Mencari idea untuk memasak seringkali menjadi tekanan kepada saya. Sarapan pagi dibeli, makan tengah hari juga dibeli. Makan malam nanti mahu beli jugakah? Teruk benar pula rasa diri sendiri!
Usai solat Asar saya ke dapur. Perut lapar sebenarnya sebab tengah hari tadi makan awal, sebelum Zohor lagi. Dalam peti ada udang. Sedap kalau buat mi ni. Mi apa ya?
Mi bandunglah. Mi bandung udang semata-mata. Wah!
Saya mulakan operasi dengan merendam mi, mengopek kulit udang, mengisar bawang dan memotong sawi. Cili kering tiada jadi saya gantikan dengan serbuk cili.
Minyak saya panaskan. Bawang kisar saya tumis, apabila wangi barulah saya masukkan serbuk cili. Saya kacau hingga garing dan masukkan pula air secukupnya untuk kuah dua orang makan. Apabila mendidih saya masukkan udang dan perasakan dengan garam, sos tiram dan sos ikan juga sedikit gula. Sedikit bancuhan tepung jagung saya masukkan untuk memekatkan kuah. Dua biji telur dipecahkan ke dalam kuah itu serentak dengan potongan sayur sawi. Tidak perlu lama, apabila nampak elok saya padamkan api.
Saya masukkan mi yang sudah dicelur ke dalam pinggan, tuangkan kuah tadi secukupnya dan taburkan daun sup beserta perahan limau kasturi. Gambar tidak sempat pula diambil.
Respon positif suami saya memberi kepuasan yang tidak terhingga. Alhamdulillah.
Pinjam gambar dari Google. Lebih kurang macam ni lah hasil mi bandung saya. |
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment