Beberapa minggu lepas, suami saya berhajatkan beg badminton untuk dibawa semasa bermain badminton dengan rakan-rakannya. Beg yang sedia ada itu sudah uzur benar bersesuaian usia yang menghampiri dua puluh tahun. Dia mencari beg itu di kedai peralatan sukan di bandar Kota Bharu tetapi semuanya berharga ratusan ringgit.
Tidak tergamak pula dia berbelanja sebanyak itu hanya untuk sebuah bag mengisi raket badminton dan air mineral. Saya lalu mencadangkan agar dia mencari di Lazada.
Saya memuat naik aplikasi Lazada di telefonnya, dan mendaftar emelnya, serta membiarkan dia meneroka sendiri. Banyak rupanya pilihan di situ dengan harga yang murah. Dia berkenan dengan beg bertulis Oliver berwarna biru dan berharga RM56 termasuk pos. Saya menempah untuknya menggunakan Cimbclicks.
Selang beberapa hari, sampailah beg itu. Terkejut pula dia apabila beg biru itu tidak bertulis Oliver seperti di gambar, tetapi dicetak dengan tulisan Boyolo. Manalah dia mahu menggunakan jenama Boyolo, tak glamour langsung!
Satu hal pula saya terpaksa mencari jalan penyelesaian. Mahu diberi pada orang atau bagaimana? Saya membuka kembali Lazada dan ternampak butang 'return'. Apa lagi, saya cadangkan untuk kita pulangkan semula beg itu kepada penjualnya. Dia tanya, boleh ke? Kenapa tidak? Kata saya.
Lalu saya mengetik butang itu dan membaca segala arahan untuk pemulangan. Saya yang tidak pernah melalui proses sedemikian terkial-kial juga pada awalnya tetapi mujur semuanya dapat saya sempurnakan.
Selepas mencetak label pemulangan daripada Lazada sebanyak tiga salinan, kami terus membungkus semula beg itu dan membawanya ke Pos Laju Tunjung. Rupanya tidaklah susah untuk pemulangan item Lazada, semuanya percuma.
Dan dua hari lepas, wang sebanyak RM56 sudah pun dipulangkan ke Lazada Wallet. Begitu cepat prosesnya dan saya sangat berpuas hati dengan khidmat Lazada.
Memang berbaloi membeli belah di Lazada. Saya masih menyukai Lazada walaupun Shopee sudah melebarkan sayapnya. Citarasa saya mungkin berbeza kerana Lazada cinta pertama saya.
Oh ya, suami saya mencuba lagi mencari beg lain di Lazada. Saya sangka dia sudah serik dengan apa yang terjadi tetapi katanya apa nak risau, kalau tak berkenan boleh pulang semula. Kesudahannya dia menempah beg berjenama Apacs berwarna hitam dengan harga RM40 termasuk pos. Beg itu sudah pun diterima semalam dan kali ini dia berpuas hati.
Alhamdulillah.
Oh ya, suami saya mencuba lagi mencari beg lain di Lazada. Saya sangka dia sudah serik dengan apa yang terjadi tetapi katanya apa nak risau, kalau tak berkenan boleh pulang semula. Kesudahannya dia menempah beg berjenama Apacs berwarna hitam dengan harga RM40 termasuk pos. Beg itu sudah pun diterima semalam dan kali ini dia berpuas hati.
Alhamdulillah.
Akhirnya Apacs menyelamatkan keadaan |
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment