Friday, November 29, 2019

KBAT

Sekarang ini era STEM. Semuanya berkaitan STEM sehingga KBAT macam dah tak hot lagi. STEM pun akan sejuk juga, begitu kita melihat pendidikan. 

Ini pengamatan aku dari luar pagar sekolah, tentang KBAT.

1. KBAT memerlukan PREKNOWLEDGE yang cukup. Jangan mimpi murid-murid mampu menganalisis, berfikiran kritis dan lain-lain termasuk membuat comparison misalnya kalau hanya tahu celup-celup sahaja. Apatah lagi tahu tapi tak faham, atau langsung tak tahu!

2. KBAT terlebih dahulu adalah untuk policy makers dan expert. Guru menyediakan persekitaran yg membolehkan murid menguasai A..B..C.. sebelum dipertingkatkan ke D..E..F  dan seterusnya menguasai yang kompleks dan complicated.

3. Pengetahuan diperingkat sekolah terutama sekolah rendah sangat structured, saya ulang STRUCTURED. Tak payahlah sengaja nak belit-belit bagi susah then kata itulah KBAT.

4. KBAT adalah proses berfikir dan semakin murid menguasai asas dan semakin meningkat kompleks serta complicated bahan yg diajar maka dengan sendirinya murid membina KBAT sebab di peringkat lebih tinggi subjek dah mula applied dengan masalah yang makin realistik, bukan dengan menjawab soalan KBAT.

5.  Satu salah faham yang amat ketara tentang KBAT sehingga apa yang dulunya cuba dipermudahkan kini dibelit-belit atas nama KBAT.  Maka berseminar, berkonferens dan melawatlah keserata dunia untuk menjadikan pendidikan kita pendidikan KBAT. Semua pun tahu Einstein kata benda mudah jangan pula disusahkan, apatah lagi bendah yang susah.

6. Bila murid makin keliru dan celaru, disuarakan pula cara mengajar dgn pelbagai nama. Inkuiri, SCL, PBL, hands-on dan nak bagi canggih diletakkan pedagogi abad 21 dan lain-lain yang dah wujud sejak Bloom mula perkenalkan taxonomy nya tahun 1950/60an. 

7. Niat utk mlatih murid berfikir... dgn soalan2 KBAT akhirnya membawa kpd kesulitan sehingga terpaksa diajar utk tackle soalan2 KBAT... terbitlah buku2 dgn soalan2 KBAT...tip2 jawab soalan KBAT... seminar KBAT... dipanggil 'pakar' KBAT yg tak pernah mengajar wpun sekolah rendah.

8. Semua pihak dah mula terasa murid tak menguasai KBAT... 

9. Back to basic jer... 

10. Sekadar contoh.... Seorang suri rumah yg hanya blaja takat SPM GRED 3.. yg berminat menanam orkid mula menguasai pengetahuan tentang orkid dari yg asas hingga yg advanced secara self learning malah dpt mbuat analysis kesesuaian pelbagai orkid... hasilkan inovasi dalam menanam orkid dan mbuat hibrid tanpa perlu masuk uni dan menjawab soalan KBAT Tahun 1 ... 'Tumbuh2an manakah yg ada batang tapi tidak ada kayu... '

(Salin, tampal dan edit dari FB Dr. Othman Talib)

Thursday, November 28, 2019

Merdeka!

Selesailah hari ini untuk kalian anak-anak SPM 2019. Semuanya begitu lega kelihatan, seperti lepas beban yang berat nian!

Benar begitu, kerana tekanan yang mereka rasai bukan sedikit. Persekitaran seperti tidak mesra dan begitu kejam dengan menjadikan  harapan umpama bebanan. Entah kenapa sehebat itu persaingan dalam pendidikan di sini. Entah bila akan berakhir, Tuhan jua Maha Tahu.

Pad hal, pendidikan bukan melihat siapa yang di atas atau siapa yang di bawah - siapa berjaya mengumpul sedozen A itu cemerlang dan  menang, manakala yang tiada A itu kalah dan gagal. Pendidikan yang sebenarnya ialah ruang dan peluang untuk memilih hala tuju pada masa hadapan. 

Ah! Siapa peduli? 

Tekan mereka agar akademik hebat, barulah ibu bapa boleh berbangga. Asak mereka agar tidak membuat perkara lain selain belajar siang malam, barulah boleh pecah rekod negara.

Kasihan, bukan?

