Friday, March 15, 2019

Gagalkah?

Alhamdulillah, saya bersyukur pada setiap kurnianya. 

Malam Khamis itu debaran saya memuncak, hinggakan tidur saya bermimpikan keputusan SPM!

Semua pun tahu betapa kejamnya soalan SPM Matematik Tambahan tahun lepas. Ramai calon menangis saat keluar dewan, ada yang pulang ke rumah terus membakar buku Add Maths dan yang paling malang, ada yang terjun bangunan sehingga koma.

Saya sendiri hanya mampu berserah. Tuhan, saya sudah memberi sehabis daya. Apa pun keputusannya nanti, saya redha. Menjadi guru, jiwa raga kami adalah untuk murid. Sedih hati mereka, sedihlah hati kami. Doa buat mereka sentiasa ada, agar segalanya membahagiakan.

Dan, keputusan tiba semalam. Dua puluh satu orang murid daripada lima puluh sembilan calon saya gagal. Dua orang berjaya mendapat gred A dan tiga puluh enam lagi lulus dari gred B hingga E.

Syukur Alhamdulillah.

Gagal Matematik Tambahan bukanlah penutup segala cerita. Jalan yang terbentang masih punya pelbagai simpang yang di hujungnya ada bahagia. Teruskanlah langkah kalian, cikgu akan tetap mengirim doa. Cikgu tahu kalian sudah berusaha, cuma ketetapan buat kalian tertulis begitu. Redhalah. 

Biar pun kecewa itu ada, saya tidak mudah berputus asa. Peperiksaan bukanlah suatu pertandingan yang ada kalah dan menang, ia cuma suatu petunjuk untuk kita membuat pilihan menuju simpang yang ada di hadapan. 

Teruskanlah. Perjuangan kalian baru bermula. Semoga Allah memberi sinar dalam laluan kalian nanti.

No comments:

Post a Comment