Saturday, March 30, 2019

My Hero

Entah untuk kali keberapa, saya menulis lagi tentang ayah yang telah tiada. Tidak sesekali saya akan pernah jemu, kerana ayah istimewa. Sangat istimewa.

Rabu lalu, genap sembilan belas tahun ayah hilang dari pandangan kami. Terasa masih baru, masih jelas segalanya. Ayah pergi diiring tangis sendu anak isteri, penuh sayu. Kami kehilangan insan yang bermakna dalam hidup kami, yang penuh semangat membesarkan kami.

Tuhan tahu saya sangat bersyukur menjadi anak ayah. Setiap kali ada yang bertanya siapa ayah saya, saya sentiasa menjawab dengan penuh rasa bangga dan bahagia. Walaupun ayah saya cuma seorang kerani tetapi pada saya ayah lebih hebat daripada itu. Ayah bijak, baik, patuh, penuh tanggungjawab. Ayah mendidik kami bukan dengan kata-kata, tetapi dengan akhlak yang indah. Solat lima waktunya tepat, mengaji Quran setiap hari, memberi nafkah keluarga tanpa rungutan, mengambil berat setiap perkara tentang keluarga, tidak suka marah-marah, sentiasa rasional dalam bertindak, amat menepati waktu, dan suka membaca.

Teladan daripada ayah menjadikan kami anak-anak terdidik sendiri tanpa perlu disyarah dileter. Melihat tingkah ayah, kami malu jika kami tidak menyamainya. Ayah bukan seorang ahli akademik tetapi ayah amat meminati ilmu. Ayah hanya seorang kerani bergaji kecil, tetapi ayah bijak menyusun perbelanjaan. Ayah mahu anak-anaknya berjaya di dunia dan di akhirat, lalu ayah memberi contoh terbaik untuk kami.

Saya selalu membayangkan jika ayah masih ada di sisi kami. Tentu emak tidak keseorangan melalui hari-hari tuanya. Tentu ayah bahagia saat dikelilingi cucu-cucunya. Tentu ayah bangga melihat anak-anaknya memiliki kehidupan sendiri yang berwarna warni, seperti yang ayah harap-harapkan.

Apakan daya, semua itu hanya ada dalam bayangan dan khayalan saya. Ayah pergi terlalu awal, pada saat kami masih sangat memerlukan. Pada saat adik-adik saya masih mahu bermanja. Pun kami redha, cuma kami rindu.

Kami yakin ayah kini tentunya lebih bahagia di sana, di sisi Tuhan yang menjaganya. Doa dari kami sentiasa menemani ayah, setiap waktu dan ketika.

Kenangan di sisi ayah tetap indah, sentiasa manis dan tidak akan terlupakan. Jasa dan bakti ayah tetap dihargai dan dikenang sampai bila-bila.

Tenanglah ayah. Damailah ayah. Nanti kita bertemu di syurga.



Friday, March 29, 2019

Tentang TH 2

ULASAN | Saya akan cuba mengulas berkenaan keperluan memindah aset tidak untung milik Tabung Haji (TH) kepada syarikat tujuan khas (SPV) bagi tindakan jangka pendek dengan bahasa mudah dan difahami orang awam.

Menurut standard laporan kewangan (FRS), sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan. Bagaimanapun, menurut Pricewaterhouse Coopers (PwC), TH sebelum ini menetapkan had ambang (threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.

PwC berkata jika had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.

PwC berkata tindakan menyembunyikan kerugian ini dengan tujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012. Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi. PwC berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.

Bagi menghadapi masalah peninggalan pentadbiran lama tersebut, TH dilihat berusaha mengemas kini aset tidak menguntungkan yang bernilai lebih RM 19.9 billion (berbanding asset yang bagus bernilai RM 57.1 bil). Ertinya aset ini semuanya rugi di atas kertas dan jika tidak memberikan hasil kepada TH bagi tahun kewangan terkini dan kewujudannya di dalam buku TH hanya merosakkan kesihatan laporan kewangan, TH yang akhirnya akan menyekat pemberian dividen kepada pendeposit.

Maka bagi merawat hal terbabit dengan segera, pihak TH memilih untuk memindahkan atau menukarkan aset tidak untung ini (sebagaimana klasifikasi yang ditetapkan oleh TH sendiri dan kaedah perakaunan) kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan.

Ia perlu dilaksanakan kerana tiada entiti perniagaan yang ingin membeli aset kurang bagus itu pada waktu ini, maka Kementerian Kewangan adalah entiti yang tepat mewakili kerajaan Malaysia bagi tujuan menerima pemindahan dengan berbalaskan pegangan instrumen pelaburan Sukuk dan saham keutamaan boleh tebus - Islamik (RCPS-I) untuk dimiliki oleh TH.

Saya juga tidak lihat bagaimana mungkin Kementerian Kewangan akan 'merampas' aset tiada hasil itu di masa akan datang, Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc membawa agenda kerajaan, berbeza dengan syarikat yang sifatnya hanya mengejar keuntungan. Kecuali jika SPV di bawah MOF inc itu menjualnya kepada pihak ketiga. itu pun perlu diputuskan oleh kerajaan dan bukannya keputusan satu dua orang sahaja, khususnya jika aset terbabit adalah aset strategik.

Semua wang pendeposit turut dijamin oleh kerajaan. Sebenarnya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan 'hampir' boleh dikatakan sedang 'bail out' TH melalui dua instrumen ini. Orang yang tidak biasa isu kewangan mungkin menganggapnya sebagai pelik.

Aset tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, kemerosotan nilai melebihi 20 peratus. Justeru jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion.

