Wednesday, November 06, 2019

Saga

Lupa saya untuk bercerita tentang kereta Proton Saga yang suami saya beli sekitar Ogos baru-baru ini. Sudah tiga bulan lebih, sehingga saya pun lupa mencatat.

Sebenarnya saya pun tidak tahu sebab apa suami saya beria-ia mahu membeli kereta lama model 1992 itu. Pada saya ia tidak praktikal pun, lainlah kalau dibeli kereta baru yang kecil untuk kegunaan biasa seperti Myvi atau Axia. Bolehlah dibawa ke mana-mana sahaja tanpa perlu risau ia meragam, tetapi seperti biasa, saya tidak akan menghalang keinginannya jika tidak memudaratkan. Sebelum ini pun, apa sahaja minatnya tidak pernah saya halang. Biarlah, bukan menyusahkan siapa-siapa pun.

Saya lupa tarikh tepat pembelian kereta itu, malah nombor pendaftarannya pun saya tidak pasti kerana ia berlaku sangat pantas. Harganya RM3000 dan dicampur itu ini rasanya mencecah lebih RM4000 juga sebelum kereta itu boleh dipandu. Tidak mengapalah, saya bukan jenis berkira.

Baru dua kali saya menaikinya. Kereta lama, apalah sangat yang boleh diharapkan. Rakan-rakan dan saudara mara bertanya juga, kenapa tiba-tiba membeli kereta ini? Mereka tidak mampu memikirkan apa tujuan suami saya sebenarnya, selain untuk membelanjakan wang yang berlebihan. Hahaha!

Saya ini nakal juga, ingin pula menguji jika sayalah mahu membelanjakan wang untuk perkara yang tidak perlu, adakah dia mengizinkan?

Saya pura-pura berkenan dengan telefon baru. Samsung Galaxy Note terbaru itu. Saya kan peminat gajet, tentulah saya teruja. Saya tunjukkan kepadanya harga dan model telefon itu di perisian online Lazada dan Shoppee. Cantiknya! Saya nak beli boleh? Harganya tidaklah mahal sangat, lebih kurang sama saja dengan kereta Proton Saga itu.

Tanpa sebarang alasan, dia tidak membenarkan.

Oh, ini sangat tidak adil!

No comments:

Post a Comment