Sunday, March 03, 2019

Kisah Jalan-Jalan

Walaupun baru menapak ke bulan ketiga tahun ini, saya sudah sampai ke empat negeri di Malaysia. Bukanlah menjelajah negara itu hobi saya, cuma telah tertulis saya perlu melaluinya. Bermula dengan Pahang, Terengganu, kemudian Pahang lagi, Perak, Pulau Pinang dan semalam Terengganu semula. Semuanya tersusun menjadi memori jalan-jalan pada tahun ini, dan cuti sekolah nanti akan ke Kedah pula.

Sebenarnya saya tidaklah serajin mana memenuhi waktu saya dengan berjalan-jalan begini. Ia memakan masa dan memenatkan. Rasanya lebih indah untuk bersantai di rumah sendiri dengan penuh ketenangan. Apa pun, sebagai manusia saya tidak boleh mengelak untuk berkunjung-kunjungan dan ziarah menziarah.

Kuantan dan Batu Buruk menjadi pembuka cerita jalan-jalan pada tahun ini. Ia berlaku pada cuti Tahun Baharu Cina, dan pada saya ia biasa-biasa sahaja. Minggu lepas Cameron Highland, Ipoh dan Pulau Pinang pula kami kunjungi. Tujuan utama ialah untuk menziarah saudara yang ditimpa sakit, tetapi kami gabungkan dengan agenda makan angin. Satu malam di Cameron, kami menginap di Hotel Titiwangsa bilik 313 dengan harga RM138 termasuk sarapan dan steamboat dinner. Malam kedua kami bermalam di rumah Atiyah dan Fitri di perumahan pegawai kanan polis Sungai Dua, Pulau Pinang. Mereka sangat ramah dan melayan kami dengan baik. Terima kasih.

Semalam, saya menyertai rombongan guru-guru sekolah saya ke Terengganu. Rombongan begini saya kira lebih praktikal kerana tidak perlu bermalam, dan hanya mengikut ahli rombongan ke sana ke mari tanpa perlu memikir sesat jalan. Tenang jiwa rasanya. Jam 8.20 kami bertolak dengan bas yang disewa khas.

Singgahan pertama kami ialah menikmati sarapan di Penarek, dan seterusnya membeli keropok di Mengabang Tapah. Jan 12 tengah hari kami tiba di Pasar Payang dan membeli belah di sana selama dua jam. Jam 2 petang kami menuju ke masjid Kristal untuk bersolat dan menunggu untuk menaiki Cruise TTI pada jam 4.15 di tempat yang sama. Usai menyusuri sungai Terengganu, kami menikmati makanan percuma yang disediakan oleh pihak Cruise sebelum meneruskan perjalanan ke Warung Pok Nong di Batu Rakit. Kami tiba pada jam 6.30 petang dan dalam lautan manusia yang sangat ramai sedang beratur di situ, kami diberi keistimewaan untuk dilayan di meja. Sotong celup tepung dan ikan celup tepung beserta semangkuk ABC menjadi hidangan saya dan cukup mengenyangkan hingga ke malam.

Jam 7.30 kami bergerak ke masjid Batu Rakit untuk bersolat. Jam 8.30 malam barulah perjalanan pulang kami bermula. Alhamdulillah kami selamat tiba di SMKKC pada jam 10.50 malam.

Walaupun penat, saya rasa seronok. Tiga pasang batik cotton untuk saya  dan sehelai kemeja batik untuk suami cukup mengujakan. Esok saya akan menghantar kain-kain itu ke tukang jahit dan akan dipakai pada raya nanti.

Sekian.

Bersedia untuk bertolak

Jom naik cruise!




No comments:

Post a Comment