Thursday, February 21, 2019

Sukantara

Hari ini berlangsung acara Sukantara di sekolah saya. Sejak bertahun di sini, inilah kali pertama Sukantara berlangsung pada sebelah pagi dengan membatalkan semua sesi PdPc. Selalunya pada tahun-tahun sebelum ini Sukantara akan bermula pada jam 3.30 petang dan berlangsung selama dua hari. Bayangkan kepenatan para guru yang baru sahaja selesai mengajar pada jam 2.10 petang dan terpaksa bersegera untuk Sukantara pula.

Terima kasih kepada PK Kokurikulum kami yang baru, YM Tuan Nor Zakiah kerana begitu prihatin dengan kondisi para guru. Hasil perbincangan beliau dengan pihak pentadbirlah maka kami dapat melaksanakan Sukantara pada sebelah pagi pada tahun ini. Terima kasih daun keladi Kak Yah. Saya doakan agar Kak Yah akan terus cemerlang dan nanti menjawat jawatan Pengetua pula. Saya akan berasa sangat bahagia jika berpengetuakan Kak Yah.

Seperti biasa, tugas saya dalam mana-mana acara sukan pun ialah di bahagian Statistik. Saya bersyukur sangat-sangat dengan tugas ini yang membolehkan saya berehat sahaja pada hari ini. Semua guru lain dan murid-murid berada di padang untuk acara 100M, Lompat Jauh, Lempar Cakera dan Lontar Peluru. Saya hanya menanti keputusan untuk dimasukkan ke dalam program yang telah disediakan oleh Cikgu Mohd Rusok. Sementara menanti keputusan, banyak kerja saya boleh selesaikan di bilik peperiksaan ini termasuklah menulis hantaran ini, juga berselfie.


Kemuncak Kejohanan Sukan akan berlangsung pada Khamis depan dan sekali lagi saya akan meneruskan tugas sebagai Pegawai Statistik. Saya akan mengangkut laptop dan printer saya ke padang, dan berada di bawah khemah untuk memasukkan keputusan semua acara seterusnya menentukan juara keseluruhan. Saya seronok begitu, kerana saya tidak perlu berpanasan dan saya boleh sahaja menonton semua acara yang berlangsung dari tempat duduk saya.

Begitulah. Semakin tahun saya berasa semakin senang dengan tugas-tugas yang diberi kepada saya, tiada tekanan apa lagi bebanan. Bahagia saya dengan persekitaran sebegini dan semoga perasaan ini Allah kekalkan untuk tempoh yang lebih lama.

Seperti Mesyuarat Agung PIBG yang akan berlangsung Sabtu nanti, saya hanya diberi tugas di bahagian Sijil sahaja. Betapa mudahnya tugas itu dan saya sudah selesaikan semuanya pada Selasa. Sijil Kecemerlangan Pelajar, Sijil Penghargaan Guru dan Sijil AJK PIBG semuanya telah bercetak dan bertanda tangan. Kebetulan Sabtu ini saya akan berada di Perak untuk menziarah saudara di sana, maka saya mohon untuk tidak hadir mesyuarat itu dan bercuti rehat sehari pada Ahad. Permohonan saya sudah pun diluluskan, Alhamdulillah.

Terima kasih Tuhan atas anugerah yang tidak terhingga. Walaupun ada waktu-waktunya hati masih merintih dan menangisi kepedihan, masih ada sinar pelangi yang indah yang tiba sebaik hujan berhenti.

Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment