Pernah sewaktu di sekolah rendah, guru kelas saya bertanya tentang nenek. Siapa yang masih ada nenek? Ramai yang angkat tangan. Siapa yang tidak sempat kenal nenek? Hanya saya seorang.
"Awak tak sempat kenal nenek?"
"Ya."
"Dua-dua nenek?"
"Ya."
Dan saya pun menangis. Mujur cikgu tidak perasan.
Sejak hari itu saya berdoa semoga Allah temukan saya dengan nenek dalam mimpi, tetapi sehingga hari ini ia tidak berlaku.
Kesempatan untuk saya bermanja dengan nenek walaupun tiada, tetap saya mendoakan kebahagiaan untuk mereka. Mengenang mereka walaupun tidak pernah berjumpa, tetap selalu ada rindu. Saya bayangkan mereka kini sedang bahagia di sisi Tuhan.
Cerita arwah Ayah, ibunya bernama Halimah. Ayah pun tidak ingat wajah nenek kerana nenek meninggal sewaktu ayah baru berusia enam tahun (1950) akibat sakit kuning, sama dengan sakit yang ayah hidapi.
Cerita Ma pula, ibunya bernama Tuan Kembang. Ma anak yang manja kerana lambat dapat adik iaitu pada usia tujuh tahun. Selepas melahirkan anak ketiga pada 1962, kesihatan nenek merosot dan meninggal lima tahun kemudian iaitu pada 1967, ketika baru berusia 32 tahun.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Amin.
No comments:
Post a Comment