Tiba-tiba saya berasa hidup saya dikelilingi oleh sahabat-sahabat dan kaum keluarga yang tertekan. Saban hari saya mendengar rungutan betapa penat dan tertekannya mereka dengan tugas yang bertimpa-timpa. Di sekolah saya mendengar rintihan rakan-rakan guru. Di rumah pula saya mendengar keluhan suami, dan di merata-rata, saya membaca rungutan tentang tekanan menjadi guru yang tidak pernah habis sama ada di WhatsApp, di Facebook atau di blog-blog yang bertebaran.
Perlukah saya turut tertekan?
Saya tidak mahu. Malah saya bersyukur kerana semakin tahun saya berasa seperti beban saya semakin berkurang. Alhamdulillah. Saya diberi jadual mengajar sebanyak dua puluh lima waktu seminggu untuk empat kelas dan pada saya ia berbaloi-baloi. Walaupun jadual saya padat pada Selasa dan Khamis, saya punya banyak ruang pada tiga hari yang lain.
Tugas-tugas lain yang diberi pula adalah semuanya yang saya seronok melakukannya. Saya suka menyiapkan jadual ganti setiap pagi. Saya seronok melakukan analisis peperiksaan setiap penggal. Saya bahagia menyediakan Headcount setiap pelajar sepanjang tahun. Saya gembira menyelesaikan urusan SAPS dan apabila diberi tugas untuk hari sukan, saya memohon untuk menjaga bahagian Statistik dan Sijil kerana saya ceria melakukannya. Pada PIBG juga saya diberi tugas yang sama. Begitu juga setiap kali acara-acara lain berlangsung, jika tidak menyiapkan sijil saya akan diminta menyiapkan buku program atau pamplet. Sesekali saya ditugaskan di bahagian Persegaran dan saya tetap seronok melakukannya.
Jika ada mesyuarat atau kelas tambahan atau latihan sukan, saya akan setia menunggu di sekolah tanpa perlu bergegas pulang dahulu kemudian datang kembali. Saya tidak apa-apa bersendirian di bilik peperiksaan sambil melayari internet atau menulisi blog kerana jiwa saya sentiasa tenang apabila bersendirian.
Jadi di mana tekanannya?
Kawan saya mengeluh betapa dia tertekan dengan e-RPH. Setiap minggu dia terkial-kial untuk menyiapkannya dan apabila menghantar ke Google Classroom, tidak sampai pula. Semakin rimas dia dengan keadaan begini. Sebagai sahabat, saya bersimpati dengannya tetapi apalah yang mampu saya bantu. Sedang di pihak saya betapa e-RPH sangat memudahkan urusan dan menjimatkan masa saya berganda-ganda. Jika dibanding dengan kaedah lama, rasanya saya lebih gemarkan e-RPH. Rupanya bukan semua seperti saya kerana "computer fear" mereka masih gagal dibuang. Natijahnya, dia mula berkira-kira untuk memohon bersara awal.
Walaupun saya pernah berhasrat untuk bersara sebelum enam puluh tahun, tatapi buat masa ini rasanya saya masih mampu menggalas tugas sebagai guru di sekolah ini. Lainlah jika tanpa isyarat saya ditukarkan ke sekolah lain dan suasan menjadi berbeza, mungkin pada waktu itu saya akan mengubah fikiran. Tetapi di SMKKC ini hati saya amat tenang menjalankan tugas sebagai guru.
Terima kasih Tuhan kerana memberi rasa ini untuk saya, pada saat usia sudah semakin senja. Semoga beginilah berterusan untuk tahun-tahun mendatang, sehingga tiba masa saya bersara atau dipanggil pulang.
No comments:
Post a Comment