Wednesday, November 20, 2019

Tambahan

Apabila ia bernama "Tambahan" maka ia dikatakan susah. Begitu rupanya.

Sebagai guru yang bergelumang dengan Matematik Tambahan sejak dua puluh tahun yang lalu, dan melalui juga hari-hari sebagai pelajar yang belajar Matematik Tambahan pada 1988 dan 1989, saya rasa saya sudah layak untuk membuat sedikit kesimpulan tentang mata pelajaran ini. Apatah lagi sejak 2015, soalan peperiksaan SPM mula diselitkan dengan unsur KBAT yang begitu menekan dan melukakan.

Mungkin kita perlu mengambil sisi positifnya dahulu, iaitu pelajar yang tidak layak tidak lagi akan dengan mudah mendapat gred A. Sebarang latih tubi tidak akan membantu kerana soalan yang disoal ialah konsep dan kemahiran. Jika soalan itu sudah ditanya pada SPM lepas, ia tidak akan berulang lagi pada tahun-tahun seterusnya.

Saya sebenarnya sangat menyokong sisi ini, cuma masih terbawa-bawa dengan kebiasaan latih tubi. Habis segala soalan dari serata Malaysia saya suakan kepada murid saya dengan harapan akan ada soalan yang hampir sama keluar dalam SPM. Pun, hampa jua kerana soalan yang ditanya sangat langka. Jangan kata murid, guru pun termenung berbelas-belas minit sebelum memahami kemahuan soalan.
 
Kesimpulannya, saya hanya mampu berserah. Lulus atau gagal biarlah menjadi sesuatu yang bermakna buat semua. Hidup memang akan sentiasa diuji, suka atau tidak. Sematkan dalam fikiran yang gagal Matematik Tambahan bukanlah pengakhir sebuah kehidupan.

No comments:

Post a Comment