagi dengan penuh ketenangan. Memasak untuk makan malam pun saya selalu buat yang mudah sahaja. Mi goreng, atau nasi putih dan satu lauk. Selepas makan malam, saya teruskan dengan agenda sendiri-sendiri sebelum mengucapkan selamat malam dunia pada jam 10.

Begitu pusingannya sehinggalah tamat cuti sekolah 39 hari ini. Tentunya jiwa tenang sungguh dan hati lapang benar apabila tidak perlu memikirkan urusan kerja. Alhamdulillah, jawatan guru yang saya pilih ini memberi ruang bersantai begini pada hujung tahun. Benarlah saya tidak silap memilih kerjaya. Jika saya ini doktor atau engineer, peluang ini tidak akan tiba!

Alhamdulillah. 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment