Sewaktu berada dalam tahun akhir
di UKM, saya memilih untuk menyelesaikan projek kepujian saya dengan seorang
pensyarah baru. Saya berjumpa beliau dan beliau mencadangkan tajuk untuk projek
saya. Setiap minggu kami berbincang tentang isi dan penerangan yang perlu saya
cari dan kaji sehinggalah selesai saya menulis sekitar Mac 1996. Jujurnya, saya
menulis berdasarkan apa yang kami bincang dan faham. Tidak sedikit pun saya
lari dari intipati perbincangan dan sungguh saya faham apa yang saya buat itu.
Pada hari pembentangan, saya
menggunakan Power Point untuk mempersembahkan projek saya itu di hadapan
pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat sekursus saya. Saya ini sungguh seorang
yang sangat tidak pandai bercakap di khalayak, seorang yang gemuruh dan tidak
berkeyakinan, tetapi pada hari pembentangan itu saya cuba untuk tenang
setenang-tenangnya dengan persediaan yang rapi. Sudah berkali-kali saya
berlatih untuk memantapkan pembentangan saya itu.
Manalah saya tahu ada seorang
pensyarah yang tidak berpuas hati dengan projek saya. Sepanjang pembentangan
itu dia bertanya dan bertanya pelbagai soalan kepada saya, seolah-olah saya
tidak faham dengan apa yang saya buat. Saya menjawab dengan penuh tenang semua
soalan beliau. Semua jawapan saya berdasarkan apa yang telah saya pelajari dan
bincang dengan pensyarah penyelia saya itu dan saya nampak pensyarah lain
tidaklah pula ada yang mahu bertanya lagi, selain dialah seorang.
Selesai pembentangan, saya
kembali ke tempat saya dan rakan saya berbisik, “kesian engkau Ti, kena tanya
macam tu sekali. Tapi engkau rileks betul, boleh jawab dengan baik dan tak
nampak gabra pun!”
Kata-kata kawan saya itu
sebenarnya memberi kesan mendalam kepada saya. Barulah saya sedar saya diasak
sebegitu sekali oleh pensyarah itu hanya kerana beliau tidak berpuas hati
projek saya itu diselia oleh pensyarah lain (yang masih baru) sedangkan tajuk
saya itu adalah bidang kepakaran beliau. Hati saya sebak tiba-tiba kerana
sewaktu pembentangan projek kawan-kawan saya yang lain, dia tidak bertanya
sebegitu, seolah-olah hanya saya sorang sasaran serangannya.
Pulang ke asrama, saya menangis
sepuas hati. Entah mengapa saya berkecil hati dengan tindakan pensyarah itu
yang seperti tiada belas kasihan kepada saya. Saya hanya mangsa emosinya, dan
kesannya gred untuk projek saya itu cuma B+ sedangkan kawan-kawan saya yang
lain memperoleh A.
Tidak mengapalah, saya tidak
sedikit pun mahu menyimpan rasa kecewa saya lama-lama. Saya reda dengan apa
yang berlaku dan sudah pun lupa tentang peristiwa itu. Pensyarah itu tetap saya
kenang sebagai salah seorang guru saya dan doa saya untuknya sentiasa ada.
Baru-baru ini, saya ternampak
namanya dalam senarai jemaah umrah Emraz yang sama tarikh penerbangan dengan
saya tetapi dalam kumpulan berbeza. Saya dalam kumpulan 1 dan beliau dalam
kumpulan 2. Sangka saya mungkin kami tidak berkemungkinan bertemu kerana
mutawif berbeza yang menguruskan kami, hanya penerbangan dan hotel sahaja yang
sama.
Ditakdirkan Tuhan, saya
terserempak dengan beliau sejak di Jeddah lagi. Saya maniskan mulut menegurnya
walaupun sedikit cuak kerana beliau terkenal sebagai seorang pensyarah yang
garang di UKM dahulu.
“Dr. Abu kan?” begitu sapaan
pertama saya, dan beliau mengangguk. Saya menyambung bicara, memberitahu saya
pelajarnya di UKM dahulu. Beliau bertanya pada sesi bila dan saya maklumkan
sesi 92-96. Alhamdulillah beliau yang datang bersama isterinya kelihatan gembira
dengan sapaan saya itu. Beliau bertanya dengan siapa saya datang, lalu saya
perkenalkan suami saya kepadanya. Selepas itu beberapa kali lagi kami bertemu sewaktu
di hotel Mekah dan Madinah tetapi hanya bertukar senyuman tanpa bicara.
Melihat beliau sekarang, hati saya
jadi sayu. Tidak perlulah saya terus mengingati kisah yang tidak indah antara
kami itu. Saya tidak berani bertanya banyak kerana sifat saya sememangnya tidak
pandai berbual-bual, tetapi pada pengamatan saya usianya mungkin sudah hampir
70 tahun tetapi masih nampak sihat dan bertenaga.
Sewaktu pulang, kami berjumpa
lagi dan sempat berbual sedikit-sedikit. Saya tidak pasti apakah beliau ingat
tentang saya dan apa yang berlaku itu, tetapi semua itu tidak penting. Saya
sudah jadikan kisah itu sejarah yang memberi pengajaran untuk diri saya. Untuk
beliau, doa dari saya akan terus saya kirimkan.