Setiap kali mereka mengongsi video dan gambar berkaitan isu politik yang tular di kumpulan WhatsApp sekolah, hati saya geram yang amat.
Pertama kerana sebagai guru kita tidak boleh berpolitik. Berpihaklah pada mana-mana parti yang anda suka tetapi jangan berpolitik. Bukan susah pun nak faham, kerana dasar ini sudah terpakai sekian lama, sejak BN masih berkuasa. Cuma mereka ini sejak dulu malas mematuhi. Jika dahulu, mereka mengongsi tentang kempen mengundi BN walaupun salah, kini mengongsi pula tentang kelemahan PH, dan ia tetap salah.
Kedua, apa yang dikongsi kebanyakan fitnah dan putar belit. Mereka mudah percaya dan mahu orang lain pun percaya seperti mereka. Video, gambar edit, semua dikongsi tanpa diselidik kebenarannya. Begitulah tahap minda golongan ini.
Jikalah sewaktu BN berkuasa dahulu ada yang mengongsi tentang perkara buruk dan tidak betul dalam kerajaan BN, pasti akan diugut dengan tindakan. Kenapa kini mereka melakukan perkara yang mereka tentang dahulu? Nampak kan kecetekan mereka.
Saya bukan mengatakan PH itu bagus. Saya tahu banyak benar pincangnya kerajaan baharu ini, tetapi saya tetap berpegang pada kenyataan yang saya ini penjawat awam dan perlu patuhi peraturan. Bercakap tentang politik biarlah pada tempat yang kena, bukan di semua persekitaran yang ada.
Bijak dan berpada-padalah.
No comments:
Post a Comment