Review sikit.
Pagi ini tanpa dirancang kami bersarapan di Kedai Nasi Kertas, Kok Lanas. Alkisahnya, usai Subuh tadi suami saya seperti kebuntuan, tidak tahu mahu membeli sarapan di mana. Saya yang sedang melayari Facebook, terpandang hantaran gambar sahabat maya saya di Restoran Nasi Kertas. Saya pernah menyebut tentang kedai ini kepada suami saya dan kami pun tahu lokasinya.
Dalam nada bergurau, saya bersuara, "Haaa... Pagi ni kita sarapan di Kedai Nasi Kertas lah!"
Tanpa saya sangka suami saya benar-benar mahu. Saya pun apa lagi, bersiaplah!
Jam 8.10 pagi kami turun dan dalam masa 25 minit perjalanan, tibalah kami di kedai itu. Mudah sahaja tempatnya, betul-betul bertentangan dengan Petronas Kok Lanas. Tempat parkingnya luas dan memudahkan kami.
Pelanggan tidaklah terlalu ramai sewaktu kami sampai, kedainya agak luas dan selesa. Lauk pauk banyak, kuih pun boleh tahan. Saya meminta nasi berlauk ayam kampung gulai manakala suami pula nasi berlauk ayam kampung goreng dan sedikit bilis goreng. Air teh o ais tentunya pilihan kami.
Seperti namanya, hidangan kami itu tidak menggunakan pinggan tetapi diletak di atas kertas pembungkus nasi. Alhamdulillah, sedap sangat. Harganya cuma RM15.50. Sangat berbaloi.
Jika anda juga kebuntuan mencari sarapan pagi, bolehlah datang ke kedai ini.
No comments:
Post a Comment