Suami saya tidak sihat. Bukan demam, tetapi ada kesakitan di kawasan dadanya. Sudah lebih seminggu. Sangka saya kerana kesan ubat kolesterol yang lama ditinggal tiba-tiba diambil semula. Saya minta dia berhenti dahulu mengambil ubat itu, tetapi selepas berhenti pun sakit masih terasa.
Beberapa hari lepas dia ke Klinik Ehsan untuk ujian ECG. Apabila keputusannya normal, rasa lega sebentar. Tetapi bila sakit tetap berpanjangan, mana mungkin dia boleh selesa. Hari ini dia ke Klinik Perol untuk pemeriksaan sekali lagi.
Masih normal. Mungkin angin sesat, kata doktor. Alhamdulillah. Doktor menyuntik ubat di lengan selain memberi ubat untuk dibawa pulang.
Melihat dia yang kesakitan, saya hanya mampu berdoa. Tidak saya tahu cara terbaik yang bagaimana untuk melegakan dia. Sekarang dia sedang tidur. Pening dan mual katanya. Kesan suntikan ubat tadi barangkali.
Kakak ipar saya pula sedang bertarung di ICU sudah berminggu-minggu. Awalnya kritikal, kemudian kelihatan beransur baik tetapi sejak semalam kembali kritikal. Doktor mengesan udara pada lehernya yang mungkin akibat paru-parunya bocor (pneumothorax). Allahuakbar!
Sesungguhnya Covid itu benar. Tidak terbayang resah gundah di hati anak-anak dan keluarganya saat ini. Suami saya pun kelihatan tidak bermaya hari ini mungkin kerana risaukan kakaknya itulah. Tetapi kerana lelaki perlu kuat, dia tidak menzahirkan.
Jam 11.13 pagi tadi, sewaktu suami saya di klinik saya menyambung bacaan Quran surah An-Naml. Sedang saya di muka surat kedua, tiba-tiba jantung saya berdegup kencang. SVT kembali lagi. Saya tersentak dan cuba mengurut sendiri di pangkal leher saya dan Alhamdulillah ia tidak berpanjangan. Ya Allah! Saya risau benar dengan SVT ini. Datangnya tidak pernah mahu memberi tanda.
Saya perasan, jika jiwa saya kacau akan berlakulah SVT ini. Saya perlu gembira setiap hari barulah tiada serangannya. Tetapi bolehkah?
Memikirkan persekitaran kini, tekanan tidak boleh saya elak. Banyak perkara sering mengganggu ketenteraman fikiran saya. Tentang keluarga terutamanya.
Ya Allah, kepada-Mulah kami bermohon. Lindungilah kami ya Allah!
Semoga Allah memberi kesihatan yg baik buat kakti dan abedi. Doaku sentiasa..amiin
ReplyDeleteAmin...
ReplyDelete