Semoga dengan merdeka mereka pada hari ini, akan memberi ruang untuk mengenal diri sendiri. Tanpa sebarang tekanan, terokalah alam dan persekitaran sebebas-bebasnya agar minda lebih terarah dan fikiran lebih berfungsi. 

Tuesday, November 26, 2019

Rehat Sungguh

Pelik saya, tak dapat nak fikir kenapa orang bosan berada di rumah? Maksud saya bersendirian tanpa siapa-siapa menemani di rumah sendiri.  Bukankah ia sesuatu yang dinanti-nantikan?

Seperti saya sekarang ini. Betapa tenangnya hati hanya Tuhan yang tahu. Sebentar tadi suami saya seperti mengeluh kebosanan kerana tidak tahu apa perlu dibuat di rumah ini. Saya terus mencadangkan agar dia keluar jalan-jalan, tak kiralah pergi mana asal tidak berada di rumah - takut bosan. Dan dia pun keluar tinggalkan saya sendirian.

Yeay!!

Tahu apa aktiviti saya pagi ini?

Usai Subuh dan mengaji, saya melayari internet dan meneruskan permainan 2048 yang menjadi ketagihan saya sebulan dua ini. Jam 7.30 suami saya pulang dari masjid bersama sarapan. Selepas sarapan dia turun ke taman haiwannya untuk mengisi masa bersama haiwan-haiwan kesayangannya. Saya pula meneruskan aktiviti membasuh kain, mengemas dapur dan melipat kain. Jam 8.30 semua selesai. Suami saya naik sekejap tetapi mengeluh kebosanan. Selepas berjaya menyuruhnya keluar, saya berbaring di katil sambil mendengar muzik dan meneruskan permainan 2048 saya. Jam baru ke angka 8.53 pagi. Heaven!

Bayangkan kalau hari kerja. Apa yang berlaku pada waktu ini? Tentunya sedang bertungkus lumus menyiapkan segala kerja dan urusan yang tidak pernah habis di sekolah. Jadi bila cuti begini, inilah masanya untuk saya melayan diri sendiri.

Oh ya, saya sudah mencapai tiles tertinggi 131072 dengan skor 2075708 dalam permainan 2048. Ada siapa-siapa mahu mencabar?



Sunday, November 24, 2019

Lima Minggu Lima Hari

November pun tiba, menjanjikan hujung tahun yang percuma dari kerja. Saat yang dinanti oleh sekalian murid dan guru Malaysia.

Khamis 21 November menjadi hari persekolahan terakhir bagi tahun 2019. Mujur kertas Add Maths SPM sudah berlalu jadi tiada sebarang kelas tambahan lagi untuk mereka dalam cuti ini. Tinggal Biologi dan Fizik yang sedang berkelas siang malam (juga pagi petang) sehingga ke penamatnya pada 28hb nanti. Semoga sejahteralah anak-anak!

Hari ini sudah Ahad. Sudah hari ketiga bercuti. Seronoknya melayan diri sendiri walaupun kertas budak-budak tingkatan empat masih belum selesai saya ladeni. Biarkan. Masa masih ada!

Emak nun di Putrajaya, sudah lebih seminggu. Semoga emak baik-baik sahaja walaupun saya tahu emak sudah tidak sabar mahu pulang. Saya pun rindu emak. Sabar ya emak, tinggal lima hari saja lagi.

Aduhai! Empat puluh hari ini akan saya isi dengan kebahagiaan, in shaa Allah.

Wednesday, November 20, 2019

Tambahan

Apabila ia bernama "Tambahan" maka ia dikatakan susah. Begitu rupanya.

Sebagai guru yang bergelumang dengan Matematik Tambahan sejak dua puluh tahun yang lalu, dan melalui juga hari-hari sebagai pelajar yang belajar Matematik Tambahan pada 1988 dan 1989, saya rasa saya sudah layak untuk membuat sedikit kesimpulan tentang mata pelajaran ini. Apatah lagi sejak 2015, soalan peperiksaan SPM mula diselitkan dengan unsur KBAT yang begitu menekan dan melukakan.

Mungkin kita perlu mengambil sisi positifnya dahulu, iaitu pelajar yang tidak layak tidak lagi akan dengan mudah mendapat gred A. Sebarang latih tubi tidak akan membantu kerana soalan yang disoal ialah konsep dan kemahiran. Jika soalan itu sudah ditanya pada SPM lepas, ia tidak akan berulang lagi pada tahun-tahun seterusnya.

