Tuesday, April 30, 2019

Begini Perasaan

Ahad petang itu, saya mendapat pesanan daripada kakak ipar saya, Kak Rohaizan melalui kumpulan WhatsApp kami. Dia menjemput kami untuk menikmati sedikit jamuan petang di rumahnya. Seperti selalu, jemputan sebegini amatlah saya gemari dan tentunya akan hadir.

Selesai solat Asar, saya bersiap dan tiba di rumahnya yang cuma 800 meter dari rumah kami sekitar jam 5.30 petang. Rupa-rupanya Kak Rohaizan mahu meraikan bakal besannya yang datang menziarah, dan kami dijemput sama memeriahi majlis.

Emak saya juga turut sama berada di situ. Untung juga apabila bernikah dengan jiran, apa-apa majlis yang ipar saya buat, emak tentu akan dijemput sama. Saya tentulah sangat seronok dapat bertemu emak. Dapat berbual dan bercerita dengan emak, walaupun sekejap, ia satu terapi yang mujarab dalam melegakan segala tekanan yang ada. Rupanya banyak cerita yang saya belum tahu dari emak, maklumlah betapa susahnya saya mencari ruang untuk ke rumah emak pada setiap minggu, kerana kekangan tanggungjawab dan masa. Kasihan emak, anak ramai tetapi bersendirian. Mengenang itu saya akan sedih, tetapi saya tidak ada upaya untuk mengubah keadaan.

Emak rancak bercerita tentang tanah yang dibeli, tentang temujanji di klinik dan tentang apa sahaja dengan saya. Sebagai anak, saya selalu berasa terkilan kerana tidak dapat membantu emak menyelesaikan urusan-urusan yang ada. Selalu saya berlepas tangan dan adik-adik saya - Aziah dan Husna - lebih terkehadapan dalam memenuhi keperluan emak. Saya sentiasa kerugian.

Sebenarnya saya sering tersepit, ingin memenuhi kehendak emak tetapi pada masa yang sama suami saya ada urusan lain. Belum sempat saya mencari ruang waktu yang sesuai, adik-adik saya sudah menyelesaikan. Dan begitulah selalunya, dan saya akan sentiasa dalam rasa terkilan.

Apabila emak memberitahu dia mahu ke Tabung Haji mengeluarkan duit untuk bayaran tanah di belakang rumah itu, saya terus menyatakan yang saya akan membawa emak ke sana. Emak kata tidak mengapa kalau saya tidak dapat kerana emak boleh mengajak Aziah, tetapi saya tetap mahu melakukannya. Saya memberitahu suami saya dan suami saya bersetuju untuk membawa emak ke Tabung Haji selepas habis sekolah pada Isnin. 

Dan Isnin itu saya menelefon emak, memberitahunya supaya bersiap pada jam 2.30 petang kerana kami akan mengambilnya sekitar jam 2.45 petang ke Bank Rakyat Wakaf Che Yeh. Emak akur sahaja.

Kami tiba di Bank Rakyat pada jam 3.05 petang dan orang sangatlah ramai. Risau juga saya jika terpaksa menunggu lama. Jika cuma saya dan emak saya tidak kisah sangat tetapi kerana suami saya juga ada, saya sedikit gelisah. Mujur suami saya tergerak hati untuk ke klinik gigi di sebelah bank itu untuk merawat gusinya yang sedikit bengkak, jadi tidaklah masanya berlalu sia-sia. Alhamdulillah urusan kami selesai serentak - sebaik suami saya keluar dari klinik, saya dan emak sudah hampir siap di kaunter. 

Seterusnya kami bergerak pulang, dan tiba di rumah kami pada 4.25 petang.

Nanti untuk urusan emak di klinik, saya akan cuba mencari ruang pada minggu hadapan. Semoga Allah mengizinkan.

Monday, April 29, 2019

Kursus Kahwin

ADA USTAZ KURSUS KAHWIN KATA PEREMPUAN TAK TUTUP AURAT LAYAK DIZINA!

Aku sebenarnya tak nak pun orang tahu aku hadir ke satu kursus yang diwajibkan kerajaan ni sebelum ke gerbang seterusnya. Tapi apa yang berlaku tadi memang perkara yang paling sial dan memalukan dalam kursus tersebut!

Hari pertama ada beberapa tajuk dibincangkan, setiap tajuk disampaikan oleh penceramah berbeza. Tajuk pertama Tasawur Islam, aku okey saja walaupun agak boring tapi penting sebagai asas dan paling penting ustaz tu tak melalut dan buat lawak bukan-bukan.

