Secengeng hati saya belakangan ini, sebegitulah warna yang melingkari enam puluh hari ini. Mungkin faktor usia menyebabkan saya begitu. Tetapi jangan risau, saya tahu duduk saya di mana. Saya masih menggalas tugas saya seadanya dengan penuh rasa tanggungjawab. Untung jiwa guru saya begitu kuat sehingga saya rasa itulah penawar buat saya. Sekolah menjadi tempat yang tenang dan membahagiakan. Alhamdulillah.
Jangan silap menebak, saudara. Tenang di sekolah bukan bermakna ribut di rumah. Tidak. Saat ini saya sedang bersantai enak di katil selepas selesai mengemas dapur dan menjahit sehelai tudung. Suami saya sedang menyelesaikan urusan pembunuhan musang yang dilakukannya dua hari lepas. Musang yang mati tidak dijumpai, jadi dia terpaksa mengupah pakar musang untuk mencari. Saya enggan terlibat.
Tudung?
Saya tiba-tiba terkenang waktu dahulu, waktu saya tidak pernah membeli tudung siap. Saya hanya membeli kain dan menjahit tudung sendiri dan selesa menggayakannya. Lama benar saya meninggalkan aktiviti itu sejak pelbagai fesyen tudung ada di pasaran. Entah kenapa saya mahu kembali melakukannya. Rabu lepas saya membeli tiga helai kain chiffon bidang 60' dan tadi sehelai daripadanya sudah siap saya jahit. Esok saya akan memakainya ke Terengganu.
Terengganu?
Ya, rombongan guru-guru SMKKC akan ke Terengganu pagi esok untuk jalan-jalan meredakan tekanan. Elok benar untuk saya yang sedang mengalami mood swing ini. Semoga semuanya selamat dan dipermudahkan.
Jumaat lepas saya ke Perak melalui Cameron Highland dan menuju Penang sebelum pulang pada Ahad bersama-sama suami, Kak Rohaizan dan Abang Sulaiman.
Nanti kita berkisah lagi tentang itu selepas ini.
No comments:
Post a Comment