Allahuakbar!
Saya pilu, emak lebih-lebih lagilah. Berjuraian air mata emak saat mengimbas kali terakhir dia bertemu Pak Ngah pada Februari 2020, sebelum pandemik melanda. Emak pulang sekejap dan sempat menziarah Pak Ngah di hospital.
Pak Ngah meninggal dunia pada petang Ahad 19 September 2021 kerana Covid. Sedihnya, Pak Ngah baru sahaja keluar wad kerana sakit batu karang dan kencing manis yang dideritainya tetapi siapa sangka Covid yang menjadi asbab. Begitu tulisan takdir untuk Pak Ngah yang kami kasihi.
Pak Ngah - nama penuhnya Abu Bakar - dilahirkan sebagai anak ketiga daripada sembilan orang saudara. Usia Pak Ngah sekitar 79 - 80 tahun mengikut hitungan saya. Pak Ngah pergi meninggalkan isteri yang setia, Mak Ngah Yah dan tujuh orang anak yang akan merinduinya selalu - Aziz, Farid, Kamal, Naida, Safina, Muhammad dan Hamizah.
Seingat saya, Pak Ngah seorang yang lembut dan pendiam tetapi amat prihatin dan begitu penyayang. Sewaktu arwah Pak Su Soh meninggal pada 2017, dia yang berada di Thailand tetap mahu pergi melawat keluarga Pak Su di Bangi walaupun sukar. Dia bersusah payah menaiki bas malam dari Rantau Panjang dan tiba pada keesokan paginya di rumah keluarga Pak Su.
Kali terakhir saya bertemu Pak Ngah ialah pada Mei 2019, sewaktu pulang bersama emak, Aziah dan Muiz. Sayang saya tidak merakam gambar bersamanya, dan saya memang tiada gambar bersamanya.
Pak Ngah orang baik, tentu sekali Allah akan menjaga Pak Ngah dengan baik juga.
Berehatlah Pak Ngah, hilang sudah sakit dan penat Pak Ngah di dunia. Semoga tenanglah Pak Ngah di sana.
No comments:
Post a Comment