Tajuk kedua pula mengenai tanggungjawab. Sebelum aku datang ke program, aku dah tengok tentatif dan yakin seyakin-yakinnya bahawa topik ini akan jadi bahan paling sedap untuk digoreng penceramah.

Dan memang betul, penceramah kalini goreng dia tak main-main. Sampai hangus!

Awal-awal mula berceramah saja suara dia dah menyakitkan hati. Terjerit-jerit macam tak ada microphone. Dia ingat audience ni pekak badak ke?

Tu belum bab dia masuk hal ideologi. Semua dibodohkannya. Liberal, pluralisme semua kena!

Yang paling best, ustaz ni simple minded dia tahap kalau boleh otak ni takpayah pakai. Dengan senang dia melabel semua rumahtangga yang rosak tu konfem disebabkan tak sembahyang.

Terketar-ketar tangan aku nak angkat dan tanya PU Abu tu sembahyang ke tak. Tapi sebab hormat penganjur, aku tahankan diri.

Dan yang membuatkan aku fed up, ustaz tersebut menggelarkan perempuan yang tak menutup aurat layak dicabul dan dizina.

Kemudian diapitnya pula dengan analogi orang jual buah durian tepi jalan. Kalau buah yang dah siap kopek dan nampak isi, orang cucuk isinya dengan jari. Tapi kalau tak kopek dan tak nampak isi, orang tak usik.

Bodohnya ustaz ni dia tak tahu yang orang kalau taknak usik buah tu, kopek ke tak kopek, nampak isi ke tak, dia tak pandang dan terus je berjalan. Itu lah konsep tundukkan pandangan.

Aku ada video rakaman bab perempuan layak dizina, tapi aku simpan dulu. Sebab aku tengah marah. 

Lepas sign kedatangan, aku terus berambus sampai topik seterusnya bab perubatan barulah aku masuk balik.

Dan ya, pemberi ceramah kalini bukan seorang ustaz, tapi jururawat biasa dan pengisiannya lagi berisi dari ustaz yang bangang tadi!

Shame on you agamawan!

Sunday, April 28, 2019

Tahap

Awal saya menjadi guru dahulu, saya tidak tahu banyak tentang perbezaan antara individu. Benar kami diajar tentang psikologi dan kelakuan individu, perbezaan antara murid cemerlang, sederhana dan lemah sewaktu Kursus Perguruan dahulu tetapi apabila berada dalam dunia nyata, saya terlupa.

Masih saya ingat sewaktu mengajar Matematik Tingkatan Lima di SMK Kuala Krai kira-kira dua puluh tahun lalu. Saya mengajar dengan penuh perasaan, lengkap persediaan dan saya yakin benar murid saya faham semuanya. Saya rasa mustahil mereka tidak faham kerana tajuk itu sangat senang. Sehinggalah apabila saya memberi mereka ujian.

Terkejut amat saya apabila melihat jawapan mereka yang seperti tidak tahu apa-apa. Saya rasa sangat marah. Kenapa tajuk semudah ini pun mereka tidak faham? Mereka murid kelas pertengahan, bukannya murid lemah. Saya berleter panjang dalam kelas mereka. Mereka diam dan mendengar. Tetapi pada ujian seterusnya pun, jawapan mereka tetap mengecewakan saya. Saya seperti sukar untuk menerima kerana saya rasa saya sudah memberi segala penerangan dengan jelas, contoh penyelesaian yang banyak dan juga teknik. Hati saya tidak puas kerana mereka tidak mendapat markah seperti yang saya mahu.

Perlahan-lahan, saya mula menyedari yang sememangnya manusia ini berbeza. Walaupun pada awalnya saya hairan kenapa benda yang mudah pun mereka susah faham, tetapi akhirnya saya sedar yang mudah itu adalah pada saya, sedang pada mereka ia susah. Dari tahun ke tahun saya mula mempelbagaikan kaedah dan cuba mendekati murid-murid lemah dengan mengajar mereka mengikut tahap mereka. 

Daripada pengalaman begini, saya mendapat banyak pengajaran. Saya tidak boleh menyamakan keupayaan murid, saya mesti memberi mereka sesuai dengan tahap mereka dan saya perlu rajin mengasingkan soalan untuk kategori murid yang pelbagai.

Dan perkara ini sebenarnya bukan hanya pada murid yang kami ajar, tetapi terpakai juga kepada rakan-rakan guru sekeliling saya. Apabila mereka bertanya tentang komputer - internet atau perisian - saya tidak boleh menerangkan secara pemahaman saya kerana mereka tidak akan dapat memahami. Walaupun saya rasa hairan kenapa susahnya mereka mahu faham sedangkan benda mudah sahaja, tetapi yang mudah itu ialah pada saya. Mereka tidak terdedah dengan komputer sebagaimana saya. Kadangkala saya rasa kecewa kerana sebagai guru mereka perlu malah wajib belajar Word, Excel, Internet dan benda-benda asas yang lain kerana mereka tidak boleh lari daripadanya. Saya dahulu pun belajar sendiri juga, tidak pernah berguru secara formal tetapi mungkin saya minat dan ingin menambah pengetahuan dan tidak pernah memandang rendah kebolehan sendiri maka saya mampu menguasai.

Ada waktunya saya rasa marah kerana mereka malas belajar, tetapi apabila saya mengajar mereka saya tahu yang mereka memang tidak mampu. Mereka bukan seperti saya yang minat benar dengan komputer sejak saya kenal apa itu komputer. Mereka adalah golongan yang lebih minat kepada memasak, mengemas rumah, melancong, mencari resepi baru, mencuba fesyen baru dan semua yang bukan jiwa saya. Dan itulah kepelbagaian dalam kehidupan manusia. Raikanlah.

Hari Guru 2019




















Saturday, April 27, 2019

Kejayaan

Ini tulisan Dr. Maszlee Malik di FB beliau.

Cara pandang kita terhadap konsep kejayaan dalam pendidikan sebenarnya sangat bergantung kepada sistem kepercayaan (mindset) kita.

Sudah sekian lama kita percaya bahawa pelajar yang mendapat nombor 1 lebih baik daripada pelajar yang mendapat nombor 20.

Saya mendapat banyak sekali soalan dari ibu bapa setelah kita memutuskan untuk memansuhkan peperiksaan Tahap 1, yang melibatkan Tahun 1,2 dan 3.

Mereka musykil dan gusar bagaimana kejayaan anak mereka diukur. Sudah berpuluh tahun mereka datang bertemu dengan pengetua dan bertanyakan soalan, "Anak saya dapat nombor berapa?"

Cabaran kita adalah untuk merobohkan mitos ranking ini. Kita tidak mahu anak-anak bangsa kita dinilai dengan cara yang tidak adil dan menyeluruh. Kita mahu pelajar yang mendapat nombor 20 tidak merasa dirinya bodoh dan tidak disayangi.

Sebab itulah kita mahu mengubah sudut pandang sebegini, dan ianya bermula dengan melihat nilai sebagai bentuk kejayaan.

Tidak mengapa sekiranya anak kita tidak mendapat nombor 1, tetapi anak kita tidak pernah biadab, tidak pernah lupa untuk berterima kasih kepada kita, dan sangat menghormati orang lain.

Tidak mengapa anak kita tidak menjadi pelajar paling pandai di sekolah, tetapi anak kita cintakan ilmu, rajin membaca, dan penuh dengan rasa ingin tahu.

Ini semua ialah nilai kejayaan dan ia tidak boleh dipandang sebelah mata, malah kita semua perlu mengiktirafnya. Inilah definisi sebenar kepada sebuah kejayaan, seperti kata HAMKA: 

"Kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang."

Hujung Minggu

Selepas berhari guru dengan jayanya pada Khamis itu, badan saya sakit-sakit. Dek jarang-jarang bermain dan bersenam, badan cepat benar letih. Ditambah cuaca yang panas merecik, peluh bertitisan tanpa henti kerana berjubah Arab, saya lelah sekali.

Jam menghampiri satu, majlis pun selesai. Semua orang pulang tetapi saya masih menanti pemandu tiba. Hajat hati mahu selesaikan RPH tetapi mood sudah ke laut kerana penat yang amat. Saya menghabiskan masa menanti suami tiba dengan bermain game sambil mendengar lagu-lagu kegemaran di laptop. Nasi Arab yang dibekalkan untuk makan tengah hari kami, saya usik sedikit sahaja. Pulang ke rumah nanti saya akan habiskan, jangan risau.

Di rumah saya benar-benar berehat. Suami saya ada jemputan tahlil malam ini jadi saya hanya santap mi segera. Sempat juga saya menonton episod akhir Patah Sayap Bertongkat Paruh di Astro Ria sebelum lena seenaknya pada jam 11.

Pagi Jumaat, saya bangkit dengan rasa sakit yang masih bersisa. Alangkah enaknya jika dapat berurut dari pinggang ke bawah, tetapi di mana? Suami saya pulang dari masjid jam 7.30 bersama sarapan dan saya kembali berehat.

