Sehari dua ini saya sedikit cengeng. Mengenang upaya saya yang terhad untuk menemani ibu yang semakin menginjak usia, saya jadi sayu. Betapa saya tidak mampu mentafsir sebuah hakikat kehidupan yang sewaktu kita kecil dahulu ibu berkorban apa sahaja, harta dan nyawa, hanya untuk ditinggal berseorangan pada masa tuanya!
Jika ditanya impian saya saat ini, tiada lain hanyalah mahu hidup di sisi ibu sampai hujung usia kami. Tetapi saya tahu ia sukar. Ibu tetap mahu berada di rumahnya sendiri walau berkali-kali anak-anak mengajak tinggal bersama. Anak-anak pula tertakluk pada tanggungjawab lain yang menghalang daripada tinggal di rumah ibu. Itulah dilema yang payah dileraikan.
Saya mahu mencuba untuk memecahkan kebuntuan yang ada, tetapi bagaimana? Hanya pada Tuhan saya berdoa setiap hari, jagalah ibu saya dalam sebaik- baik jagaan. Saya tahu hatinya sepi, sunyi, rindu, risau, takut dan segala rasa yang tidak enak saat bersendirian di rumah walaupun setiap kali ditanya dia tetap mengatakan dia baik-baik sahaja.
Saya hanya mampu bertemu ibu hanya pada hujung minggu. Pada hari lain, saya hanya akan menanggung rindu.
No comments:
Post a Comment