Saya sebenarnya sangat menyokong sisi ini, cuma masih terbawa-bawa dengan kebiasaan latih tubi. Habis segala soalan dari serata Malaysia saya suakan kepada murid saya dengan harapan akan ada soalan yang hampir sama keluar dalam SPM. Pun, hampa jua kerana soalan yang ditanya sangat langka. Jangan kata murid, guru pun termenung berbelas-belas minit sebelum memahami kemahuan soalan.
 
Kesimpulannya, saya hanya mampu berserah. Lulus atau gagal biarlah menjadi sesuatu yang bermakna buat semua. Hidup memang akan sentiasa diuji, suka atau tidak. Sematkan dalam fikiran yang gagal Matematik Tambahan bukanlah pengakhir sebuah kehidupan.

Wednesday, November 13, 2019

Relief

Tahun ini sudah tahun keempat saya memegang jawatan sebagai Setiausaha Jadual Ganti di sekolah saya. Jika diikutkan pekeliling, penyediaan jadual ganti adalah tanggungjawab Guru Penolong Kanan Pentadbiran tetapi kebanyakan sekolah akan menubuhkan JK Jadual Ganti kerana Guru PKP sangat sibuk.

Sebelum saya mengambil alih tugas ini pada tahun 2016, guru jadual ganti waktu itu membuat jadual giliran seramai 3 orang setiap hari. Maksudnya, setiap hari guru berbeza akan menyediakan jadual. Apabila saya diberi tanggungjawab ini, saya seronok melakukannya sendirian. Jujur, saya akan serabut bekerja ramai-ramai.

Tugas ini tidaklah berat tetapi ia tidak mudah. Setiap hari guru yang tiada di sekolah tidak pernah sedikit. Rutin saya, seawal 6.45 pagi saya sudah berada di sekolah dan bersedia melunaskan tugas ini. Sudah saya pesan agar makluman ketidakhadiran dibuat sebelum jam 7 pagi kecuali jika ada kecemasan. Dan tugas menyediakan jadual ini akan tamat pada jam 8.10 iaitu sehabis masa pertama.

Tetapi begitulah, seolahnya saya ini tiada kerja lain selain menyediakan jadual ganti agaknya, sehinggakan sudah lebih jam 9 pun masih menghubungi saya untuk membuat jadual ganti bagi dirinya. Teruk betul, common sense zero!

Mesyuarat guru nanti saya akan cuba bersuara tentang ini. Semoga Allah memberi kekuatan.

Tuesday, November 12, 2019

Bercuti Lima Hari

Jumaat dan Sabtu, cuti hujung minggu. Ahad pula cuti Maulidurrasul manakala Isnin dan Selasa cuti Keputeraan. Lima hari yang indah, jika diisi dengan aktiviti yang indah.

Jumaat itu saya cuma memerap di rumah. Oh, itukan hobi saya! Seronoknya hanya Tuhan yang tahu. Awalnya saya merancang mahu keluar membeli barang keperluan di G Orange tetapi memikirkan saya tidak perlu memasak kerana suami saya ada jemputan tengah hari nanti, saya batalkan niat itu. Saya melayan diri sendiri sepuas hati hari ini. Indahnya!

Sabtu pula, jadual saya penuh. Bermula dengan kelas tambahan di sekolah dari jam 8 hingga 12, tengah harinya pula dipenuhi kenduri-kenduri yang bersusun-susun. 

Ahad, barulah saya keluar membeli barang keperluan dan singgah pula di rumah ma dan mek. Hari ini saya dalam ketidakselesaan kerana keuzuran yang hebat. Sudah lama saya tidak diuji begini. Semoga tiada kemudaratan in shaa Allah.

Isnin tiba, saya berkelas tambahan lagi. Tengah harinya kami keluar makan di Bukit Cina dan pulang ke rumah saya membantu suami saya menyelesaikan kerja PBPPP nya.

Hari ini Selasa, dan saya masih lagi berkelas tambahan. Rajin sungguh! Jam 11 singgah sebentar di rumah ma, membawa bersama baju-baju bola yang saya beli untuk Nasih, Wajih dan Muiz. Seronok semuanya, Alhamdulillah.

Makan tengah hari kami ke Pantai Irama untuk Ikan Celup Tepung di sana. Alhamdulillah.

Monday, November 11, 2019

Malu?

