Monday, February 18, 2019

Sukan

Awal tahun sebegini, kami para guru akan mengaktifkan diri di padang-padang dan di gelanggang- gelanggang. Untung saya bukan guru yang diberi tanggungjawab sebagai guru penasihat permainan, maka saya tidak ditugaskan untuk membawa murid ke perlawanan peringkat luar sekolah. Mungkin kerana saya tidak memandu maka mereka tidak memilih saya. Alhamdulillah.

Tetapi bukanlah saya boleh melepas diri dari kegiatan sukan sepenuhnya. Pada peringkat sekolah saya masih ada tanggungjawab. Minggu ini bermula latihan pada setiap Ahad dan Isnin, jam 3.30 hingga 5.00 petang. Saya tentunya tidak boleh memonteng.

Semalam saya tidak tahu latihan bermula pada Ahad. Sangka saya seperti tahun lepas ia berlangsung Isnin dan Rabu. Memandangkan jadual saya agak longgar pada Ahad, saya berpuasa ganti. Tiba di sekolah baru saya tahu ada latihan, tetapi saya tidak kisah pun. Apa kaitan berpuasa dan latihan sukan? Boleh sahaja digandingkan, bukan?

Tamat sesi pengajaran pada jam 2.10, saya tidak pulang. Saya tidak suka terkejar-kejar, apatah lagi menyusahkan orang. Jika saya pulang dan perlu datang semula pada 3.30 petang tentu saya terkejar-kejar dan menyusahkan suami saya. Mudahnya, saya berehat sahaja di sekolah sementara menunggu latihan. Lebih lapang dan tenang.

Sementara menanti, saya mengisi masa saya dengan mengedit gambar. Ini hasilnya.


Agaknya, inilah wajah saya jika saya seorang artis. Apakan daya, sebagai guru saya hanya mampu berilusi memiliki wajah se'flawless' ini dengan menggunakan aplikasi di smartphone sahaja. Anda berminat? Muat turun sahaja Makeup Plus dari Google Play. Pasti anda puas hati.

Hari ini, latihan diteruskan dan saya mahu menunggu juga kerana saya seorang guru yang patuh. Jam 1.35 tengah hari saya pun ke kantin untuk makan tengah hari. Ah! Kantin tutup rupanya. Bagaimana ini? Saya lapar, mahu keluar makan saya tak punya kereta. Takkan saya mahu berlapar hingga jam 5.00 petang? Selepas sarapan pada 8.00 pagi tadi, saya belum makan apa-apa.

Saya mencari kak Safura, ketua rumah saya yang baik hati itu. Saya maklumkan padanya saya tidak dapat hadir petang nanti dan dia memberi kebenaran. Lega rasanya kerana saya boleh balik makan tengah hari lepas ini. Alhamdulillah.

Terus saya maklumkan pada suami saya untuk menjemput saya seperti biasa kerana saya tidak jadi hadir latihan.

Kesimpulannya, saya tidak bersalah. Saya tidak dapat hadir kerana saya kelaparan. Yang bersalah ialah tuan kantin itu kerana menutup kantin terlalu awal. Jika kantin buka, saya pasti tidak memonteng.

Sekian.

No comments:

Post a Comment