Terasa kejamnya kenyataan, apabila menghalang kami bertemu pada hari penuh kemuliaan ini. Seperti mahu saja saya melanggar peraturan untuk pergi juga ke rumah ma, biar pun nanti saya ditangkap dan didenda. Begitu hati saya berkata.
Ma pula, tenangnya amat. Dia seperti tidak mahu bersedih dan menerima setiap kenyataan aturan Tuhan ini sereda-redanya. Sendirian di pagi Syawal tanpa anak-anak dan cucu-cucu, ma rela. Kuat sungguh hati ma.
Sedang saya, sentiasa menangis tak kira masa. Sebelum berbuka pada 30 Ramadan itu, ternampak-nampak wajah ma. Selepas solat dan berdoa, teringat-ingat rumah ma. Sebelum tidur pula, terdengar-dengar suara ma. Mahu saja rasanya terbang ke rumah ma dan beraya bersama ma. Tanpa suami rasanya lebih mampu saya tempuh berbanding tanpa ma.
Tetapi begitulah, saya akur dengan setiap ketetapan. Saya serahkan ma dalam jagaan Allah yang Maha Baik. Nanti bila keadaan pulih, saya berdoa agar ada ruang untuk saya bersama-sama ma dengan lebih akrab. Kesempatan yang jarang ada sejak saya menjadi seorang isteri, ditambah pula dengan penularan Covid yang entah bila mahu berhenti.
Semoga Covid ini segera berlalu dan membuka ruang untuk kami berkumpul kembali.
No comments:
Post a Comment