Kadang-kadang tak terjangkau di fikiran saya perangai manusia yang pelbagai macam. Hidup mereka memang untuk mengambil kesempatan dan tidak mahu beradaptasi dengan perubahan. Tahukah mereka dunia hari ini memerlukan kepantasan dan kebijaksanaan? Hanya yang bodoh dan malas sahaja yang masih selesa dengan bergantung pada pertolongan orang.

Benar, hidup perlu saling bantu membantu tetapi janganlah sampai menggunakan orang sesuka hati. Saya sudah naik muak dengan perangai orang yang tak tahu malu dan mengambil kesempatan tak habis-habis. Saya bosan melayan orang begini!

Tak kira masa, tak fikir orang tengah buat apa, seolah-olah saya ini pembantu peribadinya pula boleh diarah sesuka hati. Sekejap minta belikan tiket Air Asia, kemudian tolong bayarkan bil, lepas tu beli barang di Lazada pula. Eh, tak reti malu sungguh!

Mungkin kerana saya bukan jenis begitu, maka saya benar-benar tidak suka saya dipergunakan tanpa batas. Sedang saya melakukan hal penting di rumah, atau sedang saya dalam mood berehat "please don't disturb", ada sahaja mesej dari dia masuk meminta buat itu ini. Hello! Saya ni kaunter bantuan kah?

Eh, saya geram ni. Faham tak?

Sunday, November 10, 2019

Nenek

Pernah sewaktu di sekolah rendah, guru kelas saya bertanya tentang nenek. Siapa yang masih ada nenek? Ramai yang angkat tangan. Siapa yang tidak sempat kenal nenek? Hanya saya seorang.

"Awak tak sempat kenal nenek?"

"Ya."

"Dua-dua nenek?"

"Ya."

Dan saya pun menangis. Mujur cikgu tidak perasan.

Sejak hari itu saya berdoa semoga Allah temukan saya dengan nenek dalam mimpi, tetapi sehingga hari ini ia tidak berlaku. 

Kesempatan untuk saya bermanja dengan nenek walaupun tiada, tetap saya mendoakan kebahagiaan untuk mereka. Mengenang mereka walaupun tidak pernah berjumpa, tetap selalu ada rindu. Saya bayangkan mereka kini sedang bahagia di sisi Tuhan.

Cerita arwah Ayah, ibunya bernama Halimah. Ayah pun tidak ingat wajah nenek kerana nenek meninggal sewaktu ayah baru berusia enam tahun (1950) akibat sakit kuning, sama dengan sakit yang ayah hidapi.

Cerita Ma pula, ibunya bernama Tuan Kembang. Ma anak yang manja kerana lambat dapat adik iaitu pada usia tujuh tahun. Selepas melahirkan anak ketiga pada 1962, kesihatan nenek merosot dan meninggal lima tahun kemudian iaitu pada 1967, ketika baru berusia 32 tahun. 

Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin.

Friday, November 08, 2019

Bukan Ponteng

Malam tadi berlangsung majlis makan malam (annual dinner) sekolah saya bertempat di Hotel Perdana. Untuk tahun kedua berturutan, saya tidak hadir.

Tahun lepas saya tidak hadir di majlis jamuan tahunan yang diadakan di PCB Resort itu kerana saya protes(?), tahun ini pula saya tiada perasaan. Entahlah, saya jadi malas dan merasakan berehat di rumah lebih aman. Teruk, kan?

Pun saya buntu mahu bagaimana memaklumkan kepada pihak sekolah yang saya tidak mahu hadir. Apa alasan saya? Tak kan saya mahu ponteng saja-saja?

Dek tiada sebab yang munasabah, awalnya saya memutuskan untuk hadir juga - pergi dihantar suami dan pulang menumpang sahabat saya Meriam - walaupun keberatan. Baju kurung songket merah sudah siap untuk saya pakai ke sana (kerana temanya Warisan Melayu), juga beg tangan kecil (clutch) baru yang saya beli dari Lazada, berwarna hitam sepadan tudung dan kasut.

Tiba harinya semalam, saya masih tidak mempunyai rasa itu. Tidak teruja malah malas! Kebetulan kesihatan saya tiba-tiba merosot. Sejak pagi Selasa saya mengalami masalah sukar membuang air kecil pada waktu pagi. Rasanya malam ini sangat sesuai jika saya ke klinik.

