Monday, November 04, 2019

Bocor

Seronok saya menonton Gegar Vaganza 6 malam tadi kerana persembahan peserta-peserta dan lagu-lagu yang dipilih sedap-sedap belaka. Tahun ini saya menggemari Sham Visa, kerana auranya tersendiri dan sifat malu-malunya di pentas memberi warna berbeza pada persembahannya. Duet bersama Marsha untuk lagu My Heart itu pada saya sungguh menghiburkan.

Sambil menonton, saya melayan pesanan WhatsApp anak-anak murid saya yang bertanyakan soalan latihan Matematik Tambahan kerana Isnin esok mereka akan diuji mata pelajaran ini dalam Peperiksaan Akhir Tahun. Saya tahu mereka memerlukan pertolongan saya, jadi saya dengan rela hati menjawab semuanya.

Sehinggalah seorang anak murid ini muncul bertanyakan soalan dengan menghantar gambar soalan tersebut. Terkejut sungguh saya kerana soalan itu adalah soalan peperiksaan esok!

Berdegup-degup jantung saya, tidak tahu mahu bertindak bagaimana. Saya bertanya, soalan itu dari mana? Pusat tuisyen katanya.

Makin kencang jantung saya berdegup. Ada marah menguasai. Kenapa seteruk itu integriti pihak tuisyen - yang tenaga pengajarnya adalah guru-guru seperti saya - sehingga ke tahap membocorkan soalan peperiksaan? Mereka mahu apa sebenarnya?

Marah sungguh saya. Tidak tahu apa alasan mereka menjatuhkan nilai diri mereka sendiri. Mereka guru, tetapi guru yang jahat! Generasi apakah yang ingin mereka lahirkan?

Saya hanya mampu mengurut-ngurut dada. Semoga adalah balasan setimpal buat mereka.

No comments:

Post a Comment