Adenomyosis ini sungguh menakutkan. Saya tiada pilihan selain hidup dengannya sampai bila-bila. Bertahan semampunya.
Di HUSM hari ini saya sedikit kecewa apabila folder saya tidak ditemui. Bayangkan segala rekod rawatan saya sejak 22 tahun lalu tercatat di situ, tiba-tiba ia hilang entah ke mana. Doktor merawat saya hanya berpandukan cerita saya yang tentunya tidak sempurna. Benar saya kecewa, dan tidaklah saya tahu apa yang ingin Tuhan tunjukkan dengan ketiadaan rekod perubatan saya itu. Saya berdoa agar mereka terus mencarinya sehingga berjumpa.
Saya diimbas, diperiksa dan ditemubual serapinya kerana ketiadaan rekod itu menyukarkan doktor memberi keputusan. Saya cuba memberi kerjasama sepenuhnya agar doktor tidak keliru atau curiga dengan penyakit saya ini. Sudahnya, jam lima setengah baru selesai semuanya. Penat!
Saya datang ke HUSM dari sekolah menaiki Grab dan pulang dijemput suami. Menyusuri jalan raya petang-petang begini tentunya bergelut dengan sesak yang teruk. Jam 6.15 petang baru sampai di istana cinta kami. Ya, penat!
Sebagai manusia yang positif, saya reda dengan segalanya. Apa jua yang dilalui, saya tahu Allah tidak akan menzalimi hamba-Nya. Semoga usia saya masih ada dan berupaya untuk terus memberi demi sebuah kehidupan.
No comments:
Post a Comment