Sefaham saya, tindakan pemindahan kepada SPV dan menerbit instrumen pelaburan Sukuk dan RCPS-i tersebut boleh memberi kebaikan kepada TH.

Pertama, ia menjadikan TH mungkin berpeluang mendapat keuntungan daripada pegangan sukuk sebanyak lima peratus setahun berbanding terjerat dengan aset tidak untung serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan membesarkan jumlah impairment loss dalam laporan kewangan Tabung Haji.

Kedua, ia memastikan TH mampu memberikan dividen kepada pendeposit kerana tanpa pemindahan melalui terbitan dua instrumen patuh shariah itu, TH akan dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset justeru - menurut aktanya - tidak boleh membayar dividen.

Adalah hal biasa SPV di bawah MOF Inc bertindak untuk tujuan-tujuan spesifik memegang aset kerajaan atau institusi kerajaan. Dulu pun kerajaan merawat non-performing loans melalui Danaharta Nasional Bhd yang berfungsi seperti SPV pada waktu itu.

Kini model yang digunakan dan dibentuk di bawah MOF ialah dengan mengambil aset dengan 'bayaran' sukuk dan RCPS-I sebagai balasan kepada TH. Ini tidak bermakna aset itu dimiliki oleh menteri kewangan, timbalannya atau mana-mana individu politik, tetapi dipegang oleh kerajaan Malaysia sendiri. Mungkin menjadi sebahagan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa akan datang juga.

Sebaiknya isu ini tidak dipolitikkan berlebih-lebihan (sedikit saja adalah natural kerana tiada apa yang dapat lari dari politik) kerana pihak TH sedang berusaha sungguh-sungguh membaik pulih lembaga itu yang sebelum ini dipegang oleh orang politik (dari kalangan ahli Lembaga Pengarah) sehingga kelihatan wujud campur tangan yang akhirnya mengurangkan kredibilitinya.

Semua ahli lembaga pengarah TH hari ini bukan dari kalangan politik dan cadangan pemindahan ke SPV di bawah MOF juga sefaham saya datang dari perbincangan lembaga Pengarah, PwC dan pengurusan tertinggi sebelum dibentang di Kabinet.

Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah Haji - ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika tahun 2013 dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bilion setelah ditolak segala liabiliti dan penyesuaian.

Jika apa yang dijangka ini tidak berlaku dan TH menjadi semakin teruk dan dicerobohi pula secara politik, maka bolehlah dianjurkan bantahan ala Himpunan Kesyukuran Penolakan Icerd sekali lagi atau boleh juga diubah kerajaan yang ada melalui PRU ke-15 kelak.

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN 
Presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid)
Pakar kewangan Islam
Profesor adjunct Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Unisel

Tentang TH 1

MENGAPA ASET UMAT ISLAM TABUNG HAJI DISELIA BUKAN ISLAM?

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat terkilan dengan jawapan bertulis Kekanda YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Parlimen kelmarin (Rujuk Malaysiakini 27 Mac 2019) yang akhirnya mengakui bahawa aset-aset Tabung Haji bernilai RM19.9 Billion telah dijual dan dipindahkan daripada Tabung Haji kepada sebuah SPV (Urusharta Jamaah Sdn Bhd) yang hakikatnya diurus sepenuhnya oleh Prokhas Sdn Bhd yang mana CEOnya Chen Yin Heng.

Daripada awal lagi, Pemuda UMNO amat curiga apabila Menteri Agama mengumumkan pemindahan atau penjualan aset-aset Tabung Haji kepada sebuah SPV yang diletakkan dibawah Kementerian Kewangan yang Menterinya Lim Guan Eng. Sedangkan Tabung Haji boleh sahaja mewujudkan Syarikat SPV yang kekal dibawah seliannya sebagaimana model-model penerbitan Sukuk yang dilakukan oleh banyak institusi dalam dan luar negara dengan tujuan menstrukturkan kembali kedudukan aset dan liabiliti di dalam Kunci Kira-kira (Balance Sheet) institusi berkenaan. 

Persoalannya apakah tiada langsung tokoh-tokoh Islam Bumiputera yang berkelayakan menguruskan harta umat Islam Tabung Haji?

Apakah jaminan aset-aset bernilai yang selama ini dimililiki oleh umat Islam melalui institusi yang cukup dihormati dunia Tabung Haji satu persatu tidak dikhianati dan jatuh ke tangan orang lain? 

YB Mujahid juga bertanggungjawab untuk meyakinkan umat Islam bahawa penstrukturan korporat Tabung Haji melalui penjualan aset-aset kepada Syarikat SPV adalah telus dan tiada kompromi terhadap kepentingan umat Islam termasuk aspek pematuhan Syariahnya lantaran terlalu banyak kesangsian dan kerahsiaan dalam transaksinya yang melibatkan aset-aset umat Islam sebelum ini.

Justeru Pemuda UMNO mendesak agar YB Dr Mujahid mengambil tanggungjawab sepenuhnya selaku Menteri yang diamanahkan menjaga kepentingan Institusi terulung umat Islam Tabung Haji dengan memberikan jawapan yang telus dan tuntas atas segala keresahan rakyat terutamanya di kalangan umat Islam hari ini. 

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

27 Mac 2019

Thursday, March 28, 2019

Kedai Nasi Kertas

Review sikit.

Pagi ini tanpa dirancang kami bersarapan di Kedai Nasi Kertas, Kok Lanas. Alkisahnya, usai Subuh tadi suami saya seperti kebuntuan, tidak tahu mahu membeli sarapan di mana. Saya yang sedang melayari Facebook, terpandang hantaran gambar sahabat maya saya di Restoran Nasi Kertas. Saya pernah menyebut tentang kedai ini kepada suami saya dan kami pun tahu lokasinya.

Dalam nada bergurau, saya bersuara, "Haaa... Pagi ni kita sarapan di Kedai Nasi Kertas lah!"

Tanpa saya sangka suami saya benar-benar mahu. Saya pun apa lagi, bersiaplah!

Jam 8.10 pagi kami turun dan dalam masa 25 minit perjalanan, tibalah kami di kedai itu. Mudah sahaja tempatnya, betul-betul bertentangan dengan Petronas Kok Lanas. Tempat parkingnya luas dan memudahkan kami.

Pelanggan tidaklah terlalu ramai sewaktu kami sampai, kedainya agak luas dan selesa. Lauk pauk banyak, kuih pun boleh tahan. Saya meminta nasi berlauk ayam kampung gulai manakala suami pula nasi berlauk ayam kampung goreng dan sedikit bilis goreng. Air teh o ais tentunya pilihan kami.

Seperti namanya, hidangan kami itu tidak menggunakan pinggan tetapi diletak di atas kertas pembungkus nasi. Alhamdulillah, sedap sangat. Harganya cuma RM15.50. Sangat berbaloi.

Jika anda juga kebuntuan mencari sarapan pagi, bolehlah datang ke kedai ini.




Wednesday, March 27, 2019

Tular Menular

Setiap kali mereka mengongsi video dan gambar berkaitan isu politik yang tular di kumpulan WhatsApp sekolah, hati saya geram yang amat.

Pertama kerana sebagai guru kita tidak boleh berpolitik. Berpihaklah pada mana-mana parti yang anda suka tetapi jangan berpolitik. Bukan susah pun nak faham, kerana dasar ini sudah terpakai sekian lama, sejak BN masih berkuasa. Cuma mereka ini sejak dulu malas mematuhi. Jika dahulu, mereka mengongsi tentang kempen mengundi BN walaupun salah, kini mengongsi pula tentang kelemahan PH, dan ia tetap salah.

Kedua, apa yang dikongsi kebanyakan fitnah dan putar belit. Mereka mudah percaya dan mahu orang lain pun percaya seperti mereka. Video, gambar edit, semua dikongsi tanpa diselidik kebenarannya. Begitulah tahap minda golongan ini.

Jikalah sewaktu BN berkuasa dahulu ada yang mengongsi tentang perkara buruk dan tidak betul dalam kerajaan BN, pasti akan diugut dengan tindakan. Kenapa kini mereka melakukan perkara yang mereka tentang dahulu? Nampak kan kecetekan mereka.

Saya bukan mengatakan PH itu bagus. Saya tahu banyak benar pincangnya kerajaan baharu ini, tetapi saya tetap berpegang pada kenyataan yang saya ini penjawat awam dan perlu patuhi peraturan. Bercakap tentang politik biarlah pada tempat yang kena, bukan di semua persekitaran yang ada.

Bijak dan berpada-padalah.

Friday, March 22, 2019

Berjalan Lagi

Tepat jam sembilan pagi tadi, kami suami isteri bergerak menaiki DAB1881 kami menuju ke Kuala Perlis untuk memenuhi cuti sekolah kali ini. Perancangan kami, kami akan menginap di T Hotel, Kuala Perlis selama dua malam, dan pada Sabtu akan bertolak ke Langkawi menghadiri kenduri di rumah Kakak dan balik semula ke T Hotel pada petangnya.

Asalnya, saya mengharap untuk hanya berada di rumah pada cuti kali ini memandangkan sudah banyak kali kami bercuti-cuti Malaysia pada tahun ini. Waktu emak memaklumkan Kakak di Langkawi menjemput kami semua ke kenduri perkahwinan Amir anaknya pada Sabtu 23 Mac, saya masih berkira-kira mahu pergi atau tidak. Saya tidak memberi kata putus pun pada emak dan tidak pula bersungguh-sungguh mengajak suami. 

Tidak lama, adik saya Zahidah memberitahu dia sudah menempah tiket penerbangan untuk dia dan emak ke Langkawi. Saya terus memutuskan yang saya dan suami tidak perlu pergi kerana sudah ada wakil dari keluarga kami.

Tiba-tiba suami saya mendapat berita yang sahabat rapatnya semasa di USM sedang diuji dengan penyakit kanser usus. Sahabatnya itu tinggal di Sik, Kedah. Dia lalu mahu menziarah dan memilih pada cuti ini.

Apabila suami mengajak, saya tidak ada alasan untuk menolak. Menyedari tempat itu di Kedah, rasanya tidak manislah jika tidak memenuhi undangan Kakak kerana tarikh dan tempat sudah sesuai. Suami saya bersetuju untuk terlebih dahulu ke Langkawi dan singgah di Sik dalam perjalanan pulang.

Jadinya begitulah. Saya hadir berasingan dengan mak dan adik-adik saya ke majlis Kakak. Nampak seperti saya tidak ikhlas untuk ke majlis itu bukan? Seumpama ia bukan keutamaan dan cuma satu kebetulan. Biarlah. Silap saya, saya terima. Memang saya tidak merancang untuk hadir kenduri Kakak kerana saya sudah penat dan tertekan dengan perjalanan yang panjang berkali-kali dalam tiga bulan ini, kebetulan pula adik saya sudah bersedia menemani emak ke sana, jadi saya memilih untuk tidak pergi. Pada hal jika dari awal saya mengajak suami, tentu suami saya tidak menolak.

Tuesday, March 19, 2019

Laissez Faire

Minggu ini minggu peperiksaan. Guru diarahkan mengawas peperiksaan mengikut jadual peribadi. Pentadbir meminta guru-guru agar tidak membiarkan pelajar meniru agar keputusan peperiksaan ini sah.

Saya pun begitulah. Cuba sehabis baik mengawasi mereka walaupun susah. Pelajar-pelajar ini tetap mahu bertanya rakan di sebelah, dan mengintai jawapan orang lain. Keyakinan diri zero kerana tiada persediaan.

Semalam, berlangsung peperiksaan Pendidikan Seni Visual. Kertas ini memerlukan pelajar melukis dan tajuk sudah diberi lebih awal. Mengawas peperiksaan ini tidaklah sepenat mana kerana mereka dibenarkan bergerak bebas.

Saya membawa laptop saya bersama kerana mahu selesaikan tugas yang bertimbun. Saya minta mereka jangan bising sangat sebab saya mahu buat kerja.

Mereka ok je, anak-anak tingkatan lima yang baik dan mendengar kata. Saya tiba- tiba mahu memberi mereka sedikit suasana ceria.

"Nak dengar lagu tak?"

"Nak!"

"Ok. Mari buka di telefon cikgu ni. Cari di Youtube.."

Wah! Mereka seronok bergilir-gilir memilih lagu kegemaran mereka. Saya membiarkan sahaja sambil meneruskan kerja saya. Mereka melukis dengan ceria sambil bernyanyi. Hampir sejam saya di kelas mereka, terasa seronok menyaksikan keletah mereka. Walaupun lagu- lagu yang mereka pilih tidak mesra telinga saya, saya tidak kisah pun.

Hmm, adakah cikgu lain yang seperti ini?

Sunday, March 17, 2019

Dalam Kekosongan

Kesunyian 
bila sendirian
melayani kekosongan di hati

Segalanya 
bermain di mata
kenangan manis di kala berdua

Kau 
jauh
bagaikan bintang tak daya kusentuh

Kau 
bagai bulan
diriku hanya dapat memandang

Siang tiba 
baruku terjaga
Gelap malam hanyalah seketika

Bulan bintang
dan resah di hati
menghilang bersama cahaya pagi

Kau 
mimpi
yang datang mengganggu ketenangan hati

Kau 
embun pagi
hilang di terikan sinar mentari

Daku teruskan perjalanan hidupku ini
tiada mungkin akan kulupa
pengalaman
bersamamu
suatu keindahan

Kau pertama
mencuri hatiku
senyum sendamu berkesan di hati

Mengapakah
kau menghilang diri
membiar diriku jatuh sendiri

Kau
ombak
yang datang tinggalkan buih berderai

Ku
bagai pantai
bertahan sekalipun dipukul badai

Friday, March 15, 2019

Gagalkah?

Alhamdulillah, saya bersyukur pada setiap kurnianya. 

Malam Khamis itu debaran saya memuncak, hinggakan tidur saya bermimpikan keputusan SPM!

Semua pun tahu betapa kejamnya soalan SPM Matematik Tambahan tahun lepas. Ramai calon menangis saat keluar dewan, ada yang pulang ke rumah terus membakar buku Add Maths dan yang paling malang, ada yang terjun bangunan sehingga koma.

Saya sendiri hanya mampu berserah. Tuhan, saya sudah memberi sehabis daya. Apa pun keputusannya nanti, saya redha. Menjadi guru, jiwa raga kami adalah untuk murid. Sedih hati mereka, sedihlah hati kami. Doa buat mereka sentiasa ada, agar segalanya membahagiakan.

Dan, keputusan tiba semalam. Dua puluh satu orang murid daripada lima puluh sembilan calon saya gagal. Dua orang berjaya mendapat gred A dan tiga puluh enam lagi lulus dari gred B hingga E.

Syukur Alhamdulillah.

Gagal Matematik Tambahan bukanlah penutup segala cerita. Jalan yang terbentang masih punya pelbagai simpang yang di hujungnya ada bahagia. Teruskanlah langkah kalian, cikgu akan tetap mengirim doa. Cikgu tahu kalian sudah berusaha, cuma ketetapan buat kalian tertulis begitu. Redhalah. 

Biar pun kecewa itu ada, saya tidak mudah berputus asa. Peperiksaan bukanlah suatu pertandingan yang ada kalah dan menang, ia cuma suatu petunjuk untuk kita membuat pilihan menuju simpang yang ada di hadapan. 

Teruskanlah. Perjuangan kalian baru bermula. Semoga Allah memberi sinar dalam laluan kalian nanti.

Saturday, March 09, 2019

Selamat Hari Wanita

Bersempena hari wanita, berkesempatan mendengar 'talk' super duper power daripada Kak Fadhlina Sidek. Saya mahu kongsikan poin-poin mitos tentang wanita yang perlu kita 'nyah'kan daripada mentaliti ramai.

1. Mitos berkaitan penciptaan wanita : Wanita ada 9 nafsu 1 akal? Mitos ini tidak bersumberkan dalil yang jelas.

Apa yang bukan mitos sebenarnya? Mufti Wilayah ada menulis panjang menjelaskan tiada sumber dalam agama yang menyokong premis bahawa wanita punyai 9 nafsu 1 akal. Rujuk : https://bit.ly/2HdV5sH. 

2. Mitos kepimpinan : arrijaalun qawwamuuna alannisa. Lelaki ketua kepada wanita. Saya pun sebelum ini seringkali guna sebagai dalil suruh lelaki jadi ketua. 

Apa yang sebetulnya? Ayat surah An Nisa : 34 ini konteksnya merupakan suruhan kepada lelaki menunaikan nafkah kepada isterinya. Ianya berkaitan 'leadership marriage' yang sememangnya merupakan tanggungjawab terbesar lelaki. Lelaki memang wajib jadi 'ketua' di dalam hal ini. 

Tetapi di dalam hal lain di dalam kehidupan, adalah seiring tuntutan kepada lelaki dan perempuan. Empat tuntutan sama rata ini terkandung di dalam surah At Taubah : 71 - Solat, Zakat, Amar Maaruf Nahi Mungkar, Taat kepada Allah & Rasul.

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"

Frasa بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ adalah panduan oleh Allah SWT untuk kita menanggapi realiti kepimpinan dan partisipasi wanita yang sering diremehkan. Ia membawa maksud ada keadaan, konteks, ruang dan peluang wanita akan diangkat menjadi pimpinan kerana kelayakan, integriti dan pengalaman.

3. Mitos ayat seribu dinar. Ini menarik. Apa pula kaitannya dengan wanita? Bukan kah ayat seribu dinar ini untuk rezeki yang sering kita nampak ditampal di kedai makan? 

Apakah yang bukan mitos? Kedudukan ayat seribu dinar adalah di dalam surah At Tholaq (surah perceraian). Betulkan cara kita melihat ayat ini semata-mata hanya untuk rezeki sahaja. Ianya juga janji dan motivasi Allah kepada wanita yang diceraikan. Sekiranya kamu bercerai atau diceraikan kerana Taqwa kepada Allah, Allah akan berikan jalan keluar, Allah akan bantu.

Dan perkongsian semalam di akhiri dengan penegasan bahawa betapa kita sebenarnya perlu mengingati semula isi kandungan khutbah Wida' Rasulullah yang hampir sebahagian besarnya berpesan agar menjaga wanita, berbuat baik kepada wanita. 

Kerana inilah hakikat yang berlaku di akhir zaman. Wanita ditindas, dizalimi dan dianggap lemah. Rasululllah telahpun meninggalkan kita sebaik-baik pesanan yang perlu kita ingat kembali. Khutbah Wida'.

Terima kasih kak fadh! 
Perkongsian ilmu & 'positive vibes'nya 😍

Selamat Hari Wanita Sedunia!
#seimbanguntuksejahtera

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217038736733092&id=1007887230

Friday, March 08, 2019

Hari ini Jumaat


Salam 1 Rajab 1440. Syukur Tuhan masih mengizinkan hembusan nafas saya ada di dunia ini pada usia yang sudah agak ranum begini.

Saat ini saya sedang menanti suami saya dirawat di klinik gigi. Sudah beberapa hari dia mengadu gigi geraham atas sebelah kirinya sakit dan berdenyut-denyut. Hari ini dia seperti tidak mampu menahan lagi, lalu saya menyarannya ke klinik.

Klinik mana? Tanyanya.

Jujur, saya pun tidak tahu klinik gigi di sini kerana saya paling takut dengan doktor gigi. Kali terakhir gigi saya dirawat ialah pada 1993. Lamanya!

Untung Mr Google ada, dapatlah saya mencari maklumat klinik terdekat yang dibuka pada Jumaat - Klinik Dr. Emma di Wakaf Che Yeh.

Kami ke sana jam 4.00 petang tetapi petugas di situ meminta kami datang malam nanti kerana pelanggan sudah penuh.

Ok. Malamnya kami tiba jam 8. Keputusannya, Rabu nanti gigi suami saya akan dicabut. Kami pun pulang bersama ubat tahan sakit dan antibiotik.

Semoga nanti Allah memberikan kesembuhan. Amin.

Wednesday, March 06, 2019

Suplemen, Perlu?

SAYA TIDAK SAKIT : PERLUKAH AMBIL SUPLEMEN DAN VITAMIN ?

Saya telah menulis panjang lebar mengenai isu ini di dalam blog dan laman web faktasains (rujukan di bawah).Kali ini saya terpanggil utk menulis secara ringkas berdasarkan kepada semakan jurnal yg saya lakukan dan pembentangan yg dibuat oleh Prof.Dr Jeffrey Tice, Pakar perubatan dan Pensyarah di University of California USA (Tajuk: Vitamins and Supplements: An Evidence based Approach). Fakta-fakta ini berdasarkan kajian-kajian yang besar dan berkualiti tinggi (senarai kajian boleh diperolehi daripada rencana panjang yang saya tulis). 

Berikut adalah kesimpulan yg boleh saya buat berkenaan dengan pengambilan vitamin dan suplemen oleh individu yg tidak menghidap sebarang penyakit.

1. Ramai individu yg mengamalkan pengambilan vitamin suplemen. Hampir 60% rakyat Amerika mengambilnya.

2. Perniagaan yg berkaitan dgn suplemen vitamin sgt menguntungkan sehingga rakyat Amerika membelanjakan USD35 billion dollar setiap tahun utk membeli suplemen.

3. Khasiat vitamin yg dihasilkan dlm bentuk pil/kapsul adalah berbeza berbanding dgn sumber asal vitamin itu (buah/sayur). Contohnya pil vitamin C berbanding dengan buah limau. Buah limau bukan sahaja mengandungi vitamin C tetapi juga lain2 vitamin, mineral, air dan serat. Jadi manfaat buah limau lebih banyak daripada pil Vit C. Vitamin C juga terdapat di dlm lain2 makanan dan buah2an seperti kobis, kentang, anggur dan lain2. Pil vitamin C dan lain-lain vitamin hanya mengandungi vitamin itu sahaja dan perlu menjalani proses kimia utk menjadi pil melibatkan penggunaan pemampat, pewarna, pengawet. Situasi ini sama juga dgn vitamin2 yg lain. 

4. Suplemen vitamin diperlukan hanya jika individu itu benar2 kekurangan vitamin yg berkenaan (disahkan melalui ujian darah ataupun terdapat tanda2 kekurangan vitamin). Ini hanya benar dlm kes2 kekurangan makanan yg serius dan kebuluran. Jika seseorang mengambil makanan dlm kuantiti yg mencukupi, tidak ada isu kekurangan vitamin dan mineral. Malahan, di Malaysia isu mengambil makanan berlebihan dan obesiti merupakan masalah yg lebih besar dan utama.

5. Kajian2 besar yg dilakukan ke atas orang ramai (kebanyakannya org yg tidak berpenyakit) yg mengamalkan pengambilan vitamin dan suplemen (karoten,vit A, vit C, vit E, omega 3) menunjukkan TIDAK ADA apa2 manfaat dari segi kadar penyakit jantung, kanser dan jangkahayat. Malahan golongan yg mengambil karoten,  vitamin A, vitamin C dan E didapati mempunyai RISIKO KEMATIAN YANG LEBIH TINGGI berbanding dgn yg tidak ambil suplemen. Pengambilan suplemen vit D juga menunjukkan kecenderungan yg sama.

6. Pengambilan suplemen antioksidan sewenang2nya berpotensi memudaratkan badan kerana radikal bebas yang terdapat di dalam badan manusia ada manfaatnya iaitu menghapuskan sel-sel yang tidak sihat dan tidak normal. Perlu ada keseimbangan di antara antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Inilah sebabnya kajian tentang pengambilan suplemen antioksidan tidak pernah menunjukkan sebarang manfaat. Baca rencana tulisan saya tentang suplement antioksidan.

7. Di dalam banyak2 kajian besar berkaitan dgn manfaat mengambil suplemen vitamin dan mineral, HANYA EMPAT suplemen sahaja yg  bermanfaat kpd manusia  yang tidak sakit iaitu:
   a. Asid Folik (Folate) oleh wanita sebelum hamil dan ketika hamil utk mengurangkan risiko anak mengalami kecacatan neural tube defect.
  b. Vit D dan Kalsium oleh golongan tua dan menopaus yg berisiko mengalami kepatahan tulang. Manfaat hanya tertumpu kpd golongan yg disebut dan dgn dos tertentu.
c. Vit D untuk orang yang sangat sedikit ataupun tidak terdedah kepada cahaya matahari. Boleh juga mengambil vitamin D dari sumber makanan. Jadi suplemen vit D tidak mandatori.
d. Vit B12 untuk individu yang tidak langsung mengambil produk haiwan yakni vegetarian sepenuhnya. Bukti tidak sekukuh di (a) dan (b). 

8. Kesimpulannya, amalan pengambilan vitamin dan suplemen oleh individu yg sihat (selain daripada yang dinyatakan di atas) bukan sahaja TIDAK ADA BUKTI KUKUH YG IANYA BERMANFAAT tetapi berpotensi membawa kemudaratan termasuk risiko kematian yg lebih tinggi. Jadi  Pengamal Perubatan yg tidak ada kepentingan ("conflict of interest") TIDAK akan mengesyorkan/menggalakkan pengambilan suplemen dan vitamin kpd org ramai, jika mereka membuat rujukan dan mengetahui fakta2 daripada hasil kajian saintifik.

9. Amalan terbaik yang sepatutnya diamalkan adalah ambil makanan dan buah2an sebenar (bukan pil/kapsul/jus suplement), ambil dlm kuantiti yg sederhana, banyakkan makanan bersumberkan sayur/tumbuhan dan ikan sebagai sumber protin. Telur adalah makanan yg cukup lengkap. Lakukan senaman yg tetap dan jauhi rokok serta alkohol.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor   
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Monday, March 04, 2019

Hari Ini Saya Baik, Cikgu!

"Cikgu..!" sapanya.

"Semalam saya kena rotan dengan mak saya", sambungnya membuatkan saya memusingkan badan lalu duduk betul-betul mengadapnya.

"Rotan kat mana?"soal saya ingin tahu.

"Kat sini" sambil dia menunjukkan lengannya yang kecil itu. Ya. Masih ada bekasnya. Kuat barangkali dirotan ibunya.

"Sakit ke?" soal saya simpati.

Dia mengangguk berkali-kali.

"Menangis?" tanya saya lagi.

Sekali lagi dia mengangguk.

"Kenapa mak rotan?"soal saya sambil menggosok-gosok lengannya yang masih berbekas.

"Mak saya marah sebab saya xxxxxxx di sekolah." Balasnya.

Ya. Memang minggu lepas saya menangkap dia dan beberapa orang rakannya kerana melakukan kesalahan di sekolah.

"Macamana mak saya tahu cikgu? Cikgu bagitahu mak saya ke? Soalnya ingin tahu.

"Ya Adam, cikgu terpaksa beritahu mak Adam."

Dia menundukkan kepala. Melihat contengan yang dibuat dengan pensilnya sejak dari tadi. Saya masih membelek-belek birat-birat tebal di lengannya.

"Cikgu!" sapanya lagi.

"Hari ni saya baik cikgu. Nanti cikgu bagitahu mak saya tak?"

Soalannya betul-betul membuatkan saya terdiam. Bungkam rasanya mendengar soalan ini.

Jujurnya sepanjang menjadi guru memang tidak pernah walau sekalipun saya menelefon ibubapa atau penjaga bercerita tentang kebaikan anak-anak mereka. Saya juga yakin ibu bapa akan berasa pelik jika seseorang guru berbuat demikian.

Hati saya pada seperti dihentak-hentak dengan keras. Anak ini seolah-olah merayu supaya diberikan keadilan untuknya.

Wahai sang guru, semalam kamu mengadu kepada ibuku tentang kenakalan ku. Lalu aku terus di rotan teruk. Maka hari ini apabila aku berakhlak baik,maka sepatutnya juga diberitahu kepada ibuku agarku dipuji dan dikasihi semula ibuku.

Benar. Bukan sahaja di sekolah, malah dirumah juga begitu. Berapa banyak kebaikan anak-anak berlaku begitu sahaja dihadapan mata.

Kebaikan yang mereka lakukan seolah-olah tidak ada nilai pada pandangan mata kita. Tidak pernah kita zahirkan kegembiraan terhadap kebaikan yang mereka tunjukkan.

Tetapi seandainya anak-anak berbuat kesalahan atau perangai yang jelek, cepat sahaja kita meninggikan suara, mengherdik dan memberikan amaran.

Mungkin kerana itu kita sering melihat anak-anak membuat nakal kerana mereka tidak kita kenalkan dengan kebaikan. Marah dan herdik lebih banyak kita lontarkan kepada mereka berbanding puji dan syukur.

Aku tak mampu menjawab soalan anak ini. Aku hanya mampu terus menggosok lengannya sambil menelan rasa kesal dan sesal yang tak sudah.

Aku tidak mampu menghilangkan kesan birat pada lengannya apatah lagi calar dalam hatinya yang mengharapkan aku menunaikan haknya.

Dari dalam bilik darjah aku memerhatikan air hujan yang masih belum jemu membersihkan kesan kelabu jerebu di udara. Rahmat tuhan buat kita.

Dan rahmat itu tuhan turunkan dalam pelbagai bentuk dan cara. Hari ini, rahmatNya datang dari seorang anak kecil yang dengannya membuka mata kita yang dewasa ini untuk melihat lebih banyak kebaikan.

*Asmadi Abdul Samad*
_Menumpang rahmat murid-murid_

Semenyih

Pandangan saya tentang keputusan PRK Semenyih. 

1. Sejak mula, bila ditanya di mana-mana, saya menjawab Semenyih bukan kerusi mudah. Ya, PH menang PRU-14, tetapi Semenyih adalah kubu BN pada PRU-12 dan PRU-13. Ketika Selangor boleh dianggap cemerlang selepas PRU-12, Semenyih masih gagal dirampas pada PRU-13. 

2. Saya mengambil keputusan PRU-13 sebagai tanda aras (benchmark) sokongan kerana keputusan PRU-14 baru pertama kali berlaku dalam sejarah, bahkan sampai menukar kerajaan di peringkat Persekutuan. Sudah tentu tanda aras ini boleh dibincang lanjut memandangkan ada persempadanan semula sebelum PRU-14. Jumlah pengundi bertambah lebih kurang 10 ribu orang. 

3. Berdasarkan perbandingan PRU-13 dan PRK, kita dapat melihat undi kepada PH meningkat kira-kira 4,395 undi. Undi kepada BN juga meningkat kira-kira 2,164 undi. Jumlah pengundi hadir (turnout) kurang 15% daripada PRU-14. Apa yang lebih menarik, sebahagian pengundi PR (pada PRU-13) kini menjadi pengundi BN (berdasarkan sokongan PAS kepada BN). Ini bermaksud penambahan sokongan kepada PH sebenarnya lebih besar berbanding BN. 

4. Jika mengambil kira keputusan PRU-14, BN menambah kira-kira 5,316 undi. Ini bukanlah maksimum yang boleh dicapai jika mengambil kira sokongan PAS sebanyak 6,966 undi semasa PRU-14. 

5. Bagi PH pula, undi merosot sebanyak 5,562 undi, atau kira-kira 10.4 peratus undi keseluruhan semasa PRU-14. 

6. Maka saya menyimpulkan beberapa perkara iaitu: 
i. BN dan PH masing-masing berjaya mengekalkan undi teras. 
ii. Kemenangan PH semasa PRU-14 disumbang oleh pengundi atas pagar yang kebanyakannya mungkin tidak balik/keluar mengundi pada kali ini, justeru menyebabkan PH kalah dalam PRK. Jika mereka balik/keluar sekalipun, belum ada jaminan mereka masih mengundi PH. Tidak mustahil sebahagian membuang undi rosak. 
iii. BN tidak mendapat undi maksimum daripada penyokong PAS semasa PRU-14. Sama ada atas faktor mereka juga tidak balik/keluar mengundi atau mereka juga membuang undi rosak. 

7. Angka-angka ini tidak bermaksud PH tidak ada kekurangan/kelemahan. Sebagai sebuah kerajaan, PH masih belum berjaya menawan hati lebih ramai penyokong. Namun, undi teras yang ada boleh dilihat sebagai kesediaan penyokong bersabar dan memberi lebih ruang untuk melaksana perubahan.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10216922604591021&id=1042693881

Sunday, March 03, 2019

Kisah Jalan-Jalan

Walaupun baru menapak ke bulan ketiga tahun ini, saya sudah sampai ke empat negeri di Malaysia. Bukanlah menjelajah negara itu hobi saya, cuma telah tertulis saya perlu melaluinya. Bermula dengan Pahang, Terengganu, kemudian Pahang lagi, Perak, Pulau Pinang dan semalam Terengganu semula. Semuanya tersusun menjadi memori jalan-jalan pada tahun ini, dan cuti sekolah nanti akan ke Kedah pula.