Malas sungguh rasanya hendak selesaikan segala urusan rumah tangga, mahu berlingkar di katil sahaja jika boleh! Tetapi tetap saya siapkan basuhan kain dan mengemas dapur sebelum keluar berbelanja di G Orange pada jam 10.

Tengah hari ini saya masak tom yam campur, ikan gelama goreng dan telur dadar. Alhamdulillah.

Petang, saya dan suami berserta ipar duai menghadiri kenduri kesyukuran di rumah saudara suami di Kampung Kor. Singgah sebentar di rumah ma sebelum pulang ke rumah semula pada jam 6.

Malam ini saya cuma panaskan tom yam tengah hari tadi untuk dimakan dengan mi, menjadikan hidangan mi tom yam yang lazat.

Jam 10.30 saya tidur, tetapi terjaga sejam kemudian kerana bekalan elektrik terputus. Panasnya tidak terkata, tetapi mujurlah sekejap sahaja dan saya kembali lena apabila bekalan elektrik kembali pulih pada jam 12.10 malam.

Pagi Sabtu hari ini, kami keluar jam 6.45 ke airport untuk menghantar kak Rohaini dan Afiqah yang akan ke Johor Bahru.  Kami bersarapan di kedai makan berhampiran dan jam 8.25 kami sudah selamat tiba di rumah semula.

Saya meneruskan tugas suri rumah saya dengan membasuh balkoni rumah saya yang kotor diberak burung dan cicak, seterusnya menggosok pakaian dan melipat kain.

Penat lagi.

Sekarang saya sedang berehat di bilik, dan perut saya sudah kembali berirama.

Sekian.

Sunday, April 21, 2019

Histeria

Khamis itu seperti berbeza apabila berlaku sesuatu yang mengejutkan kami seluruh warga Chengal. Belum pernah ia berlaku seperti ini dan kami seperti hilang arah. Di sana jeritan, di sini tangisan. Murid terpinga-pinga, guru tertanya-tanya. Dugaan apakah ini?

Mungkin misteri sebegini sukar dirungkaikan. Dalam enggan percaya, ia ada. Dalam mahu menafikan, ia wujud di depan mata. Alam ghaib itu sangat tidak mampu kita telah, tetapi bila berlaku terpaksalah mencari jalan untuk memulihkan keadaan. Sukar kerana puncanya seperti terlalu misteri.

Kata mereka ia bermula di tempat perkhemahan. Ada pula yang berkata ia cuma di sini, di padang Chengal. Entahlah, saya tidak tahu dan tidak pasti. Saya hanya memerhati sambil menaakul misteri yang sukar diungkap.

Dia menyerang anak-anak murid yang lemah semangat, kata mereka lagi. Guru-guru pun tidak terkecuali apabila dua orang turut menerima tempiasnya. Ya Tuhan! Bantulah kami.

Kami dibenar pulang awal pada hari itu, dan hari ini - Ahad - kami mengadakan majlis Solat Hajat dan bacaan Yasin pada masa perhimpunan.  Pun seusai acara, sewaktu Pengetua sedang berucap, ada lagi pelajar yang diserang. Begitulah. Kami tidak ada daya upaya selain Mu Tuhan.

Semoga terungkai dan tamatlah segala misteri yang sebegini selepas ini. Amin.

Lafaz Yang Tersimpan

Luluh 
hatiku yang sayu
menatap wajahmu 
tenang dalam lena

Kasih 
kuzahirkan laku
Sedangkan bibirku 
jauh dari lafaznya

Raut tuamu 
membekas jiwaku
meredakan rindu 
mendamaikan kalbu

Tak mungkin kutemu 
iras sentuhanmu
biarpun kuredah seluruh dunia
mencari gantimu

Betapa sukarnya 
menyusun bicara
meluahkan rasa 
menuturkan sayang

kasih yang terlimpah 
hanya sekadar tingkah
cuma ungkapan kebisuan 
yang melindungkan 
kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar 
menyusun bicara
Meluahkan rasa 
menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah 
hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang 
andai dilisankan
Bait penghargaan 
penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat 
cinta yang merona
Jika hanya renungan mata 
yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
andai akhir nafas di hujung helaan
sebelum mata rapat terpejam
usah biar kehilangan
menggantikan lafaz yang tersimpan



Wednesday, April 17, 2019

Untuk Cinta

Pernah melalui? Ia sejarah terindah. Zaman remaja, sesekali terbayang di mata. Biar sudah ditelan masa, kenangan itu tetap ada. Ada waktu-waktunya, ia terimbas dan hati tersentuh. Bukan sedih atau kecewa, cuma rindu yang tiada hujungnya. Maafkanlah, aku hanya wanita biasa. Penuh emosi tetapi sentiasa berpijak di bumi nyata.

