Anak murid saya ini dahulu, nakalnya amat. Saya hilang arah dan pedoman setiap kali masuk mengajar kelasnya. Dia dan beberapa orang rakannya memang langsung tidak mahu belajar mata pelajaran saya. Waktu saya mengajar, mereka akan berbual-bual dan tidak fokus langsung menyebabkan murid-murid lain yang mahu belajar terganggu.
Saya marah, mereka tidak peduli. Saya larang, mereka buat tak tahu.
Sungguh saya selalu sakit hati dengan kumpulan mereka terutama dia inilah. Saya selalu mengherdik dengan kata-kata yang kurang enak dan tidak langsung mahu bermesra dengan mereka. Pada hal saya guru kelas.
Sebaik dia tamat SPM dan meninggalkan sekolah, saya tidak tahu apa-apa perkembangan pun tentangnya sehinggalah setahun lalu, dia meminta menjadi rakan saya di Facebook. Saya menerima dengan hati terbuka kerana walaupun selalu marah padanya, dia tetap anak murid saya.
Kerap juga dia memuat naik gambar dan status, juga menegur saya di ruang komen. Dia sudah pun beristeri dan punya anak seorang. Saya nampak dia bahagia dan mampu menjadi suami dan ayah yang baik.
Terasa bersalah pula kerana dahulu saya menganggap dia seorang yang malas dan nakal, dan akan melalui hidup yang sukar dengan sikapnya itu. Saya tidak pula mahu mendekati dan berbual dengannya untuk mengetahui tentang apa yang dia rasai dan perlukan pada waktu itu. Teruk, kan?
Semoga perjalanan hidupnya dalam redha Allah jua.
Saya bersyukur kerana semakin saya berusia semakin saya lebih memahami anak-anak murid saya. Saya sudah tidak lagi suka marah-marah tetapi lebih kepada mendekati dan memujuk. Kadang- kadang dengan berlembut mereka akan menjadi lebih lunak.
No comments:
Post a Comment