Sunday, May 09, 2021

Kalau Dulu

Biasanya pada hari 27 Ramadan seperti hari ini, rumah ma sudah penuh dengan anak-anak. Yang dari Johor, dari Perak, dari Terengganu dan dari Putrajaya akan pulang dan berbuka puasa di rumah ma.

Rumah ma banyak bilik, cukup untuk semua anak ma yang pulang. Kami yang tiga orang di Kelantan ini sudah ada rumah sendiri, jadi tidak lagi bermalam di rumah ma. Rumah kami dekat-dekat sini saja, hanya lima ke sepuluh minit memandu.

Cucu-cucu ma seronok bermain, yalah lama-lama sekali baru jumpa. Areef akan tidak sabar mahu jumpa Muiz dan Sufi adik beradik. Yang perempuan selalunya malu-malu, tetapi Wafa tentu seronok dapat bermain dengan si kembar Huda dan Hana.

Pagi raya pula, juadah siap di meja hasil air tangan anak menantu. Selalunya ma akan meminta nasi dagang dan nasi impit kuah kacang, menu kegemaran ma sejak lama. Anak-anak ma tidak susah, semua pun boleh buat secara pakatan nasional. Saya selalunya bahagian gulai udang. Sedap!

Tahun ini, ma akan sunyi. Ma kata ma tidak mahu masak apa-apa, cuma menanti makanan yang kami bawa. 

Tidak mengapalah ma, kami bertiga yang ada ini akan cuba menjadikan raya ma indah walaupun tidak seindah biasa. Kami tahu ma tabah dan sentiasa tenang, walaupun sayu. Ma rindu, tentunya. 

Doa-doalah biar Covid ini berlalu, dan kami dapat berkumpul ramai-ramai di rumah ma semula.

Bukan untuk kami, tetapi untuk ma.

No comments:

Post a Comment