Begini. Kita percaya yang dalam Islam rambut adalah aurat. Aurat wajib ditutup. Simple.
Tetapi aurat wanita bukanlah sekadar rambut. Selain muka dan tapak tangan, semua wajib ditutup. Syaratnya pula tidak boleh ketat, tidak boleh nipis.
Daripada pemerhatian saya, rasanya 50 peratus wanita bertudung gagal menyempurnakannya. Ada yang bertudung tetapi dada dan punggung terserlah. Ada yang bertutup di atas tetapi terbuka di bawah. Ada yang kainnya berbelah walau tudungnya lengkap. Ada yang nipis berbayang walaupun terlilit kemas.
Apa bezanya berpakaian yang tidak sempurna itu dengan tidak bertudung? Sama sahaja, mereka tetap tidak menutup aurat. Rasanya mata saya lebih senang menatap wanita yang berpakaian sopan walaupun tidak bertudung berbanding wanita bertudung tetapi bajunya ketat dan terbonjol di sana sini.
Dan sebagai wanita, saya menghormati semua wanita lain sama ada mereka bertudung, tidak bertudung atau membuka tudung selepas bertudung.
Kita semua adalah pendosa. Melihat yang tidak bertudung seperti sudah pasti tempatnya di neraka bukan cara saya. Sisi dosa kita berbeza dan kita sebenarnya sedang berusaha ke arah yang lebih baik. Jika mereka tidak bertudung pun, mereka masih saudara seislam kita dan kebaikan mereka yang lain tetap berpahala. Kenapa mahu menilai satu aspek sahaja? Dosa pahala bukan ada kalkulatornya.
Allah kasih kepada hamba-Nya yang bertaubat. Itu pegangannya. Allah buka pintu taubat kepada kita kerana Allah tahu dosa sentiasa terpalit pada hamba-Nya. Bertaubatlah. Dan jika kita marah bila melihat wanita bertudung membuka tudungnya, fahamilah yang dia sedang berlawan dengan banyak perkara. Caci maki dan cercaan tidak membantu apa-apa malah mungkin menambah sakit dalam jiwanya. Terimalah dia seadanya dan doakanlah semoga Allah mengampuni kita semua.
No comments:
Post a Comment