Sebenarnya saya tidaklah serajin mana memenuhi waktu saya dengan berjalan-jalan begini. Ia memakan masa dan memenatkan. Rasanya lebih indah untuk bersantai di rumah sendiri dengan penuh ketenangan. Apa pun, sebagai manusia saya tidak boleh mengelak untuk berkunjung-kunjungan dan ziarah menziarah.

Kuantan dan Batu Buruk menjadi pembuka cerita jalan-jalan pada tahun ini. Ia berlaku pada cuti Tahun Baharu Cina, dan pada saya ia biasa-biasa sahaja. Minggu lepas Cameron Highland, Ipoh dan Pulau Pinang pula kami kunjungi. Tujuan utama ialah untuk menziarah saudara yang ditimpa sakit, tetapi kami gabungkan dengan agenda makan angin. Satu malam di Cameron, kami menginap di Hotel Titiwangsa bilik 313 dengan harga RM138 termasuk sarapan dan steamboat dinner. Malam kedua kami bermalam di rumah Atiyah dan Fitri di perumahan pegawai kanan polis Sungai Dua, Pulau Pinang. Mereka sangat ramah dan melayan kami dengan baik. Terima kasih.

Semalam, saya menyertai rombongan guru-guru sekolah saya ke Terengganu. Rombongan begini saya kira lebih praktikal kerana tidak perlu bermalam, dan hanya mengikut ahli rombongan ke sana ke mari tanpa perlu memikir sesat jalan. Tenang jiwa rasanya. Jam 8.20 kami bertolak dengan bas yang disewa khas.

Singgahan pertama kami ialah menikmati sarapan di Penarek, dan seterusnya membeli keropok di Mengabang Tapah. Jan 12 tengah hari kami tiba di Pasar Payang dan membeli belah di sana selama dua jam. Jam 2 petang kami menuju ke masjid Kristal untuk bersolat dan menunggu untuk menaiki Cruise TTI pada jam 4.15 di tempat yang sama. Usai menyusuri sungai Terengganu, kami menikmati makanan percuma yang disediakan oleh pihak Cruise sebelum meneruskan perjalanan ke Warung Pok Nong di Batu Rakit. Kami tiba pada jam 6.30 petang dan dalam lautan manusia yang sangat ramai sedang beratur di situ, kami diberi keistimewaan untuk dilayan di meja. Sotong celup tepung dan ikan celup tepung beserta semangkuk ABC menjadi hidangan saya dan cukup mengenyangkan hingga ke malam.

Jam 7.30 kami bergerak ke masjid Batu Rakit untuk bersolat. Jam 8.30 malam barulah perjalanan pulang kami bermula. Alhamdulillah kami selamat tiba di SMKKC pada jam 10.50 malam.

Walaupun penat, saya rasa seronok. Tiga pasang batik cotton untuk saya  dan sehelai kemeja batik untuk suami cukup mengujakan. Esok saya akan menghantar kain-kain itu ke tukang jahit dan akan dipakai pada raya nanti.

Sekian.

Bersedia untuk bertolak

Jom naik cruise!




Friday, March 01, 2019

Mac Sudah Tiba

Larian masa, rupanya sudah masuk hari keenam puluh dalam tahun ini. Sebentar, tetapi banyak yang sudah dirasai.

Secengeng hati saya belakangan ini, sebegitulah warna yang melingkari enam puluh hari ini. Mungkin faktor usia menyebabkan saya begitu. Tetapi jangan risau, saya tahu duduk saya di mana. Saya masih menggalas tugas saya seadanya dengan penuh rasa tanggungjawab. Untung jiwa guru saya begitu kuat sehingga saya rasa itulah penawar buat saya. Sekolah menjadi tempat yang tenang dan membahagiakan. Alhamdulillah.

Jangan silap menebak, saudara. Tenang di sekolah bukan bermakna ribut di rumah. Tidak. Saat ini saya sedang bersantai enak di katil selepas selesai mengemas dapur dan menjahit sehelai tudung. Suami saya sedang menyelesaikan urusan pembunuhan musang yang dilakukannya dua hari lepas. Musang yang mati tidak dijumpai, jadi dia terpaksa mengupah pakar musang untuk mencari. Saya enggan terlibat.

Tudung?

Saya tiba-tiba terkenang waktu dahulu, waktu saya tidak pernah membeli tudung siap. Saya hanya membeli kain dan menjahit tudung sendiri dan selesa menggayakannya. Lama benar saya meninggalkan aktiviti itu sejak pelbagai fesyen tudung ada di pasaran. Entah kenapa saya mahu kembali melakukannya. Rabu lepas saya membeli tiga helai kain chiffon bidang 60' dan tadi sehelai daripadanya sudah siap saya jahit. Esok saya akan memakainya ke Terengganu.

Terengganu?

Ya, rombongan guru-guru SMKKC akan ke Terengganu pagi esok untuk jalan-jalan meredakan tekanan. Elok benar untuk saya yang sedang mengalami mood swing ini. Semoga semuanya selamat dan dipermudahkan. 

Jumaat lepas saya ke Perak melalui Cameron Highland dan menuju Penang sebelum pulang pada Ahad bersama-sama suami, Kak Rohaizan dan Abang Sulaiman.

Nanti kita berkisah lagi tentang itu selepas ini.