Saya mencuri kesempatan ini untuk keluar sekejap bersama dua orang sahabat guru saya iaitu cikgu Meriam dan cikgu Hanani. Kami ke Econ Jaya di pekan Kok Lanas untuk membeli hadiah pertukaran Pengetua kami yang majlisnya bakal berlangsung esok.
Pulang dari sana, perut saya lapar. Teringat ada nasi lemak yang diberi oleh cikgu Siti Hasliza tadi, terus saya menikmatinya. Nasi lemak itu sebenarnya ditempah untuk murid-murid rumah Biru dengan harga seringgit sebungkus, tetapi banyak pula yang tidak habis, jadi diagihkan kepada guru. Saya dapat tiga bungkus.
Saya dah rasa macam nak basi je nasi tu tapi saya teruskan makan sebab lapar. Bungkusan pertama saya habiskan manakala dua bungkus lagi saya ambil lauknya saja.
Jam 2.30 petang seperti biasa saya pulang ke rumah dijemput suami.
Di rumah saya melayan tidur hingga jam lima petang. Untuk makan malam saya masak nasi berlaukkan burung goreng, ikan kering, petola celur dan budu. Seterusnya menggosok, solat dan tidur. Awal juga saya tidur, sekitar jam sepuluh malam.
Tiba-tiba pada jam 1.35 pagi, saya terjaga kerana perut tidak selesa. Saya ke tandas berkali-kali dan tidak lagi mampu lena dengan sempurna. Apabila jam berdering pada 5.15 pagi, mata saya berat sungguh mahu dibuka.
Badan pun rasa seram sejuk. Saya demam rupanya dan perut masih bergelora. Suami kata cuti sajalah, nanti pukul 9 dia balik bawa saya ke klinik.
Saya memang tak larat. Lemah benar badan, sakit-sakit pula tu. Memandangkan hari ini persekolahan hanya akan dipenuhi dengan raptai sukan dan majlis perpisahan Pengetua, tentunya tiada relief akan disediakan. Moleklah jika saya bercuti sakit.
Jam 9.30 kami ke Klinik Primer dan saya diberi ubat beserta cuti sakit sehari. Alhamdulillah.
Maka berehatlah saya sepenuh hati untuk hari ini. Semoga esok saya akan sembuh dan dapat kembali bertugas di sekolah.
yeayyy pengetua dah pindah (dikdah)
ReplyDelete