Saya pun memberitahu rakan dan juga AJK Kelab Guru yang saya tidak dapat hadir jamuan kerana mahu ke klinik. Mereka mulanya enggan menerima alasan itu, dan langsung mahu terus menghantar saya ke klinik segera tanpa perlu menunggu malam. Kata saya, kalau pergi klinik sekarang pun saya akan ambil MC, jadi malam ini saya tetap tidak akan hadir. Lalu mereka reda.

Begitulah. Malam itu saya ke Klinik Perdana Mulong dan doktor yang merawat memberi saya ubat lawas kencing. Semoga sembuhlah nanti, amin.

Wednesday, November 06, 2019

Saga

Lupa saya untuk bercerita tentang kereta Proton Saga yang suami saya beli sekitar Ogos baru-baru ini. Sudah tiga bulan lebih, sehingga saya pun lupa mencatat.

Sebenarnya saya pun tidak tahu sebab apa suami saya beria-ia mahu membeli kereta lama model 1992 itu. Pada saya ia tidak praktikal pun, lainlah kalau dibeli kereta baru yang kecil untuk kegunaan biasa seperti Myvi atau Axia. Bolehlah dibawa ke mana-mana sahaja tanpa perlu risau ia meragam, tetapi seperti biasa, saya tidak akan menghalang keinginannya jika tidak memudaratkan. Sebelum ini pun, apa sahaja minatnya tidak pernah saya halang. Biarlah, bukan menyusahkan siapa-siapa pun.

Saya lupa tarikh tepat pembelian kereta itu, malah nombor pendaftarannya pun saya tidak pasti kerana ia berlaku sangat pantas. Harganya RM3000 dan dicampur itu ini rasanya mencecah lebih RM4000 juga sebelum kereta itu boleh dipandu. Tidak mengapalah, saya bukan jenis berkira.

Baru dua kali saya menaikinya. Kereta lama, apalah sangat yang boleh diharapkan. Rakan-rakan dan saudara mara bertanya juga, kenapa tiba-tiba membeli kereta ini? Mereka tidak mampu memikirkan apa tujuan suami saya sebenarnya, selain untuk membelanjakan wang yang berlebihan. Hahaha!

Saya ini nakal juga, ingin pula menguji jika sayalah mahu membelanjakan wang untuk perkara yang tidak perlu, adakah dia mengizinkan?

Saya pura-pura berkenan dengan telefon baru. Samsung Galaxy Note terbaru itu. Saya kan peminat gajet, tentulah saya teruja. Saya tunjukkan kepadanya harga dan model telefon itu di perisian online Lazada dan Shoppee. Cantiknya! Saya nak beli boleh? Harganya tidaklah mahal sangat, lebih kurang sama saja dengan kereta Proton Saga itu.

Tanpa sebarang alasan, dia tidak membenarkan.

Oh, ini sangat tidak adil!

Monday, November 04, 2019

Bocor

Seronok saya menonton Gegar Vaganza 6 malam tadi kerana persembahan peserta-peserta dan lagu-lagu yang dipilih sedap-sedap belaka. Tahun ini saya menggemari Sham Visa, kerana auranya tersendiri dan sifat malu-malunya di pentas memberi warna berbeza pada persembahannya. Duet bersama Marsha untuk lagu My Heart itu pada saya sungguh menghiburkan.

Sambil menonton, saya melayan pesanan WhatsApp anak-anak murid saya yang bertanyakan soalan latihan Matematik Tambahan kerana Isnin esok mereka akan diuji mata pelajaran ini dalam Peperiksaan Akhir Tahun. Saya tahu mereka memerlukan pertolongan saya, jadi saya dengan rela hati menjawab semuanya.

Sehinggalah seorang anak murid ini muncul bertanyakan soalan dengan menghantar gambar soalan tersebut. Terkejut sungguh saya kerana soalan itu adalah soalan peperiksaan esok!

Berdegup-degup jantung saya, tidak tahu mahu bertindak bagaimana. Saya bertanya, soalan itu dari mana? Pusat tuisyen katanya.

Makin kencang jantung saya berdegup. Ada marah menguasai. Kenapa seteruk itu integriti pihak tuisyen - yang tenaga pengajarnya adalah guru-guru seperti saya - sehingga ke tahap membocorkan soalan peperiksaan? Mereka mahu apa sebenarnya?

Marah sungguh saya. Tidak tahu apa alasan mereka menjatuhkan nilai diri mereka sendiri. Mereka guru, tetapi guru yang jahat! Generasi apakah yang ingin mereka lahirkan?

Saya hanya mampu mengurut-ngurut dada. Semoga adalah balasan setimpal buat mereka.