Kau tunjukkan aku
Yang memangnya tak pernah tahu
Erti sebenarnya cinta
Dari jiwa
Bukan hanya dari mata

Kau ajar hatiku
Kasih setulus seikhlasnya
Tak pernah mengalah
Walau kan terpisah
Sedikit pun tak berubah

Namun takkan menjadi milikku
Cinta bukan tercipta untukku

Tolong jagalah dirinya buat diriku
Jangan biar luka lagi hatinya
Yang amat kucinta
Yang milik engkau saja

Biar kusimpan semua kasih dan cinta
Akan kupendamkan sepanjang nyawa
Hingga tiba masa
Untuk aku bercinta semula

Selamat tinggal kasih
Aku kan pergi bawa diri
Yang telah rela
Dan mengerti

Dan di sini saja
Berakhirnya sebuah kisah
Cinta bertepuk sebelah
Terpaksalah kuterima ketentuan-Nya

Saturday, April 13, 2019

Ceritera Sabtu

(Setakat jam 2.14 minit tengah hari)

Seperti biasa, suami saya akan ke masjid bersolat Subuh dan hanya pulang paling awal pun jam 7.30 pagi. Waktu bersendirian di rumah pagi-pagi begini amat menenangkan. Alhamdulillah.

Seperti yang kami rancang, kami keluar bersarapan pagi di Warung Nasi Dagang Kak Yah, Gong Nering. Lima puluh minit sahaja perjalanan kami, dan pada jam 8.44 pagi kami tiba di kedai tersebut.

Suami saya memang penggemar nasi dagang di sini. Gulai ayam kampung dan gulai serati disediakan berselang hari dan hari ini giliran gulai serati. Suami saya mengambil dua ketul gulai serati dan habis dimakan dengan berselera sekali. Sedap sungguh, katanya. Ikutkan hati mahu menambah seketul lagi. Saya seronok melihat dia berselera begitu.

Hidangan kami. Air belum sampai. 

Saya kali ini mahu mencuba nasi minyak pula. Lauk yang saya pilih ialah kerutuk daging dan ayam gulai. Sedap. 

Jam 9.15 kami selesai makan dan harga cuma RM20 untuk hidangan kami kali ini. Kami terus memandu pulang, dan saya seperti biasa layu di tengah jalan. Tertidur dengan lenanya!

Pulang ke rumah, saya memulakan agenda seorang suri rumah pula. Menyiapkan basuhan kain dan melipat kain sahaja sudah memakan masa yang lama dan boleh tahan penatnya. Maklumlah, seminggu cuma sekali melakukan aktiviti ini. Tentunya mesin basuh berputar berkali-kali hari ini dan kain yang perlu dilipat pula penuh sebakul. Mana tak penat!

Menjelang tengah hari, saya ke dapur. Menu hari ini atas permintaan suami iaitu sotong serai, telur itik goreng dan pucuk paku goreng. Panasnya memasak di dapur saya, peluh menitik-nitik tetapi saya tahankan sahaja. Alhamdulillah selesai juga pada jam 1.40 tengah hari dan kami sama-sama menikmatinya selepas suami pulang dari masjid.

Usai makan, saya merebahkan badan di katil dan menghadap telefon pula. Rupa-rupanya ada missed call dari ma sewaktu saya di dapur tadi. Saya terus mendail semula.

Kata ma, Zahidah mahu ke kedai emas tetapi tidak tahu mahu ke Kota Bharu atau ke Ketereh. Ma bertanya pendapat saya.

Saya kata boleh saja mana-mana, tetapi jika mahu yang dekat tentulah Ketereh. Terpulanglah. Ma bertanya saya mahu ikut sekalikah? Ya Tuhan, hati saya mahu tetapi ada kekanganlah pula. Saya perlu menyiapkan beberapa perkara lagi hari ini dan saya terpaksa menolak pelawaan ma dengan hati yang berat.

Begitulah ceritanya.

Sekian, terima kasih.

Friday, April 12, 2019

Hukum

Geger lagi, isu murid dirotan hingga lebam dan bengkak. Ibu bapa melapor, guru pun menyindir. Saya cuma menggeleng.

Cukup-cukuplah. Guru yang baik bukanlah yang suka mendenda. Bukanlah dengan merotan itu pendidikan menjadi lebih berkesan. Sungguh ia bukan begitu. Jadilah guru yang berhemah, tahu mengawal perasaan dan bijak menyelidik. Menghukum itu biarlah jalan yang paling akhir dan lebih baik jika ia tidak berlaku.

