Perjalanan kami kali ini sungguh mencabar. Setiba di Manik Urai, Kuala Krai sekitar jam 3.50 petang semalam, jalan menjadi sesak teruk. Rupanya ada kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori getah berdekatan Kg Laloh. Selama dua jam kami tidak dapat bergerak. Jika tidak kerana hotel sudah ditempah, tentu kami sudah berpatah pulang.
Sebaik perjalanan lancar kembali, kami diuji dengan hujan yang lebat pula. Selepas berhenti sebentar di R&R Gua Musang, hujan mula melebat beserta kilat sabung menyabung. Waktu senja yang hampir Maghrib menyebabkan pemandangan menjadi berbalam-balam dan pemanduan sangat perlahan. Tidak henti zikir dan doa saya lafazkan agar Allah melindungi perjalanan kami dalam suasana begini. Ya, saya takut sungguh.
Lama juga hujan lebat begitu, sekitar jam 8.30 malam baru reda. Hampir dua jam kereta kami bergerak merangkak-rangkak dengan kelajuan tidak sampai 80 kmj. Syukur kami dapat melaluinya dengan selamat.
Apabila tiba di hotel, kami berehat sebentar kemudian turun untuk mengisi perut yang kelaparan. Jam sudah ke angka sepuluh malam. Nasi goreng paprik dan segelas milo panas sangat menyelerakan buat saya yang belum makan apa-apa sejak pukul dua belas tengah hari tadi. Suami saya pula berselera menghabiskaj sepinggan nasi goreng ikan masin dan segelas teh o panas, dalam suasana sejuk dek hujan yang masih belum reda sepenuhnya. Suhu di Brinchang malam ini ialah 19°C.
Dan seterusnya, kami pulang ke hotel untuk solat dan tidur. Lena sungguh tidur saya malam ini. Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment