Friday, November 08, 2019

Bukan Ponteng

Malam tadi berlangsung majlis makan malam (annual dinner) sekolah saya bertempat di Hotel Perdana. Untuk tahun kedua berturutan, saya tidak hadir.

Tahun lepas saya tidak hadir di majlis jamuan tahunan yang diadakan di PCB Resort itu kerana saya protes(?), tahun ini pula saya tiada perasaan. Entahlah, saya jadi malas dan merasakan berehat di rumah lebih aman. Teruk, kan?

Pun saya buntu mahu bagaimana memaklumkan kepada pihak sekolah yang saya tidak mahu hadir. Apa alasan saya? Tak kan saya mahu ponteng saja-saja?

Dek tiada sebab yang munasabah, awalnya saya memutuskan untuk hadir juga - pergi dihantar suami dan pulang menumpang sahabat saya Meriam - walaupun keberatan. Baju kurung songket merah sudah siap untuk saya pakai ke sana (kerana temanya Warisan Melayu), juga beg tangan kecil (clutch) baru yang saya beli dari Lazada, berwarna hitam sepadan tudung dan kasut.

Tiba harinya semalam, saya masih tidak mempunyai rasa itu. Tidak teruja malah malas! Kebetulan kesihatan saya tiba-tiba merosot. Sejak pagi Selasa saya mengalami masalah sukar membuang air kecil pada waktu pagi. Rasanya malam ini sangat sesuai jika saya ke klinik.

Saya pun memberitahu rakan dan juga AJK Kelab Guru yang saya tidak dapat hadir jamuan kerana mahu ke klinik. Mereka mulanya enggan menerima alasan itu, dan langsung mahu terus menghantar saya ke klinik segera tanpa perlu menunggu malam. Kata saya, kalau pergi klinik sekarang pun saya akan ambil MC, jadi malam ini saya tetap tidak akan hadir. Lalu mereka reda.

Begitulah. Malam itu saya ke Klinik Perdana Mulong dan doktor yang merawat memberi saya ubat lawas kencing. Semoga sembuhlah nanti, amin.

No comments:

Post a Comment