Friday, March 22, 2019

Berjalan Lagi

Tepat jam sembilan pagi tadi, kami suami isteri bergerak menaiki DAB1881 kami menuju ke Kuala Perlis untuk memenuhi cuti sekolah kali ini. Perancangan kami, kami akan menginap di T Hotel, Kuala Perlis selama dua malam, dan pada Sabtu akan bertolak ke Langkawi menghadiri kenduri di rumah Kakak dan balik semula ke T Hotel pada petangnya.

Asalnya, saya mengharap untuk hanya berada di rumah pada cuti kali ini memandangkan sudah banyak kali kami bercuti-cuti Malaysia pada tahun ini. Waktu emak memaklumkan Kakak di Langkawi menjemput kami semua ke kenduri perkahwinan Amir anaknya pada Sabtu 23 Mac, saya masih berkira-kira mahu pergi atau tidak. Saya tidak memberi kata putus pun pada emak dan tidak pula bersungguh-sungguh mengajak suami. 

Tidak lama, adik saya Zahidah memberitahu dia sudah menempah tiket penerbangan untuk dia dan emak ke Langkawi. Saya terus memutuskan yang saya dan suami tidak perlu pergi kerana sudah ada wakil dari keluarga kami.

Tiba-tiba suami saya mendapat berita yang sahabat rapatnya semasa di USM sedang diuji dengan penyakit kanser usus. Sahabatnya itu tinggal di Sik, Kedah. Dia lalu mahu menziarah dan memilih pada cuti ini.

Apabila suami mengajak, saya tidak ada alasan untuk menolak. Menyedari tempat itu di Kedah, rasanya tidak manislah jika tidak memenuhi undangan Kakak kerana tarikh dan tempat sudah sesuai. Suami saya bersetuju untuk terlebih dahulu ke Langkawi dan singgah di Sik dalam perjalanan pulang.

Jadinya begitulah. Saya hadir berasingan dengan mak dan adik-adik saya ke majlis Kakak. Nampak seperti saya tidak ikhlas untuk ke majlis itu bukan? Seumpama ia bukan keutamaan dan cuma satu kebetulan. Biarlah. Silap saya, saya terima. Memang saya tidak merancang untuk hadir kenduri Kakak kerana saya sudah penat dan tertekan dengan perjalanan yang panjang berkali-kali dalam tiga bulan ini, kebetulan pula adik saya sudah bersedia menemani emak ke sana, jadi saya memilih untuk tidak pergi. Pada hal jika dari awal saya mengajak suami, tentu suami saya tidak menolak.

No comments:

Post a Comment