Sewaktu alam persekolahan dulu saya jarang didenda, baik oleh guru atau pun ibu bapa. Sebab itu apabila sekali saya didenda, jiwa saya terdera teruk. Saya jadi sakit hati, malu, benci dan segala perasaan negatif datang mengganggu. Lama untuk ia hilang dan kembali pulih, dan saya tidak suka perasaan itu. Saya melaluinya dan saya tidak mahu anak-anak murid saya merasainya. Kadang-kadang denda itu bukan kerana salah saya, tetapi salah faham. Bukankah ia sangat meremukkan hati?

Emosi terganggu, fikiran kacau dan tidak mampu fokus di dalam kelas. Itukah kesan yang kita mahu?

Cubalah kita berfikir dengan lebih ke hadapan, pada era yang sudah dikuasai teknologi ini untuk menjadi guru yang bukan terkebelakang, yang suka mendenda, berleter dan mencipta jurang dengan murid. Guru kini ialah yang mendekati, memesrai dan memahami. Tenang, positif dan penuh hemah. Bukankah guru itu obor hemah menyinari pertiwi?

Thursday, April 11, 2019

Naik Pangkat

Selasa itu saya sepatutnya pulang seperti biasa kerana tiada mesyuarat juga tiada kelas tambahan. Sudah saya maklumkan kepada suami yang waktu pulang saya ialah jam 2.10 petang dan selalunya dia tiba sekitar 2.30 untuk menjemput saya.

Tiba-tiba telefon saya berdering pada jam menghampiri 12 tengah hari, irama panggilan dari suami. Dia mahu saya pulang sendiri hari ini kerana dia perlu hadir ke PPD untuk menerima memo. Langsung hati saya terdetik, suami saya naik pangkat!

Saya sebenarnya tidak bersedia untuk pulang sendiri hari ini kerana jika pulang sendiri, saya akan singgah di rumah ma tetapi ma tiada di rumah, ma ke RTC dengan Husna untuk membuat pasport. Saya mahu ke mana? Saya kurang selesa jika kawan saya menghantar ke rumah kerana rumah saya jauh terperosok ke dalam, dengan jalan yang sempit. Kasihan pula dia melalui kesukaran hanya untuk menghantar saya.

Sudahnya, saya terfikirkan Grab. Ya, itulah pilihan yang ada. Untuk mengelak kesesakan saya mohon keluar lebih awal dan PKP mengizinkan. Grab membawa saya pulang pada jam 1.50 dan Alhamdulillah selamat tiba di rumah saya sepuluh minit kemudian dengan tambang RM10. Benarlah Grab sangat memudahkan insan-insan seperti saya.

Suami saya juga tiba di rumah hanya dua minit selepas saya. Sangka saya dia sudah berada di PPD, rupa-rupanya dia pulang ke rumah dahulu untuk bertukar pakaian. Aduhai, begitu sekali dia mahu kelihatan segak berhadapan dengan pegawai di PPD.

Jam 4.20 minit suami saya pulang dengan wajah yang bahagia. Ya benar, dia dinaikkan pangkat sebagai Guru Kanan Bahasa di sekolah yang sama. Saya sudah mengagak dan mengucapkan tahniah kepadanya.

Perasaan saya? Tentulah saya tumpang gembira kerana dia suami saya. Cuma saya risau jika beban tugas yang bakal bertambah akan menambahkan tekanan padanya. Saya kenal dia, suami saya memang seorang yang sensitif dan kadangkala negatif. Saya risau jika dia dilanda tekanan dengan tugas-tugas baharu apatah lagi jika bersabit dengan teknologi. Saya boleh membantu dari segi luaran tetapi apalah upaya saya jika ia berkait emosi.

Apa pun, saya berdoa agar segalanya dipermudahkan. Amin.

Tuesday, April 09, 2019

Malam Amal

SMK Kampong Chengal yang saya kasihi telah menganjurkan satu majlis kutipan derma untuk mengisi tabung PIBG kami dan satu majlis makan malam diadakan sempena kutipan tersebut. Para penderma yang membeli kad berharga RM50 dijemput untuk hadir ke majlis itu yang berlangsung pada 5 April 2019 jam 8.00 malam.

Setiap guru diwajibkan untuk membeli sekurang-kurangnya tiga keping kad dan saya tidak terkecuali. Sayangnya suami saya enggan hadir ke majlis itu jadi saya membawa anak-anak saudara saya sebagai ganti.

Mujur Nurul Afiqah dan Mohamad Azrie sudi menerima jemputan saya.

Majlis berlangsung seperti yang dirancang dan tamat sekitar jam sepuluh malam. Hidangan yang sederhana tetap mengenyangkan kami. Nasi putih berlaukkan tom yam, daging merah, ikan sos dan sayur kangkung itu tiada cacat celanya. Alhamdulillah.



Sebenarnya ada sahaja suara-suara yang tidak bersetuju dengan majlis seperti ini. Mungkin mereka terbeban dengan tugas untuk menyempurnakan majlis yang bukan kecil dan dihadiri VIP juga. Mujur saya tidak diberi tugas besar, hanya membantu Ustazah Raziah mencari murid-murid yang layak untuk menerima sumbangan pada malam itu. Dan tugas itu selesai sebelum majlis berlangsung.

Apa pun, setiap perkara akan sentiasa ada pro dan kontra. Sebagai insan yang mahu positif, saya terima semuanya dengan hati terbuka. Semoga ada rahmat dari-Nya untuk kami di sini.

Wednesday, April 03, 2019

Najib

AKAN PERCAYA HANYA APABILA NAJIB DALAM KANDANG TERTUDUH
Oleh: Datuk A Kadir Jasin
_________

"Mereka inilah yang menggunakan slogan bangsa dan agama untuk memukau dan membodohkan orang Melayu."
- Datuk A Kadir Jasin
........................................

BERANI kerana benar takut kerana salah.

Di hadapan orang ramai, bekas Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil Mohd Najib Abdul Razak, tunjuk berani.

Ini adalah kerana dia tahu dia boleh berbohong dan ada sebahagian orang ramai akan percaya.

Jadi dia pun tunjuk berani. Dia mahu perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan bermula esok (3 April) disiarkan secara langsung (live).

Tetapi di hadapan mahkamah dia takut oleh sebab dia tahu bukti terhadapnya kuat.

Jadi dia buat macam-macam muslihat untuk lengah dan gagalkan perbicaraan.

Apabila kita semua dibagi gambaran dan jaminan bahawa perbicaraan akan dimulakan esok, tiba-tiba Najib buat satu lagi percubaan menghalangnya.

Peguam dia yang bernama Harvinderjit Singh semalam kemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan agar pertimbangkan semula keputusannya memulakan perbicaraan esok.

Saya amat berharap mahkamah tertinggi negara itu akan tolak rayuan ini sebagai remeh (frivolous).

Inilah muslihat Najib dan para peguamnya mencari talian hayat bagi memanjangkan umurnya sebagai orang bebas.

Mereka tahu jika perbicaraan tidak dihalang dan Najib masuk kandang tertuduh, maka harapan membuktikan yang dia tidak bersalah adalah tipis.

Peguam ni mereka tahu dari awal lagi sama ada anak guaman mereka bersalah atau tidak.

Mereka "bicarakan" dulu anak guaman mereka sebelum dibicarakan oleh mahkamah.

Kalau mereka percaya akan guaman mereka tidak bersalah, mereka akan pertahankannya atas dasar dia tidak bersalah.

Tetapi kalau pada pendapat mereka dia bersalah, mereka akan pertahankannya atas dasar dia bersalah.

Dalam sistem kehakiman kita, tugas pendakwa raya membuktikan sabitan kes adalah lebih berat daripada pembela menafikan pembabitan tertuduh.

Pendakwa raya wajib membuktikan di luar sebarang keraguan bahawa tertuduh melakukan jenayah yang dituduh.

Pihak pembela hanya perlu menimbulkan keraguan berpatutan terhadap bukti dan hujah pendakwa.

Itu pun rasanya Najib tidak yakin sebab dia sendiri tahu apa yang dia lakukan itu adalah salah dan tidak patut dilakukan apatah lagi oleh seorang Perdana Menteri.

DUIT PESARA KERAJAAN

Nombor satu, duit sebanyak RM42 juta yang masuk akaun peribadi Najib itu bukan duitnya atau duit suku-sakatnya.

Bukan duit Yayasan Noah (datuknya sebelah ibu) atau sumber-sumber lain yang sah di segi undang-undang.

Ia adalah duit SRC International Sdn Bhd. Masa itu, SRC adalah anak syarikat milik penuh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

SRC ini pula pinjam RM4.4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP kononnya untuk buka lombong arang batu di Mongolia (negeri mendiang Altantuya Shaariibuu).

KWAP ini adalah pemegang amanah duit pencen kakitangan awam. Duit orang pencen dan yang akan pencen.

Kita hendak tahu macam mana dan untuk tujuan apa duit dari tabung pencen kakitangan awam boleh masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

KURANG YAKIN

Maaf cakaplah kalau saya kata, saya tidak berapa percaya lagi dengan perbicaraan Najib ini.

Saya akan percaya hanya apabila Najib didudukkan di dalam kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok dan mula dibicarakan.

Itu pun belum ada jaminan bahawa Najib dan pasukan pembelaannya tidak akan buat tipu-helah macam digigit anjing, sakit perut dan kesuntukan masa.

Silap-silap Najib minta tangguh sebab dia kena hadir Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang.

Tak tahulah kalau dia diperlukan minta cuti atau Dewan Rakyat sendiri bagi kelepasan untuk hadir perbicaraan.

Dia akan buat semua ini untuk mengabui mata rakyat jelata yang tidak arif mengenai undang-undang. Bagi Najib segala-galanya adalah mengenai perbatuan politik (political milage).

Inilah malapetaka yang telah menimpa orang Melayu yang pastinya beragam Islam sehingga sanggup terus menerima dan menyanjung orang seperti Najib sebagai "Bossku".

Akibat perbuatan orang seperti inilah maka Melayu dan Islam terancam bukan kerana Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional.

Sebaliknya kerana kemenangan PH lah segala jenayah dan kejahatan kerajaan dahulu dapat dibongkar, diambil tindakan dan negara diselamatkan.

Melayu dan Islam terancam kerana perbuatan "Bossku" dan orang-orang seangkatan dengannya.

Mereka inilah yang menggunakan slogan bangsa dan agama untuk memukau dan membodohkan orang Melayu.

Dalam mereka merompak dan mencuri puluhan bilion duit negara dan merosakkan institusi kerajaan, rakyat jelata diberikan dedak kerana wang tunai adalah raja.

Bagi saya dan saya yakin begitu juga dengan majoriti rakyat jelata, jenayah rompakan duit negara ini akan selesai hanyalah apabila keadilan dilakukan dan yang bersalah disumbatkan ke dalam penjara.

Itu pun kita tetap memerlukan masa dan keringat untuk memperbetulkan segala kerosakan yang dilakukan oleh tertuduh dan mereka yang bersekongkol dengannya.

Wallahuaklam.

Sumber | Kredit : Blog - The Scribe A Kadir Jasin, 02/04/2019
Read more at : https://kadirjasin.blogspot.com/2019/04/akan-percaya-hanya-apabila-najib-dalam.html
Photo | Kredit: Blog - The Scribe A Kadir Jasin

_________
(Admin)
* Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, #kitakataapa cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel/Video/Audio yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan #kitakataapa.

Tuesday, April 02, 2019

Nak Leter Sikit Haih!

Kadang-kadang orang kita ni pun satu hal. Pi tanya awat hang tak pakai tudung la, bila nak pakai tudung la, kat depan-depan ramai. Hang ingat dia ni akan tersentak dan esok akan terus pakai tudung?

Memang taklah! Memang hang cari penyakit!

Dia pun jawablah soalan hang tu dengan tahap pemahaman dia yang tak seberapa dicampur pulak dengan emosi.

Lepas tu hang share video hat dia jawab tu, bagi orang tengok, lepas tu orang kutuk orang maki dia kaw kaw. Wah! Hang dah berjaya dalam dakwah hang. Tahniah!

Bijak tak orang Islam kita?

Yang non muslim dok baca, jadi heran. Awat la puak-puak Islam ni dok sibuk pasai dosa orang? Depa Tuhan ka? Kalau lagu ni tak payahlah masuk Islam. Semua benda depa sibuk nak nilai. Tak pakai tudung pun bising. (Non muslim katalah, bukan aku kata!)

Yang liberal pun baca jugak, lepas baca jadi makin tinggi darjah keliberalan depa. Tengoklah puak-puak ni, bukan nak doa yang baik-baik, dok kecam je kerja dia. (Ni puak liberal kata, bukan aku!)

Dah tu, tang mana dakwah hang menjadi? Yang tak tutup aurat tu dok tang tu jugak, tak tutup-tutup pun. Yang non muslim dok cemuh, tak terliur pun nak masuk agama yang sibuk hal dosa orang. Yang liberal pun dok tepuk tangan, seronok. Depa lagi baik daripada tok-tok lebai yang sibuk bab aurat semata-mata.

Yang aku ni, dok tang ni lah. Tak paham campur kompius. Tak tau bila lebai-lebai ni nak cerdik.

Ya Allah, bantulah!