Wednesday, May 19, 2021

Swab Test Ma

Petang semalam, seperti selalu saya menelefon ma. Sejak Kak Zan suami isteri disahkan positif Covid pada 15 Mei, saya menelefon ma setiap hari bertanya khabar. Risau kalau-kalau ma bergejala. Maklumlah ma dan Kak Zan memang hari-hari berjumpa. Makanan pun selalu bertukar-tukar, dan pada hari akhir Ramadan itu Kak Zan ada memberi ketupat untuk ma.

Ma mengadu dadanya sakit apabila menarik nafas. Saya mula risau. Dari apa yang saya baca, sakit dada juga gejala Covid. Saya takut ma dijangkiti. Selepas Isyak saya telefon lagi. Ma kata masih sakit. Batuk tiada, demam pun tidak, tapi dadanya sakit. Sungguh saya semakin risau.

Seawal pagi ini, jam 6.20 saya telefon ma lagi dan ma kata masih rasa sakit. Saya tanya ma, mahu swabkah dan jawab ma, ya.

Lalu dengan bantuan suami saya sebagai pemandu, kami membawa ma ke klinik.

Mula-mula ke KK Perol. Rupanya sudah tiada ujian swab di situ. Semua perlu ke stadium di Bandar Kota Bharu. Kami pun ke sana.

Manusia ramai sungguh. Kasihan ma. Menunggu lama tentunya penat. Ma mudah sakit urat. Mujur adik bongsu saya menyarankan ke klinik Hydar Kamal. Saya menelefon klinik untuk kepastian dan pekerjanya itu meminta saya datang segera. Ujian swab hanya dibuat dalam kereta sahaja. Mudah.

Alhamdulillah, di klinik itu semuanya lancar dan layanan pekerjanya sangat mesra. Dengan kos RM260, ma selesai diuji dengan PCR dan esok baru dapat keputusan.

Lega saya. Pun menanti esok, masih ada debar. Ya Allah, semoga keputusan ujian swab ma itu negatif. Amin.




No comments:

Post a Comment